
KUCHING: Kes Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang diputuskan hari ini berhubung tuntutan jaminan bank yang didakwa tidak berpatutan di bawah Perjanjian Jualan Gas Sarawak (GSA) adalah semata-mata berdasarkan alasan teknikal berkaitan jaminan bank tersebut.
PETROS dalam kenyataan hari ini berkata, Mahkamah Tinggi Kuching tidak membuat sebarang keputusan mengenai kesahan asas GSA dan juga tidak memutuskan merit hujah perlembagaan berkaitan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016).
“Keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak menjejaskan keupayaan PETROS untuk meneruskan tindakan undang-undang selanjutnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah DGO 2016,” katanya.
Sehubungan itu, PETROS memaklumkan pihaknya akan meneliti penghakiman bertulis dengan teliti dan mempertimbangkan langkah undang-undang yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa tuntutan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) supaya PETROS mengemukakan jaminan bank berjumlah RM7.95 juta adalah sah.
Hakim Datuk Farids Gohim Abdullah memutuskan bahawa PETROS gagal membuktikan bahawa tuntutan terhadap jaminan bank itu adalah tidak berpatutan (unconscionable) atau menyalahi undang-undang.
Berhubung isu perlembagaan, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut berada di luar skop saman pemula yang difailkan oleh PETROS.
Farids Gohim berkata persoalan mengenai keperlembagaan dua undang-undang, iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (undang-undang persekutuan) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (undang-undang Sarawak) — sepatutnya ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Mahkamah telah menolak saman pemula yang difailkan oleh PETROS dengan kos sebanyak RM50,000 yang perlu dibayar kepada PETRONAS.
PETRONAS telah menuntut jaminan bank tersebut selepas PETROS enggan membuat bayaran bagi gas yang dibekalkan pada Ogos 2024, dengan alasan bahawa PETRONAS tidak mempunyai lesen yang sah di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) untuk membekalkan gas di Sarawak.
Selepas itu, PETROS memohon suatu perisytiharan mahkamah bahawa tuntutan PETRONAS terhadap jaminan bank berjumlah RM7.95 juta adalah tidak berpatutan (unconscionable) serta terbatal dan tidak sah.
Sumber : Utusan Borneo
|