
PALSU: Borang tuntutan palsu yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap kegiatan penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pegawai agensi itu, khususnya berkaitan penempahan dan pembelian baju korporat.
Dalam kenyataan media hari ini, APM Sabah memaklumkan pihaknya menerima beberapa aduan berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mengemukakan tuntutan palsu kepada pengusaha jahitan dan pembekal pakaian korporat dengan mendakwa pesanan dibuat bagi pihak jabatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, modus operandi sindiket adalah membuat tempahan kononnya atas nama APM Sabah sebelum memperdaya pengusaha sehingga menyebabkan kerugian kewangan yang besar.
“APM Sabah dengan tegas menafikan ada membuat sebarang pembelian atau penempahan baju korporat pada masa ini.
“Semua urusan perolehan rasmi hendaklah melalui prosedur kewangan serta saluran rasmi kerajaan yang sah dan disahkan oleh pegawai berautoriti,” katanya.
APM Sabah menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan nama serta reputasi jabatan bagi tujuan penipuan.
Katanya, perbuatan berkenaan merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh disiasat mengikut undang-undang sedia ada termasuk kesalahan pemalsuan dokumen dan penipuan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, mangsa yang terlibat dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, APM Sabah turut menyeru semua pengusaha, pembekal dan orang awam supaya membuat semakan terus dengan Pejabat APM Negeri Sabah sebelum menerima atau memproses sebarang pesanan menggunakan nama jabatan berkenaan.
Katanya, pengesahan perlu dibuat termasuk memastikan kesahihan dokumen rasmi seperti Pesanan Tempatan (LPO) melalui saluran komunikasi rasmi serta tidak memulakan kerja atau penghantaran barangan tanpa pengesahan sah.
|