
MIRI: Tindakan Kerajaan Sarawak memfailkan kes di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar pemakaian Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Pelantar Benua (CSA) 1966, merupakan langkah tegas dalam mempertahankan hak Sarawak seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala (gambar) berkata, tindakan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam melindungi kedudukan serta hak kedaulatan negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan perkara dalam bidang kuasa Sarawak.
Menurutnya, sejak awal rundingan berkaitan MA63 dengan kerajaan persekutuan, Sarawak telah berunding dengan penuh iktikad baik bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan kerajaan persekutuan bagi memulihkan hak-hak negeri, termasuk mendapatkan bahagian hasil yang adil daripada pendapatan minyak dan gas yang dikeluarkan di Sarawak dan kawasan pelantar benua negeri ini.
Beliau menegaskan, sumber minyak dan gas tersebut ditemui serta dihasilkan daripada tanah milik Sarawak dan hak ke atas tanah termasuk pelantar benua jelas diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negeri 1957 serta Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council, yang merupakan undang-undang sebelum Malaysia (ditubuhkan) dan kekal berkuat kuasa sehingga kini.
Katanya, kes yang difailkan oleh Kerajaan Sarawak di Mahkamah Persekutuan bertujuan mendapatkan penentuan mahkamah berhubung keperlembagaan serta pemakaian PDA dan CSA di Sarawak.
Pada masa sama, beliau mendedahkan bahawa ketika rundingan berhubung hak agregator gas masih berjalan secara baik, PETRONAS dan kerajaan persekutuan telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Sarawak bagi mencabar kesahihan semua undang-undang negeri berkaitan minyak dan gas.
“Sarawak sentiasa berunding dengan penuh iktikad baik untuk mencapai satu pengaturan yang saling diterima mengenai perkongsian hasil yang adil daripada operasi minyak dan gas di negeri ini, termasuk dari kawasan pelantar benua,” katanya.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, turut mengimbas tindakan terdahulu PETRONAS, yang mencabar hak Sarawak mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum yang diperoleh dari negeri ini.
Bagaimanapun, PETRONAS tewas di Mahkamah Tinggi dan menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan, sebelum diperintahkan mematuhi Ordinan Cukai Jualan Negeri selepas didapati enggan berbuat demikian, sedangkan pengendali minyak dan gas lain mematuhinya.
Beliau berkata, dalam rundingan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRONAS berhubung peranan agregator gas di Sarawak, PETRONAS sekali lagi bertindak memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan tanpa notis, mencabar kesahihan serta pemakaian undang-undang negeri termasuk Ordinan Perlombongan Minyak, Kanun Tanah Sarawak, Ordinan Pengagihan Gas dan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar.
“Tindakan tersebut menunjukkan pendirian PETRONAS bahawa mereka tidak terikat kepada undang-undang Sarawak atas alasan PDA memberi hak mutlak untuk meneroka dan mengeluarkan minyak dan gas di negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu jelasnya, tindakan PETRONAS itu telah mendorong Kerajaan Sarawak memfailkan kes terbaharu bagi mencabar pemakaian PDA dan CSA di Sarawak serta menegaskan bahawa semua pihak yang menjalankan operasi minyak dan gas di negeri ini, termasuk PETRONAS tertakluk kepada undang-undang negeri.
Menurut beliau, isu berkenaan merupakan persoalan perundangan asas yang perlu diputuskan mahkamah dan kerajaan GPS yakin keputusan yang bakal diperoleh kelak akan memberi impak positif dari sudut perundangan dan politik.
“Dalam soal ini, rakyat Sarawak akan terus mempertahankan undang-undang negeri dan mahu semua pihak yang menjalankan operasi perniagaan di Sarawak menghormati serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|