Tentukan kawasan sesuai, tidak sesuai untuk pembinaan supaya hak, kepentingan pengguna terjamin apabila beli hartanah

Ling (kanan) ketika meninjau runtuhan rumah kedai di Jalan Pahlawan baru-baru ini.
SIBU: Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling menegaskan bahawa pembangunan tanah di Sibu perlu diklasifikasikan secara lebih sistematik, dengan menentukan secara jelas kawasan yang sesuai untuk pembinaan dan kawasan yang tidak sesuai supaya hak serta kepentingan pengguna terjamin apabila membeli hartanah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden runtuhan rumah kedai di Jalan Pahlawan serta kejadian sederet rumah kedai yang mengalami mendapan sehingga menjejaskan struktur bangunan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak khususnya Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu menilai semula syarat serta perancangan pembangunan tanah di negeri ini dan sekiranya perlu, meminda undang-undang sedia ada.
"Langkah ini penting bagi menjamin keselamatan jangka panjang industri pembinaan yang bernilai tinggi di Sarawak, melalui pengukuhan piawaian bangunan, pemantauan yang lebih ketat, malah mempertimbangkan perundangan yang mewajibkan pemaju bertanggungjawab dalam tempoh hayat tertentu sesebuah bangunan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, faktor geologi di Sibu menyebabkan banyak bangunan berdepan masalah mendapan dan kerosakan.
Malah katanya, terdapat bangunan yang baru berusia belasan hingga 20 tahun sudah menunjukkan tanda-tanda mendap.
"Masalah ini juga tidak lagi terhad di kawasan Bukit Assek, sebaliknya turut berlaku di banyak lokasi lain di Sibu," katanya sambil menyatakan bahawa sekiranya rumah yang dibeli rakyat menggunakan simpanan seumur hidup mengalami mendapan dan kerosakan dan kerajaan membantu membina semula tanpa kos, keadaan itu tidak menjadi isu.
Kerajaan ujar Ling, tidak boleh sekadar meletakkan tanggungjawab kepada pemaju atau menyalahkan faktor geologi tanpa mencari penyelesaian menyeluruh.
Beliau menekankan, Kerajaan Sarawak dan pihak majlis perbandaran perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam hal pembangunan tanah di Sibu, khususnya dari segi perundangan dan penguatkuasaan.
"Sebagai contoh, setiap projek pembinaan mesti mematuhi kategori dan sifat tanah yang ditetapkan.
"Kawasan berpaya atau tanah yang terlalu lemah dan tidak sesuai untuk pembinaan seharusnya dirancang untuk kegunaan lain," jelasnya.
Ling turut mendedahkan, sebelum ini beliau menerima banyak aduan berkaitan masalah bangunan.
"Antara yang paling menyedihkan adalah kes keluarga berpendapatan rendah yang membeli rumah kos rendah menggunakan simpanan seumur hidup, namun selepas lebih sedekad didiami, rumah tersebut mengalami mendapan dan keretakan pada dinding sehingga menjadi bangunan berbahaya.
"Disebabkan ketiadaan tempat tinggal alternatif, mereka terpaksa terus mendiami bangunan yang berisiko," katanya.
Selain itu, Ling turut membangkitkan isu projek perumahan terbengkalai di Sibu yang menyebabkan pembeli masih perlu membayar ansuran pinjaman perumahan walaupun rumah tidak dapat disiapkan.
Perkara itu katanya, memerlukan perhatian serius kerajaan negeri melalui proses kelulusan projek yang lebih ketat dan telus.
"Ketegasan tidak bererti amalan tidak telus, sebaliknya setiap proses perlu dilaksanakan secara terbuka bagi benar-benar menyelesaikan masalah.
Beliau yang turut simpati dan memahami kesulitan yang dihadapi para peniaga akibat insiden runtuhan rumah kedai di Jalan Pahlawan, memohon peniaga yang terjejas mengunjungi Pusat Khidmat P.212 Sibu di Pusat Komersial Taman Rejang Sibu untuk memohon bantuan bencana atau menghubungi talian 084-322001 dan 017-8331085 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Ling berharap insiden runtuhan rumah kedai di Jalan Pahlawan ini menjadi amaran jelas tentang keperluan mendesak untuk mereformasi dasar pembangunan tanah di Sarawak dan kerajaan negeri perlu mengambil langkah yang proaktif serta berkesan bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat sentiasa terpelihara.
Sumber : Utusan Borneo
|