CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Selamat Hari Raya!

 Close [Copy link]
 Author| Post time 24-2-2026 09:31 AM | Show all posts
Penyertaan aktif penduduk Miri sebagai penderma darah pastikan bekalan mencukupi
Februari 23, 2026, Isnin - 4:01pm



Ting membuat pemeriksaan tekanan darah semasa kempen tersebut semalam.

MIRI: Sehingga tahun 2025, Tabung Darah Hospital Miri merekodkan seramai 6,711 penderma darah aktif berdaftar, mencerminkan komitmen berterusan masyarakat dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, sepanjang tahun lepas sahaja seramai 9,557 penderma darah berjaya direkodkan, dengan 1,605 daripadanya merupakan penderma kali pertama.

Selain itu katanya, 3,626 daripada jumlah tersebut ialah wanita, membuktikan usaha murni itu mendapat sokongan meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira jantina.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Kempen Derma Darah 'A Gift of Life' 2026 di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ting memaklumkan bahawa tabung darah hospital kini memerlukan bekalan darah kumpulan O dan B bagi menampung keperluan rawatan pesakit serta kes kecemasan yang semakin meningkat.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menyeru individu yang mempunyai kumpulan darah berkenaan agar tampil menyumbang demi memastikan bekalan darah sentiasa berada pada tahap mencukupi dan stabil.



Ting bertemu para penderma yang terlibat dalam kempen tersebut semalam.

Tambahnya lagi, pelaksanaan kempen derma darah bergerak secara konsisten telah mendapat sambutan positif daripada orang ramai dan menjadi antara faktor utama peningkatan jumlah penderma setiap tahun.

Malah katanya, pihak tabung darah telah menetapkan sasaran untuk mencapai 10,000 penderma darah pada tahun ini.

“Pada Januari sahaja, seramai 828 penderma berjaya direkodkan, sekali gus memberi permulaan yang memberangsangkan ke arah mencapai sasaran tahunan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, menderma darah bukan sahaja satu bentuk kebajikan, malah merupakan sumbangan langsung yang berupaya menyelamatkan nyawa.

“Darah tidak boleh dihasilkan secara buatan dan hanya diperoleh melalui keprihatinan masyarakat.

"Setiap penderma memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan sistem penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak syarikat, pertubuhan dan individu agar bersama-sama menyokong kempen derma darah secara sukarela demi kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus komited menyokong aktiviti pendermaan darah serta berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa depan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-2-2026 09:32 AM | Show all posts
Dua lelaki ditahan kerana disyaki berperanan sebagai ‘keldai akaun’
Februari 23, 2026, Isnin - 4:21pm

BAU: Dua lelaki tempatan berumur lewat 30-an dan 40-an ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata mereka ditangkap kerana disyaki berperanan sebagai ‘keldai akaun’.

“Suspek berperanan sebagai ‘keldai akaun’ dalam kes e-dagang melibatkan kerugian RM5,600 dan ‘phone scam’ dengan kerugian RM10,000,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

“PDRM menasihati orang ramai agar tidak menyerahkan (nombor) akaun bank, kad ATM atau maklumat perbankan kepada mana-mana pihak atas apa juga alasan, kerana ia boleh dieksploitasi untuk aktiviti penipuan,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, individu bertindak sebagai ‘keldai akaun’ boleh dituduh di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:32 AM | Show all posts
Warga emas ditemui mati dalam kebun
Februari 23, 2026, Isnin - 4:25pm

Mangsa yang berusia 78 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam kebun di bahagian belakang rumahnya
  
BAU: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam kebun yang terletak di bahagian belakang rumahnya di Jalan Buan Buso, di sini malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 11.03 malam oleh anak mangsa.

Menurutnya pada jam lebih kurang 7.10 malam, isteri mangsa memaklumkan kepada pengadu iaitu anak perempuan mangsa, bapanya belum pulang ke rumah.

Susulan itu pengadu bersama ibu dan anak saudaranya mencari mangsa (bapa) di kawasan kebun di belakang rumah.

“Apabila tiba di kebun belakang rumah, pengadu mendapati terdapat dahan pokok nangka telah dipotong dan semasa dia menghampiri pokok itu, dia mendapati mangsa (bapa) tergantung pada tali yang digunakannya untuk memanjat pokok.

“Semasa dijumpai oleh ahli keluarga mangsa, leher mangsa terjerut pada tali tersebut.

“Melihat keadaan itu pengadu cuba memberi bantuan kecemasan kepada mangsa tetapi masih tidak sedarkan diri,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Melihat situasi mangsa yang masih tidak sedar, pengadu menelefon pihak ambulans Hospital Bau untuk tindakan lanjut, tambahnya.

“Pemeriksaan awal ke atas mayat si mati, tiada kecederaan yang mencurigakan dan tiada unsur-unsur jenayah.

“Kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat yang dijadual pada jam 9 pagi Isnin, bagi menentukan punca sebenar kematian,” jelasnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:34 AM | Show all posts
Iftar Jamaie’ Masjid Al-Ghazali lambang perpaduan Ramadan
Februari 23, 2026, Isnin - 5:02pm



Sumardi (lima kiri) bergambar bersama ahli JKP, imam dan bilal masjid.

KUCHING: Apa yang bermula sebagai usaha sederhana menyediakan juadah berbuka puasa untuk jemaah berkembang pula menjadi simbol perpaduan dan kasih sayang merentasi kaum di Masjid Al-Ghazali menerusi program tahunan Iftar Jamaie’ melibatkan masyarakat berbilang bangsa.

Pengerusi Masjid Al-Ghazali Sumardi Ghazalee berkata, ini merupakan kali keempat penganjuran program bersama Jawatankuasa Pengurusan (JKP) masjid serta menjadi antara inisiatif Ramadan yang dinanti-nantikan, menghimpunkan kira-kira 250 tetamu setiap petang untuk berbuka puasa bersama di bawah satu bumbung.

"Pada asalnya program ini diwujudkan khusus untuk jemaah dan kariah masjid, namun kini berkembang sebagai platform mengukuhkan hubungan tanpa mengira agama dan latar belakang etnik.

“Objektif utama adalah untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan kariah dengan berbuka puasa bersama.

“Pada masa sama, kita mahu menggalakkan semangat bersedekah dalam kalangan jemaah,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid itu, baru-baru ini.

Tambah beliau, dana program diperolehi melalui sumbangan ahli kariah serta beberapa pihak korporat yang tampil menyokong usaha mencerminkan semangat kebersamaan yang tulus.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak masjid mengekalkan hubungan baik dengan pasar raya tempatan, BS Supermarket yang terletak berhampiran masjid.

“Malah tauke kedai turut sama menyumbang kerana mereka merasakan ini adalah satu inisiatif yang baik untuk masyarakat,” katanya sambil menambah bahawa penyertaan tidak dihadkan kepada umat Islam sahaja.

“Kita juga menjemput kakitangan pasar raya berkenaan tidak kira berbangsa Cina, Dayak atau lain-lain untuk datang berbuka puasa bersama-sama,” ujarnya.



Jemaah dan kariah Masjid Al-Ghazali menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana harmoni.

Sumardi berkata pendekatan inklusif itu mencerminkan budaya harmoni dan saling menghormati yang sekian lama menjadi identiti Sarawak.

Menurutnya, membuka ruang kepada bukan Muslim untuk turut serta dalam iftar membawa mesej jelas bahawa Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga tetapi perkongsian rezeki, keterangkuman dan pengukuhan hubungan antara komuniti.

Walaupun berdepan kekangan logistik dalam menyediakan makanan setiap hari pihak masjid memastikan juadah berbuka sentiasa tersedia sepanjang Ramadan dengan melantik perkhidmatan katering.

“Syarikat katering yang dilantik juga tidak mengenakan bayaran tinggi kerana memahami matlamat kami.

“Secara tidak langsung, mereka juga menyumbang melalui khidmat yang diberikan,” jelasnya.

Program Iftar Jamaie’ itu dijadualkan berlangsung sehingga 29 Ramadan (19 Mac).

“Kita sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bersama berbuka puasa dengan kariah dan jemaah masjid,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:36 AM | Show all posts
TEGAS perkasa belia dalam AI dan kepimpinan digital
Februari 23, 2026, Isnin - 5:26pm



Pihak penganjur TEGAS dan para peserta merakam kenangan bersama hari ini.

KUCHING: Seramai 247 belia dari dalam dan luar negara berhimpun dalam usaha memperkasakan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan kepimpinan digital menerusi Program International Putra Bakti YLE–KUUB @ Youth Digital 2.0: AI4Youth – Future Leaders Training Series 2026 yang diadakan di TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu, hari ini.

Menurut kenyataan TEGAS semalam, program dua hari itu dianjurkan dengan tema ‘Empower, Innovate, Lead’ sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat belia melalui literasi digital, asas AI, pemikiran keusahawanan serta kemahiran komunikasi dan pemikiran kritikal selaras dengan keperluan pasaran kerja yang semakin mencabar dan aspirasi ekonomi digital Sarawak.

"Penyertaan program secara hibrid itu melibatkan pelajar dan belia daripada Universiti Putra Malaysia Sarawak, Universiti Putra Malaysia, ADTEC Bintulu, Universiti Teknologi MARA Sarawak, Universiti Teknologi MARA Sabah, Universiti Kuala Lumpur, TVVET Bintulu, MRSM Bintulu serta universiti dari Indonesia dan Brunei," kata kenyataan tersebut.

Penyertaan meluas berkenaan jelas mencerminkan jaringan kolaboratif serantau dalam melahirkan pemimpin muda yang celik teknologi, berdaya saing dan bersedia memimpin era digital.

Antara sorotan utama program itu adalah latihan kepimpinan berimpak tinggi berteraskan penyelesaian masalah sebenar, pendedahan praktikal asas AI dan teknologi pintar, pengukuhan literasi digital serta penggunaan teknologi secara beretika, tambahnya.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pembangunan minda keusahawanan digital, bengkel komunikasi berkesan dan pemikiran kritikal, di samping platform jaringan belia serantau menerusi pendekatan hibrid.

“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Smart Partnership antara Universiti Putra Malaysia Sarawak dan TEGAS melalui platform Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE UPMKB), dengan TEGAS bertindak sebagai penaja utama.

"Kerjasama strategik tersebut melibatkan komuniti akademia, industri, agensi kerajaan serta pakar tempatan dan antarabangsa dalam memperkasa ekonomi digital, e-keusahawanan, pendidikan dan pembangunan sosial," tambah pihaknya kemudian.

Sebagai hab pembangunan digital negeri, TEGAS Digital Innovation Hub Bintulu menyediakan ruang kondusif untuk penganjuran bengkel, program inovasi, latihan industri, aktiviti keusahawanan dan kesukarelawanan.

Inisiatif itu turut menyokong peranan UPMS sebagai hab pengajian tinggi bertaraf antarabangsa di rantau Borneo dan Asia Tenggara membuka peluang kepada pelajar memanfaatkan kemudahan digital berimpak tinggi.

Orang ramai khususnya golongan belia digalakkan mengikuti program pembangunan bakat digital anjuran TEGAS melalui laman web rasmi dan saluran media sosialnya bagi mendapatkan maklumat terkini serta peluang penyertaan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:37 AM | Show all posts
Penguang berserah kepada pucuk pimpinan parti, rakyat
Februari 23, 2026, Isnin - 5:37pm

Untuk tentukan sama ada beliau pertahan kerusinya atau sebaliknya pada PRN akan datang



PENGUANG

MIRI: ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti dan rakyat, untuk menentukan sama ada beliau mempertahankan kerusinya (DUN Marudi) atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, keputusan tersebut bukan terletak di tangannya semata-mata, sebaliknya perlu mencerminkan kehendak pengundi serta penilaian parti terhadap rekod perkhidmatannya.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti dan rakyat untuk memutuskannya, kerana kepimpinan harus ditentukan berdasarkan prestasi, bukan cita-cita peribadi.

“Ia adalah perkara dua hala.

"Kita mungkin mahu bertanding, tetapi jika rakyat tidak mahu, ia tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Marudi di sini, semalam.

Penguang berkata, pemimpin politik seharusnya dinilai berdasarkan prestasi dan sumbangan, bukan semata-mata keinginan untuk terus memegang jawatan.

Beliau berkata, beliau bersedia untuk terus berkhidmat sekiranya diperlukan, namun akan berundur dengan rela hati sekiranya rakyat merasakan sudah tiba masanya untuk wakil baharu.

“Jika rakyat tidak mahu saya meneruskan perkhidmatan dan mahukan orang lain, saya dengan senang hati akan berundur.

"Tugas ini bukan mudah.

"Orang mungkin melihat saya sentiasa tersenyum, tetapi di dalam banyak perkara yang perlu difikirkan, terutama apabila kawasan luar bandar masih ketinggalan dari segi pembangunan,” katanya.

Marudi antara kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi terbesar di Sarawak, dengan kira-kira 26,000 pengundi berdaftar dan layak mengundi yang tersebar di kawasan geografi yang luas serta mencabar.

Penguang berkata, kawasan itu merangkumi sekitar 260 rumah panjang, tidak termasuk kampung dan penempatan lain.

Menyentuh perkembangan pembangunan di Marudi, beliau berkata, penambahbaikan infrastruktur sedang dilaksanakan termasuk pembinaan jalan raya di beberapa kawasan.

Beliau menambah, bekalan elektrik dijangka mencapai liputan penuh menjelang Jun atau selewat-lewatnya hujung tahun ini manakala capaian Internet masih menjadi cabaran di beberapa lokasi.

Lebih 100 menara telekomunikasi telah dipasang di seluruh kawasan Marudi, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan komunikasi termasuk di kawasan pedalaman.

“Walaupun masih ada beberapa tempat yang capaian Internetnya agak perlahan, ia jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peruntukan negeri untuk Marudi sepanjang lima tahun lalu, Penguang berkata beliau berpuas hati kerana tiada satu pun permohonan pembangunan yang ditolaknya, malah menyifatkan jumlah dana yang diterima sebagai amat besar, namun enggan mendedahkan angka khusus.

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah projek pembinaan jalan raya sepanjang 142 kilometer Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (MMMLL) bernilai RM3.8 bilion yang dijangka merancakkan pembangunan kawasan pedalaman Sarawak, khususnya wilayah Baram termasuk Marudi.

Satu lagi projek adalah Jambatan Marudi yang menelan kos RM116.5 juta yang siap pada 10 November 2024.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 24-2-2026 09:38 AM | Show all posts
Pintasan Kemuyang ditutup sementara separuh jalan
Februari 23, 2026, Isnin - 5:45pm



Penutupan sementara separuh jalan akan dilaksanakan di Pintasan Kemuyang bagi kerja-kerja pemasangan pembetung.

SIBU: Laluan di Pintasan Kemuyang, Sibu akan ditutup sementara secara separuh jalan bermula hari ini hingga Rabu, jam 8 pagi hingga 5 petang bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan pembetung dilaksanakan.

Menurut notis dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, penutupan sementara itu melibatkan sebahagian laluan di kawasan berkenaan sepanjang tempoh kerja dijalankan.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan, mematuhi papan tanda keselamatan yang disediakan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu di talian 084-314040 atau DAL HCM Sdn Bhd (084-220400) pada waktu pejabat atau Yusuf (019-4831093).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:39 AM | Show all posts
Golongan belia digesa berperanan sebagai pemangkin transformasi digital
Februari 23, 2026, Isnin - 5:54pm



Ali merakam kenangan bersama peserta SDC 2026.

KUCHING: Golongan belia khususnya peserta Bootcamp Sarawak Digital Champion (SDC) 2026 digesa memainkan peranan sebagai pemangkin transformasi digital di daerah masing-masing bagi memberi manfaat kepada komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak Ali Suhaili berkata, kekuatan sebenar program itu bukan terletak pada latihan sahaja tetapi pada komitmen peserta untuk kembali ke komuniti sebagai pemimpin yang membimbing dan memberi inspirasi.

“Kita mahu belia bukan sahaja celik digital tetapi tampil sebagai pemimpin yang membimbing dan memberi keyakinan kepada komuniti mereka untuk bergerak seiring dengan arus digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan bootcamp itu, yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama AZAM Sarawak dan disertai wakil daripada 45 daerah seluruh Sarawak.

Menurut Ali, transformasi digital tidak hanya memerlukan kemahiran teknikal tetapi juga menuntut kefahaman konteks setempat, komunikasi yang berkesan dan kemampuan membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

“Komunikasi yang berkesan membina kefahaman, kepercayaan dan penyertaan.

“Apabila komuniti memahami manfaatnya, mereka akan turut serta secara aktif,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak komuniti di seluruh Sarawak untuk bersama-sama menyambut kehadiran ejen SDC yang akan turun ke daerah masing-masing bagi melaksanakan program bimbingan dan pemerkasaan digital.

“Transformasi ini memerlukan sokongan bersama. Apabila ejen kembali ke daerah mereka, kita harap komuniti dapat terlibat secara terbuka dan melihat ini sebagai usaha memperkukuh kapasiti setempat.

“Malah saya yakin program ini akan melahirkan pemimpin digital tempatan yang bukan sahaja mahir teknologi, tetapi komited untuk memastikan komuniti mereka turut maju bersama dalam era digital,” ujarnya.

Program itu akan diteruskan dengan modul pembangunan berstruktur selama enam bulan, merangkumi sesi bimbingan, pemantauan dan pelaksanaan inisiatif digital di peringkat daerah.

Bermula April, peserta akan kembali ke kawasan masing-masing untuk melaksanakan program pertama bersama komuniti setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-2-2026 09:40 AM | Show all posts
Penganjuran kali keempat Bazar Meditel HUS disertai 50 penjaja meriahkan Ramadan
Februari 23, 2026, Isnin - 6:49pm



Wan Samsulri (tiga kiri) merakam kenangan bersama salah seorang penjaja yang menjual apam balik di Bazar Meditel HUS yang terletak di Ceria Street Meditel HUS.

KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) berubah wajah setiap kali Ramadan menjelma apabila kawasan Meditel bertukar menjadi lokasi tumpuan warga hospital dan komuniti setempat.

Timbalan Pengarah Pengurusan HUS Wan Samsulri Wan Hasbi berkata, ini merupakan penganjuran kali keempat Bazar Meditel HUS dengan penyertaan 50 peniaga melibatkan jualan makanan dan pakaian.

Bazar berkenaan dianjurkan setiap tahun dengan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Ini kali keempat kita mengadakan bazar ini. Setiap tahun kita mohon lesen daripada DBKU dan alhamdulillah ia mendapat pengiktirafan pihak berkuasa tempatan.

“Untuk tahun ini, sebanyak 50 lot telah disediakan melibatkan jualan makanan serta pakaian. Saya lihat ada pembaharuan dari segi pengurusan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengarah HUS merasmikan Bazar Ramadan HUS di Ceria Street Meditel HUS di sini.

Menurut beliau lagi, penganjuran kali ini turut memperlihatkan kerjasama erat antara pihak Meditel dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) HUS, menampakkan suntikan elemen kebajikan dalam suasana perniagaan.

Lebih membanggakan, aspek kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa menjadi keutamaan penganjur.

Tapak bazar yang terletak di kawasan Meditel itu disusun rapi dengan khemah yang kemas serta persekitaran yang bersih dan teratur.

“Kita memang menitikberatkan kebersihan. Dari semasa ke semasa, pegawai penguat kuasa hospital akan melakukan pemeriksaan termasuk aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

“Tahun lepas, pihak DBKU juga turun padang memeriksa serta memberi panduan kepada peniaga,” jelas beliau.

Bazar Meditel HUS dibuka bermula 19 Februari lalu sehingga 20 Mac depan, dari jam 1.30 petang hingga 7 malam.

Tahun lalu, jumlah pengunjung dianggarkan mencecah antara 8,000 hingga 10,000 orang pada satu-satu masa.

Dengan kira-kira 5,000 kakitangan bertugas di HUS sahaja, bazar itu bukan sekadar tempat membeli juadah berbuka puasa malah menjadi ruang melepaskan lelah selepas seharian berkhidmat, tambah beliau.

Menariknya, pengurusan bazar dan kemudahan di HUS turut menarik perhatian hospital dari Kuala Lumpur yang hadir melawat untuk mempelajari model pengurusan di sini termasuk konsep penginapan Meditel, ruang makan dan kemudahan membeli keperluan dalam satu kawasan.

Wan Samsulri turut mengedarkan sumbangan bubur lambuk dan apron percuma tajaan PETROS dan CCK kepada para penjaja yang berniaga semalam.

Di tengah hiruk-pikuk dunia perubatan, Ceria Walk HUS membuktikan bahawa hospital bukan sekadar tempat merawat tetapi juga ruang membina komuniti yang penuh rasa dan nilai kebersamaan sepanjang Ramadan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:44 AM | Show all posts
Bazar Ramadan bantu masyarakat tingkatkan pendapatan
Februari 23, 2026, Isnin - 8:33pm

Bukan sekadar lokasi jualan makanan berbuka puasa, ia platform untuk peniaga kecil jana pendapatan tambahan



Fazzrudin (tengah) bersama Tan Kai (tiga kiri) menyalakan pelita sebagai simbolik perasmian. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Penganjuran bazar Ramadan satu cara untuk membantu masyarakat setempat meningkatkan pendapatan, khususnya dalam kalangan peniaga kecil dan usahawan mikro.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata bazar Ramadan bukan sekadar lokasi jualan makanan berbuka puasa, tetapi menjadi platform ekonomi penting yang membuka peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan.

“Setiap tahun penganjuran ini memberi ruang kepada peniaga kecil untuk berniaga dan memasarkan produk mereka.

"Inilah peluang terbaik untuk menambah pendapatan keluarga sepanjang Ramadan,” katanya kepada pemberita ketika Program Walkabout di Bazar Ramadan Emart Matang di sini hari ini.

Fazzrudin yang juga ADUN Tupong turut merasmikan bazar tersebut diikuti pengagihan topi dan apron kepada peniaga disusuli dengan pengagihan 500 pek bubur lambuk kepada pengunjung di bazar tersebut.

Fazzrudin turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, iaitu pihak Emart dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), yang konsisten menganjurkan bazar tersebut saban tahun dengan sokongan pelbagai penaja.



Fazzrudin (tiga kiri) mengagihkan topi dan apron kepada peniaga di Bazar Ramadan Emart Matang. - Gambar Roystein Emmor

Menurut penganjur, sebanyak 63 gerai jualan beroperasi tahun ini, dengan 16 daripadanya menjual minuman manakala selebihnya menawarkan pelbagai jenis makanan termasuk juadah panggang.

Bazar Ramadan Emart Matang telah dianjurkan lebih 13 tahun dan tahun ini dibuka bermula 19 Februari hingga 18 Mac.

Fazzrudin berkata, sambutan positif daripada pengunjung membuktikan bazar berkenaan bukan sahaja membantu peniaga, malah merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Sementara itu, Pengerusi MPP Kaunselor Tan Kai berkata penganjuran bazar Ramadan turut menyumbang kepada pengukuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Bukan sahaja umat Islam yang datang membeli, malah masyarakat bukan Islam turut sama mengunjungi bazar ini.

“Ia mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi kekuatan kita di Sarawak,” ujarnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:47 AM | Show all posts
Hope Place rai enam keluarga di “JOM MAKAN Ramadan Buffet Dinner”, Restoran Imperial
Februari 24, 2026, Selasa - 7:20am



Usai berbuka puasa di “JOM MAKAN Ramadan Buffet Dinner” di Imperial Hotel, keluarga kurang berkemampuan dan pihak penganjur merakamkan gambar kenang-kenangan bersama, di sini. -Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Seramai 31 individu daripada enam buah keluarga kurang berkemampuan diraikan pada majlis berbuka puasa “JOM MAKAN Ramadan Buffet Dinner” di Imperial Hotel, semalam.

Menurut Pengasas Hope Place, Kelvin Wan ia diadakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang telah dimulakan sejak 2014 lagi.

"Pihak kami akan terus komited menyantuni golongan memerlukan dan buat masa ini masih menjaga kebajikan seramai 339 buah keluarga.

"Hope Place juga telah memilih enam buah keluarga daripada jumlah di bawah jagaan pihak kami untuk diraikan dan tahun depan pula, kita akan memilih keluarga yang lain," katanya berkongsi kepada pemberita.

Kesemua individu turut disampaikan angpau dengan setiap keluarga diberikan sekampit beras dan bantuan makanan kering lainnya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Imperial Hotel Irene Tan memberitahu Ramadan memberi peluang terbaik untuk umat Islam mengeratkan hubungan bersama keluarga, rakan serta rakan niaga ketika berbuka puasa.

“Di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di sini, melalui penganjuran ini, kami bukan sahaja menawarkan pengalaman berbuka puasa yang istimewa, malah berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan agar dapat bersama-sama merasai kemeriahan Ramadan,” ujarnya.

Tahun ini, bufet “JOM MAKAN” kembali dengan hidangan lebih meriah menampilkan sajian tradisional autentik serta pilihan antarabangsa yang disediakan oleh pasukan kulinari hotel.

Antara tarikan utama termasuk pelbagai hidangan pembuka selera seperti Umai Ikan, Umai Udang, Umai Ambal, Umai Sotong dan Umai Kerang, selain aneka ikan masin, sambal, kerabu, ulam-ulaman serta sudut rojak dan salad.

Tetamu turut menikmati hidangan istimewa seperti kambing panggang bersama nasi Arab, ikan bakar dengan sos istimewa cef, serta pilihan di stesen panggang yang menyajikan ayam bakar, daging lada hitam, makanan laut segar dan sate dengan pelbagai sos.

Bagi penggemar hidangan tempatan, hotel berkenaan turut menampilkan 27 jenis lauk-pauk menerusi konsep Nasi Campur dan Nasi Lemak yang mengetengahkan cita rasa Sarawak dan kegemaran rakyat Malaysia.

Tidak lengkap Ramadan tanpa Bubur Pedas yang menjadi hidangan wajib, selain itik panggang istimewa Imperial, ayam BBQ dan Chicken Ngo Hiang.

Bufet ini juga menawarkan pelbagai sup termasuk Sup Ekor Lembu, Sup Kambing Mamak serta sup gaya Cina.

Selain bufet harian, hotel tersebut turut menawarkan pakej makan malam persendirian untuk majlis berbuka puasa berkumpulan dengan kemudahan bilik fungsi, sistem siar raya asas serta minuman.

Sepanjang tempoh promosi Ramadan pihaknya juga menyediakan kemudahan surau di Aras 1 dan Aras 5 bagi memudahkan tetamu menunaikan ibadah.

Inisiatif berkenaan ujar beliau mencerminkan keprihatinan pihaknya dalam memainkan peranan membantu komuniti setempat selari dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai ihsan, kebersamaan dan kesyukuran.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:48 AM | Show all posts
Konsep bazar Ramadan perlu diperluas ke perayaan lain: Hamzah
Februari 24, 2026, Selasa - 9:12am



Hamzah ketika mengunjungi gerai peniaga pada majlis perasmian Bazar Ramadan MPKS Zon Stakan di tempat letak kereta berhampiran Pasar Raya Farley di Kota Samarahan. -Gambar UKAS

KUCHING: Konsep penganjuran bazar Ramadan disaran diperluaskan ke perayaan lain termasuk sambutan Hari Gawai Dayak sebagai platform memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim berkata, pelaksanaan Bazar Ramadan bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada peniaga, malah menjadi medium mempererat hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.

Sekiranya pendekatan sama dilaksanakan sempena sambutan Hari Gawai, katanya, ia mampu mengetengahkan serta mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang menjadi kekuatan Sarawak.

“Justeru, saya harap konsep penganjuran seperti ini tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja, malah insya-Allah boleh diperluaskan dan diadakan sempena sambutan Hari Gawai pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Zon Stakan di tempat letak kereta berhampiran Pasar Raya Farley di Kota Samarahan pada Isnin.

Dalam pada itu, Hamzah merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) atas inisiatif menganjurkan bazar berkenaan yang membuka peluang kepada warga setempat menjana pendapatan tambahan, khususnya sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Terima kasih kepada MPKS atas inisiatif menganjurkan bazar Ramadan sebegini yang memberi peluang kepada warga setempat untuk mencari sumber pendapatan, khususnya bagi menampung perbelanjaan menjelang Hari Raya,” ujarnya.

Menurutnya, usaha tersebut membuktikan keprihatinan pihak berkuasa tempatan dalam membantu peniaga kecil dan sederhana meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Pada majlis itu, Hamzah turut mengagihkan bubur lambuk kepada para peniaga serta pengunjung sebagai simbol kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:49 AM | Show all posts
Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan libatkan dua lori
Februari 24, 2026, Selasa - 9:20am

SIBU:  Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas dua buah lori terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu 12, tengah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dengan bantuan BBP Sarikei ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, kemalangan membabitkan sebuah lori muatan baja yang melanggar bahagian belakang sebuah lori tangki.

“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati dua lelaki yang juga kelindan lori muatan baja tersepit di dalam kabin manakala pemandu lori berkenaan berjaya keluar sendiri dalam keadaan cedera,” menurut kenyataan tersebut.

Operasi menyelamat bagaimanapun berdepan kesukaran serius berikutan ruang kerja yang sempit, struktur kabin yang remuk serta kedudukan kedua-dua kenderaan yang bertindih.

Keadaan itu menyukarkan anggota bomba untuk mengakses mangsa yang tersepit.

Pasukan bomba terpaksa menunggu bantuan sebuah lori dari Sarikei bagi menarik dan menstabilkan kenderaan terbabit untuk membuka ruang kerja yang lebih selamat sebelum operasi mengeluarkan mangsa dapat dijalankan sepenuhnya.

Seorang mangsa yang berada dalam keadaan sedar berjaya dikeluarkan selepas operasi merenggangkan struktur kabin menggunakan peralatan ‘telescopic ram’.

Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Seorang lagi mangsa yang tidak sedarkan diri, dikenali sebagai Stanley Ali, 30, disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi kejadian.

Pasukan bomba seterusnya menggunakan peralatan pemotong hidraulik bagi memotong bahagian kabin yang tersepit sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Dua mangsa yang cedera masing-masing berusia 22 dan 30 tahun.

Seramai 13 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Turut berada di lokasi ialah tujuh anggota polis serta enam petugas KKM.

Operasi ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:51 AM | Show all posts
Pemilik bangunan runtuh di Sibu belum dibenarkan masuk ke lokasi demi keselamatan: Tiang
Februari 24, 2026, Selasa - 9:39am



Gambar fail yang dirakam menunjukkan keadaan semasa unit rumah kedai di Jalan Pahlawan yang runtuh. - Gambar Peter Boon

SIBU: Pemilik kedai yang terjejas akibat insiden runtuhan bangunan di sini kekal tidak dibenarkan memasuki premis masing-masing sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat.

Menurut kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang yang disiarkan di Facebook rasminya pada Isnin, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Keselamatan nyawa adalah keutamaan. Walaupun kami memahami keinginan pemilik untuk mengambil barangan mereka namun sebarang kemasukan hanya boleh dilakukan selepas pakar mengesahkan struktur bangunan selamat,” katanya.

Pada Isnin, beliau mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti perkembangan siasatan serta penilaian keselamatan berhubung insiden runtuhan bangunan kedai tersebut.

Katanya, penilaian profesional oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) menunjukkan laporan awal mengesahkan bangunan berada dalam keadaan amat tidak selamat.



Tiang (duduk tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut pada Isnin.

“Struktur bangunan berisiko tinggi untuk dimasuki dan terdapat kemungkinan runtuhan susulan,” jelas Tiang.

Larangan memasuki premis masih dikuatkuasakan sehingga pemeriksaan lanjut selesai dilaksanakan.

Mesyuarat yang dipengerusikan beliau juga bersetuju melantik pakar bebas untuk menjalankan penilaian teknikal terperinci.

Beliau menegaskan, langkah ini penting bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berdasarkan dapatan profesional yang menyeluruh.

Pihak berkuasa juga sedang meneliti tindakan susulan yang bersesuaian termasuk kemungkinan perobohan sepenuhnya bangunan sekiranya didapati tidak lagi selamat.

“Segala tindakan akan dilaksanakan secara berhati-hati dan sistematik bagi mengelakkan risiko kepada orang awam serta premis berhampiran,” katanya.

Tiang turut menggesa pemilik premis menyediakan senarai inventori barangan masing-masing bagi memudahkan urusan dokumentasi dan proses susulan.

“Kami akan terus memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. Diharapkan semua pihak dapat bersabar sementara proses keselamatan ini diselesaikan,” tambah beliau.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:56 AM | Show all posts
Bantuan Imarah Ramadan perkukuh aktiviti keagamaan Melalap
Februari 24, 2026, Selasa - 9:28am



SERAH: Jamawi (tiga kiri) menyampaikan cek replika sumbangan kepada Dr Zulasri (dua kanan) sambil disaksikan oleh tetamu jemputan yang lain.

TENOM: Program Semarak Ramadan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap bertemakan 'Semerbak Kasih, Seharum Budi' dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh aktiviti keagamaan serta kebajikan masyarakat menjelang bulan Ramadan.

Program itu turut menyaksikan penyaluran sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Tabung Badan Dakwah Daerah Tenom.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar dan diterima oleh Pengerusi Badan Dakwah Daerah Tenom, Dr Zulasri Pitting yang juga Penolong Pegawai Daerah Tenom.

Selain itu, bantuan untuk Imarah Ramadan turut disampaikan kepada 11 buah masjid, 18 buah surau serta dua madrasah tahfiz dalam kawasan DUN Melalap.

Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berharap bantuan itu dapat membantu pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan termasuk aktiviti ibadah, kebajikan dan pengimarahan rumah ibadat.

Beliau turut menzahirkan harapan agar inisiatif itu memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.

“Semoga bantuan ini dapat membantu semua masjid dan surau dalam melaksanakan program sepanjang Ramadan,” katanya pada program yang diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Agama Negeri (SAN)  Chinta Mata di sini kelmarin.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarkat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin.

Selepas program, Jamawi mengadakan ziarah bagi menyantuni keluarga yang kehilangan ahli keluarga, memberikan sokongan moral, serta menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati di Kampung Tuan dan Kampung Pulong.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:57 AM | Show all posts
Majlis Kesyukuran dan Penghargaan SMA 2024-2025 meriah
Februari 24, 2026, Selasa - 9:32am



MERIAH: Rakaman gambar kenangan semua ahli SMA bersama keluarga yang hadir pada majlis itu.

TUARAN: Selupoh Masters Athletics Club (SMA) terus mengorak langkah memperkasa arena olahraga Masters apabila buat julung kalinya berjaya menganjurkan Majlis Kesyukuran dan Penghargaan 2024–2025 dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kebersamaan.

Majlis yang menghimpunkan hampir keseluruhan ahli kelab bersama keluarga masing-masing itu, sekali gus mencerminkan kekuatan solidariti komuniti atlet masters di daerah ini.

Kehadiran tetamu jemputan serta tokoh-tokoh sukan masters Tuaran seperti Timbalan Presiden Sabah Athletics Association, David William, Ombilod Onul dan Tarmizi Sandhu, turut menyerlahkan lagi prestij majlis.

Presiden SMA, James Patrick berkata, penganjuran majlis itu bukan sekadar acara penghargaan, tetapi simbol kesyukuran atas perjalanan cemerlang kelab sejak penubuhannya pada 12 Jun 2024.

Beliau menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran 1st Tuaran Athletics Masters Open Championship 2025 (TAMOC 2025) yang telah meletakkan SMA sebagai antara penggerak aktif pembangunan sukan Masters di Sabah.

James turut memuji komitmen luar biasa atlet-atlet SMA yang kekal berdisiplin, kompetitif dan berdaya tahan dalam mengharumkan nama kelab melalui kutipan pingat di pelbagai kejohanan peringkat daerah, negeri, kebangsaan hingga antarabangsa.

“Semangat juang, disiplin tinggi dan kesetiaan atlet masters SMA membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersaing di pentas olahraga,” katanya.

Penghargaan mendalam beliau kepada para penderma dan rakan strategik yang telah menyokong kejayaan TAMOC 2025, sambil menzahirkan harapan agar sokongan padu ini akan diteruskan menjelang penganjuran 2nd Tuaran Athletics Masters Open Championship 2026 (TAMOC 2026) pada 28 sehingga 30 Mac 2026 di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

Pengiktirafan juga diberikan kepada penyumbang hadiah cabutan nama bertuah serta barisan Ahli Jawatankuasa SMA 2024–2026 yang menjadi tulang belakang pengurusan dan penggerak utama aktiviti kelab.

Majlis itu bukan sahaja meraikan pencapaian, malah memperkukuh tekad SMA untuk terus melahirkan atlet masters yang berdaya saing, berdisiplin dan bersemangat tinggi dalam memartabatkan sukan olahraga di Sabah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-2-2026 09:58 AM | Show all posts
UMNO kini melalui fasa penilaian semula: Suhaimi
Februari 24, 2026, Selasa - 9:38am



SUHAIMI

SANDAKAN: Ulang tahun ke-35 UMNO Sabah hadir pada saat landskap politik negara sedang melalui fasa penilaian semula oleh rakyat.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ia bukan sekadar ulang tahun organisasi, tetapi titik penting untuk menentukan hala tuju menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.

"Pilihan Raya Umum Ke-16 akan menjadi medan ujian terhadap keupayaan parti-parti politik menawarkan kestabilan yang konsisten, pelan ekonomi yang jelas dan kepimpinan yang mampu membuat keputusan sukar dalam keadaan mencabar.

"Pengundi hari ini lebih kritikal, lebih bermaklumat dan menilai berdasarkan prestasi," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata, keutamaan UMNO Sabah adalah memperkukuh kedudukan Sabah dalam agenda nasional, memastikan pembangunan infrastruktur dipercepatkan, pelaburan berkualiti ditarik masuk, peluang pekerjaan diperluas dan suara negeri ini lebih berpengaruh dalam proses pembuatan dasar Persekutuan.

Menurutnya, parti perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan strategi yang tersusun, mesej yang konsisten dan tumpuan penuh kepada keperluan rakyat.

"UMNO Sabah komited untuk memasuki fasa ini dengan persediaan rapi, pendekatan yang berfokus dan tekad untuk mengembalikan keyakinan rakyat melalui tindakan yang boleh diukur dan dilaksanakan," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 10:00 AM | Show all posts
KKCCCI dan SUCCC komited tingkatkan hubungan perniagaan
Februari 24, 2026, Selasa - 9:56am



KENANGAN: Michael (empat kanan) bersama para pemimpin perniagaan masyarakat Cina merakamkan gambar kenangan dengan dewa kekayaan.

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersatu Sabah (SUCCC) akan terus komited untuk memperkukuh hubungan dengan organisasi perniagaan tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan.

Presiden KKCCCI Datuk Michael Lui berkata, usaha itu adalah bagi memastikan kerjasama yang membina ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

"Kita akan terus berperanan sebagai jambatan, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memajukan pembangunan negeri.

"Kita akan kekal teguh, menangani cabaran industri, berinteraksi dengan pihak berkuasa dan menyumbang kepada kemakmuran Malaysia," katanya Sambutan Tahun Baharu Cina KKCCCI, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat mencari peluang pembangunan dan mahu membuktikan daya saing usahawan masyarakat Cina, memberikan perkhidmatan sepenuhnya kepada ahli persatuan dan akan menyumbangkan kepada ekonomi Malaysia.

Katanya, dengan prinsip ahli didahulukan dan objektif pertubuhan adalah untuk menyatu padu kekuatan perniagaan serta perkhidmatan kepada komuniti peniaga Cina.

"Tiga tahun akan datang akan menjadi satu pencapaian penting bagi komuniti Cina Sabah. Pembinaan Bangunan Wisma Zhong Hua bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi akan menjadi simbol perpaduan, pusat aktiviti komuniti dan platform perdagangan serta budaya.

"Bersama-sama, kita akan memastikan kejayaannya, meninggalkan legasi yang berkekalan untuk generasi akan datang.

"Pada masa yang sama, pendidikan juga menjadi keutamaan KKCCCI. Walau sesusah mana sekalipun, pendidikan tidak boleh diabaikan.

"Ini bukan sekadar slogan, tetapi prinsip panduan yang diwarisi turun-temurun," katanya.

Menurutnya, lapan buah sekolah yang dibangunkan pertubuhan itu bukan sekadar membina bilik darjah atau menyediakan kemudahan tetapi ia merupakan kerjasama dengan komuniti Cina pada kadar yang lebih luas untuk melaksanakan misi jangka panjang iaitu pemeliharaan dan penyebaran budaya Cina.

"Matlamat kita adalah menjadikan warisan budaya sebagai realiti hidup, sebati dalam kehidupan seharian.

"Kita berharap daripada kanak-kanak kecil sehingga generasi muda, semuanya akan membesar dalam suasana budaya Cina, menghayati semangatnya sebagai sebahagian daripada perwatakan dan keperibadian mereka," katanya

Menurutnya, Sebagai sebuah persatuan Cina, pihaknya mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan tradisi budaya Cina yang unggul, sekali gus menjadikan kebudayaan itu lebih dikenali dalam Malaysia.

Katanya, ia juga untuk memastikan masyarakat Cina pada masa hadapan sentiasa mengingati asal usul mereka, tanpa mengira di mana mereka berada.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 10:05 AM | Show all posts
Dr Sim teruskan tradisi kunjung-mengunjung sempena Tahun Baharu Cina di Bintulu
Februari 24, 2026, Selasa - 9:58am



Dr Sim dan isteri merakam gambar kenangan semasa mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina di kediaman Pang dan keluarga

BINTULU: Tradisi kunjung-mengunjung terus disemarak pada sambutan Tahun Baharu Cina dengan Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan isteri Datin Enn Ong Siok Ean telah mengunjungi pemimpin masyarakat Cina dan parti politik di bahagian ini Ahad lepas.

Antaranya adalah kunjungan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu juga Pengerusi SUPP Bintulu Johnny Pang Leong Ming di Good Park dan seterusnya Temenggung Datuk Chai Siong Phian di Lucky Garden, Jalan Tanjung Batu di sini.

Pang berkata, ia merupakan petang paling bermakna apabila dikunjungi oleh pemimpin yang dihormati sambil berbual mesra dalam memberikan ucapan selamat dengan harapan dapat terus bekerjasama dan mencapai kemajuan bersama pada masa depan.

Sempena menyambut Tahun Kuda 2026 katanya, diharapkan ia menjadi tahun yang penuh dengan langkah berani, momentum hebat dan peluang menarik untuk semua.



Dr Sim dan isteri semasa mengunjungi kediaman Temenggong Chai serta keluarga.

"Satu penghormatan dan kegembiraan untuk menerima rombongan timbalan premier dan isterinya.

“Pada masa sama dapat mengadakan perbincangan bermakna mengenai rancangan keseluruhan dan strategi jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk masa depan negeri ini," katanya.

Katanya, perbincangan melalui kunjungan sebegini mengukuhkan keyakinan kita terhadap hala tuju Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak untuk kekal bersatu dan terus yakin kepada Sarawak, dengan kepimpinan yang kukuh dan usaha kolektif agar negeri ini akan lebih makmur dan penuh dengan peluang untuk generasi akan datang.

Kunjungan diteruskan ke atas Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah (SM) Kai Dee Bintulu Datuk Dr Wong Aik Loung di Taman Bintulu Jalan Tanjung Batu serta Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Bintulu Noel Yek Nae Shiuan dan keluarganya di Starhill Jalan Tun Hussein Onn.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak mengakhiri kunjungannya ke atas Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI) Kong Chiong Ung di Taman Tinggi 2, Jalan Tun Hussein Onn sebelum berangkat pulang ke Kuching.



Dr Sim dan isteri bersama Pang serta Wong dan ahli keluarganya merakam gambar sebelum upacara menggaul Yee Sang.

Sebelumnya Dr Sim dan isteri bersama rakyat pelbagai kaum turut menghadiri dan memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP Bintulu di Dewan Suarah Bintulu pada paginya.



Dr Sim dan isteri bersama Pang serta Wong dan ahli keluarganya bersama-sama menggaul Yee Sang.



Dr Sim dan isteri diiringi Pang dan tetamu lain merakam gambar semasa mengunjungi kediaman Noel Yek (duduk hujung kiri) dan keluarganya.



Dr Sim, Pang dan Kong (tengah) memotong kek semasa kunjungan Tahun Baharu Cina di kediaman Kong.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 10:06 AM | Show all posts
sbh - KKCCCI dan SUCCC komited tingkatkan hubungan perniagaan

swk - Dr Sim teruskan tradisi kunjung-mengunjung sempena Tahun Baharu Cina di Bintulu

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-5-2026 10:58 AM GMT+8 , Processed in 0.837434 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list