
KUCHING: Seorang lelaki tempatan kerugian lebih RM1.1 juta selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi aplikasi WhatsApp di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes penipuan pelaburan dalam talian dikenali sebagai ‘FYCMAX’ melibatkan mangsa berusia 57 tahun.
Menurutnya, pada 9 Disember 2025 kira-kira jam 2 petang, mangsa menerima satu pesanan WhatsApp ketika berada di pejabatnya yang menawarkan pelaburan berkenaan dengan janji keuntungan lumayan.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp FYCMAX VIP dan diarahkan memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai FYC serta berhubung dengan beberapa ‘admin’.
“Mangsa yang yakin dengan pelaburan tersebut telah membuat 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1,108,784,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan semula wang pelaburan termasuk keuntungan yang dijanjikan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan juga boleh dikenakan denda.
Alexson menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan di media sosial tanpa membuat semakan terperinci terlebih dahulu.
“Orang ramai disarankan membuat semakan senarai syarikat atau laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan melalui laman web Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Sekiranya baru sahaja membuat transaksi ke akaun mencurigakan, segera hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi tindakan pantas,” katanya.
Orang ramai juga boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui aplikasi Check Scammers CCID atau portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
Maklumat dan modus operandi terkini penipuan boleh diperoleh melalui akaun rasmi media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti @JSJKPDRM dan @CyberCrimeAlertRMP.
|