CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 182|Reply: 0

[Sabah] Aura Matbali dan sebuah kisah di serambi masjid

[Copy link]
Post time 26-2-2026 10:22 AM | Show all posts |Read mode
Kerendahan dirinya bukan lakonan politik, tetapi sifat semulajadi yang tumbuh dari akar kehidupan sebagai anak kampung



MESRA MEDIA: Matbali (tengah) menemui media selepas program itu, sambil diapit oleh Ruslan (kanan) dan Mohd Nazri (kiri).

PETANG Sabtu lepas (21 Feb), hujan rahmat mencurah lebat dari langit Mukim Gadong, Beaufort.

Di bumi subur yang basah itulah saya melangkah ke sebuah Majlis Iftar Ramadan anjuran Pejabat Parlimen Sipitang bersama Pejabat UPPM Lumadan, dengan hati yang sarat oleh rasa ingin menyaksikan sendiri denyut kepemimpinan seorang tokoh bernama Datuk Matbali Musah.

Saya tiba hampir dua jam lebih awal sebelum azan Maghrib yang dijangka berkumandang pada jam 6.31 petang. Namun dewan terbuka berhadapan masjid itu sudah pun dipenuhi jemaah —seolah-olah hujan bukan penghalang, bahkan menjadi saksi kesungguhan mereka.

Sempena majlis itu juga diadakan penyampaian sumbangan kepada 34 masjid dan 41 surau di kawasan DUN Lumadan, serta perasmian Dewan Terbuka Al-Ukhuwah Masjid Mukim Gadong.

Saya menyaksikan penduduk datang bukan sekadar untuk berbuka puasa. Mereka hadir kerana ingin bertemu pemimpin dan idola—Matbali dan ADUN Lumadan, Datuk Hj Ruslan Muharam—dua nama yang sudah meniti di bibir rakyat dengan nada hormat dan harapan.

Sambil menanti ketibaan dua pemimpin itu, saya berbual panjang dengan sahabat lama yang kini menjadi Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun.

Kami mengimbas kenangan lama ketika beliau bertugas sebagai pegawai kanan di Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Jabatan Ketua Menteri Sabah, menyulam cerita tentang perubahan zaman dan wajah kepemimpinan yang silih berganti.

Di hadapan kami, penduduk terus memenuhi ruang—tua dan muda, lelaki dan wanita. Ada yang berpimpin tangan, ada yang berpayung, dan ada juga yang meredah hujan dengan langkah penuh yakin. Setiap wajah memancarkan rasa keterikatan yang sukar digambarkan dengan kata-kata biasa.

Tidak lama kemudian, kenderaan yang dinanti tiba. Ruslan dan Matbali melangkah turun, dan dalam sekelip mata, kerumunan mengelilingi mereka. Salam bertaut, senyum bersambut, dan suasana menjadi hangat oleh keakraban.

Matbali tidak sekadar melambai dari jauh. Sebaliknya, beliau merapati setiap insan, menyalami semua tangan yang dihulur, dan menepuk bahu mereka yang setia menunggu.

Waktu berbuka masih lama, namun beliau tidak membiarkan walau sesaat terbuang tanpa menyapa rakyatnya.

Beliau bergerak dari satu sudut ke satu sudut, menyantuni warga di setiap penjuru serambi masjid, atau duduk di meja bulat, berdiri di tiang-tiang dewan, bahkan yang berteduh di bawah payung di pinggir masjid. Setiap orang diberi perhatian.

Satu hal yang jelas—Matbali amat dekat di hati rakyat. Kerendahan dirinya bukan lakonan politik, tetapi sifat semulajadi yang tumbuh dari akar kehidupan sebagai anak kampung, yang pernah sama-sama merasa susah dan payah.



MERAKYAT: Matbali bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada majlis Iftar Ramadan di Mukim Gadong.

Sebagai Ahli Parlimen Sipitang, beliau memimpin dengan jiwa dan nurani kawasan seluas 3,715 kilometer persegi itu yang merangkumi DUN Lumadan dan Sindumin—dua wilayah yang unik pada geografi dan dinamik pada budayanya.

Di Lumadan, masjid dan surau lebih banyak berdiri megah berbanding gereja, manakala di Sindumin pula, gereja menjadi mercu tanda yang lebih ketara.

Kepelbagaian ini bukan jurang, tetapi jambatan yang mengikat komuniti pelbagai etnik.

Kawasan Parlimen Sipitang hampir menyamai gabungan tiga negeri kecil di Semenanjung—Melaka, Pulau Pinang dan Perlis—namun bagi Matbali, luas wilayah tidak pernah menghalang langkahnya untuk mendekati setiap penjuru kawasannya.

Pada Pilihan Raya Umum November 2022, beliau memenangi kerusi Parlimen Sipitang dengan majoriti 4,691 undi. Angka itu bukan sekadar statistik, tetapi cerminan keyakinan rakyat terhadap arah yang dibawanya.

Sebelum itu, pada Mei 2018 hingga September 2020, beliau berkhidmat sebagai ADUN Lumadan dengan majoriti 2,935 undi. Dari dewan undangan negeri ke Parlimen, langkahnya disokong oleh akar umbi yang kukuh.

Melihat latar itu, tidak hairan beliau begitu dekat di hati warga Lumadan. Kepimpinannya lahir dari pengalaman bersama rakyat, bukan sekadar dari retorik pentas.

Beliau seorang pemimpin muda yang berwawasan, berjiwa kental dan bersemangat tinggi. Dalam dirinya terhimpun kesungguhan generasi baharu yang mahu melihat daerahnya melangkah lebih jauh.

Matbali juga mempunyai aura tersendiri—ikon golongan muda yang melihat politik bukan sebagai perebutan kuasa, tetapi sebagai medan untuk berkhidmat. Selain petah berpidato, suaranya juga hebat berkumandang, dengan kemampuan menyanyikan sejumlah lagu `evergreen' biarpun diundang secara spontan.

Baik siang mahupun malam, beliau menyantuni penduduk. Telefon bimbitnya jarang sunyi daripada mesej dan panggilan. Jadualnya padat dengan kunjungan dan program masyarakat.

Keistimewaan beliau turut terserlah di Dewan Rakyat. Dalam perbahasan, Matbali kerap menyelitkan nyanyian lagu-lagu yang berkaitan dengan isu dibangkitkan—menjadikan hujahnya berirama dan mudah diingati.

Tidak hairan jika pada satu ketika, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pernah berseloroh bahawa Matbali `tidak syak lagi, juara nyanyian' seusai beliau menutup perbahasan dengan nyanyian suara merdu. Politik di tangannya menjadi wadah yang hidup dan berwarna.

Di persidangan Parlimen, beliau mengangkat isu-isu rakyat dengan suara yang tegas. Sesekali, beliau berpantun dan menggunakan bahasa etnik tempatan seperti Bisaya, Brunei dan Kedayan—bahasa jiwa masyarakat Sipitang.

Di meja utama malam itu, kami duduk semeja menikmati juadah berbuka. Antara makanan tradisi yang terhidang ialah ambuyat, dan beliau berbisik perlahan kepada saya, “Ini makanan wajib saya” seraya kami menikmatinya bersama-sama. Dalam bisikan itu ada cinta kepada akar budaya.

Usai berbuka, beliau menunaikan solat bersama jemaah Mukim Gadong, kemudian berbual santai-santai bersama mereka ketika hujan terus mencurah lebat.

Selepas itu, Matbali dan Ruslan bergerak pula ke Kampung Lukut, tidak jauh dari Gadong, untuk solat Isyak dan sunat Tarawih.

Malam semakin larut, tetapi langkahnya tidak surut. Itulah rutin beliau setiap kali berada di kawasan—menghabiskan waktu bersama penduduk.

Hampir dinihari, Matbali pulang ke rumah malam itu dengan hati gembira kerana ada keluarga setia menanti -- isteri dan anak-anak yang memahami bahawa seorang pemimpin sejati harus  berkongsi waktunya antara amanah rakyat dan kasih sayang keluarga.

Dalam gelap malam itu juga, saya meninggalkan Mukim Gadong ketika hujan masih mencurah lebat, dengan sebuah pengalaman baharu.

Saya melihat bahawa kepemimpinan bukan sekadar pada jawatan, tetapi pada sentuhan dan kehadiran.

Pada sosok bernama Matbali, saya menyaksikan aura seorang pemimpin yang memimpin dengan hati—dan hati rakyat pula membalasnya dengan penuh kesetiaan.


Sumber : Utusan Borneo

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-6-2026 01:16 AM GMT+8 , Processed in 0.249755 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list