CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 179|Reply: 0

[Sarawak] Rundingan MA63 diteruskan, petisyen Sarawak dihormati

[Copy link]
Post time 25-2-2026 01:02 PM | Show all posts |Read mode
Diteruskan menerusi jawatankuasa teknikal sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan di peringkat jawatankuasa induk



Mustapha ketika ditemui pemberita selepas berucap pada Majlis Amanat bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Rundingan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diteruskan oleh kerajaan persekutuan menerusi jawatankuasa teknikal sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan di peringkat jawatankuasa induk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, mesyuarat berkaitan MA63 yang dijadualkan pada 28 Februari ini telah ditangguhkan ke 2 Mac 2026 bagi memberi ruang kepada penyelesaian beberapa isu teknikal.

“Sepatutnya 28 Februari tetapi kita tangguhkan ke 2 Mac kerana ada perkara teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa teknikal.
“Keputusan itu kemudiannya akan dibawa ke jawatankuasa induk untuk diputuskan pada tarikh dan masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, beberapa perkara dalam rundingan tersebut masih belum dimuktamadkan termasuk isu tuntutan hasil 40 peratus yang menjadi antara agenda utama perbincangan.

“Kita cuba runding dan selesaikan di peringkat teknikal dahulu sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi. Banyak isu yang masih dalam perundingan dan kita komited untuk mengusahakan penyelesaian,” ujarnya.

Maka itu, beliau memaklumkan sehingga kini sebanyak 29 perkara MA63 telah dibincangkan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dengan 13 daripadanya berjaya diselesaikan.

“Daripada 13 yang selesai itu, sembilan diselesaikan di bawah Kerajaan Madani dan empat di bawah kerajaan terdahulu,” jelasnya kemudian.

Beliau turut memaklumkan bahawa Papan Pemuka MA63 (Dashboard MA63) Fasa 1 telah dilancarkan pada 28 Januari lalu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof di Parlimen Malaysia.

“Dashboard MA63 ini membolehkan orang awam menyemak perkembangan pelaksanaan MA63 secara telus melalui portal rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS),” tambah beliau.

Sejak pelancarannya, papan pemuka tersebut telah menerima lebih 6,000 pengunjung yang mendapatkan maklumat sahih mengenai status pelaksanaan MA63.



Mengulas tindakan Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen berkaitan undang-undang persekutuan, Mustapha berkata pihaknya menghormati langkah tersebut dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Kita hormati petisyen yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Biarlah mahkamah yang menentukan berdasarkan perundangan dan fakta yang ada. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut,” katanya ringkas.

Ketika berucap, Mustapha turut menegaskan bahawa Reformasi MA63 merupakan antara tiga teras utama kementeriannya selain penghayatan budaya kerja Malaysia Madani dan pembinaan negara bangsa.

Beliau berkata komitmen pelaksanaan MA63 bermula secara berstruktur sejak 2016 melalui penubuhan Jawatankuasa Devolution of Authority (JKDA), disusuli Jawatankuasa Khas Kabinet pada 2018 dan seterusnya Majlis Khas Mengenai MA63 pada 2020.

Di bawah Kerajaan Madani, pelaksanaan MA63 diperkasa melalui penubuhan MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri manakala Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II.

“MA63 perlu difahami sebagai asas pembinaan negara bangsa, bukan medium membuka luka lama yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Hak yang dijamin perlu ditunaikan tetapi tanggungjawab membina negara mesti dipikul bersama,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan tidak bermakna keseragaman, sebaliknya lahir daripada penerimaan perbezaan dan berteraskan keadilan serta nilai kemanusiaan sejagat.

Mustapha turut memetik kata-kata bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bahawa perpaduan bukan sekadar slogan tetapi cara hidup rakyat Sarawak.

“Kalau Sarawak maju, Malaysia pun maju,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-6-2026 12:47 AM GMT+8 , Processed in 1.153983 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list