
MENANG: Reduan (tiga kiri) bersama pasukannya merakamkan gambar kenangan selepas memenangi kes berkenaan.
KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak Petisyen Pilihan Raya yang difailkan oleh Samuil Mopun berhubung keputusan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka yang diadakan pada 29 November 2025.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Pilihan Raya, Datuk Dean Wayne Daly yang membenarkan Bantahan Awal (Preliminary Objections) yang dikemukakan oleh pihak-pihak Responden.
Mahkamah mendapati bahawa petisyen berkenaan gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, termasuk Peraturan 3(1) dan 3(2), Peraturan 4(1), Peraturan 9 serta Peraturan 15, yang merupakan syarat asas bagi menggerakkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya.
Sehubungan itu, Petisyen telah ditolak tanpa perlu melalui perbicaraan penuh. Mahkamah turut memerintahkan kos dibayar kepada para Responden.
Dengan keputusan ini, Datuk Harun Durabi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi DUN Bengkoka sebagaimana yang telah digazetkan.
Harun diwakili oleh Mohd Reduan Aklee, Hassan Murtaza, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mortimer Maluda dan Wong Chik Kien.
Responden Kedua dan Ketiga diwakili oleh SFC Ahmad Hanir Hambaly@Alwi dan Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dari Pejabat Peguam Negara.
Petisyen itu difailkan oleh Samuil Mopun dan beliau diwakili oleh Jaikol Situn dan Rijolin Molisin.
Kes itu merupakan petisyen pertama yang diputuskan berhubung Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 November 2025.
Sumber : Utusan Borneo
|