CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Selamat Hari Raya!

 Close [Copy link]
 Author| Post time 24-2-2026 08:58 AM | Show all posts


SAMPAIKAN: Matbali bersama Ruslan masing-masing menyerahkan sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan DUN Lumadan sempena majlis berbuka puasa itu.

"Kita harap agar kesatuan dan perpaduan rakyat terus diperkukuhkan," katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada pengundi Lumadan yang memberikan sokongan kepadanya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah yang lepas.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-2-2026 08:59 AM | Show all posts
Costa Serena julung kalinya singgah ke Sabah
Februari 23, 2026, Isnin - 12:34pm



SELAMAT DATANG: Ewon menyampaikan cenderahati kepada Kapten Kapal Persiaran Costa Serena sambil disaksikan Donald dan Ahmad Rizal.

KOTA KINABALU: Buat julung kalinya kapal persiaran Costa Serena berlabuh di pelabuhan Kota Kinabalu pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Ketibaan bersejarah itu sekali gus menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang kian popular di rantau ini.

Dioperasikan oleh Costa Cruises, sebuah syarikat persiaran antarabangsa yang ditubuhkan di Genoa, Itali pada 1854.

Ia merupakan sebahagian daripada portfolio Carnival Corporation, Costa Serena melambangkan taraf kapal antarabangsa yang semakin kerap berkunjung ke pelabuhan Sabah.

Dilancarkan pada 2007, Costa Serena ialah kapal persiaran kelas resort dengan berat kasar 114,500 tan, mampu menampung kira-kira 3,780 penumpang serta lebih daripada 1,000 anak kapal.

Dengan kemudahan hospitaliti, hiburan dan kesihatan yang menyeluruh di atas kapal, lawatan itu mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkatcterhadap infrastruktur, keupayaan perkhidmatan marin dan piawaian operasi Pelabuhan Kota Kinabalu.

Majlis ketibaan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), Datuk Ewon Benedick.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin dan Pengarah Urusan Sabah Ports Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rizal Dahli bersama pegawai kanan kerajaan dan pihak berkepentingan industri.

Ewon dalam ucapannya menekankan kesan berganda pelancongan persiaran, khususnya impak langsung terhadap usahawan tempatan, perindustrian kecil dan sederhana, pengendali pelancongan, penyedia pengangkutan dan perniagaan runcit.

Beliau menyatakan bahawa ketibaan kapal persiaran menyumbang kepada perbelanjaan segera di peringkat tempatan sambil meningkatkan keterlihatan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:00 AM | Show all posts
Horizon Hotel laksana CSR sempena Ramadan
Februari 23, 2026, Isnin - 12:45pm



ALBUM: Pihak pengurusan Hotel Horizon bergambar kenangan bersama pelajar asnaf.

KOTA KINABALU: Sempena dengan bulan Ramadan 2026, Horizon Hotel Kota Kinabalu telah menganjurkan satu majlis berbuka puasa yang penuh bermakna bersama guru-guru serta para pelajar dari Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah pada hari ketiga Ramadan.

Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hotel dalam usaha menyantuni komuniti dan golongan yang memerlukan.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Horizon Hotel, Stella Chong bersama barisan ketua jabatan hotel yang turut menyambut dan meraikan para jemputan dalam suasana penuh kemesraan dan keinsafan.

Seramai 35 orang tetamu telah menghadiri majlis berkenaan, terdiri daripada 25 pelajar berusia antara 15 sehingga 17 tahun, lapan orang guru serta dua ahli jawatankuasa badan bukan kerajaan.

Menurut Stella, program itu bertujuan membawa kegembiraan dan berkongsi keberkatan Ramadan bersama anak-anak di bawah jagaan pertubuhan berkenaan.

“Kami amat berbesar hati dapat berkongsi rezeki dan membawa senyuman kepada anak-anak ini sepanjang Ramadan.

"Inisiatif CSR ini merupakan komitmen berterusan pihak hotel dalam menyokong usaha kebajikan komuniti setempat,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Stella bersama Evelyn Saw turut menyampaikan sumbangan sampul duit raya kepada para pelajar.

Selain itu, satu sumbangan cek RM3,000 turut diserahkan kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah, Mohd Ali Osman sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan berterusan organisasi itu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:01 AM | Show all posts
Kuarters Klinik Kesihatan Tongod musnah terbakar
Februari 23, 2026, Isnin - 1:08pm

KINABATANGAN: Sebuah kuarters dua pintu milik Klinik Kesihatan Tongod musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, bangunan jenis separuh kekal berkeluasan 40x60 kaki berkenaan dilaporkan terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menerusi talian NG999.

“Sepasukan enam anggota dan pegawai digerakkan bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Jarak balai ke lokasi kejadian kira-kira 172 kilometer dan pasukan tiba pada jam 6.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah kuarters dua pintu yang musnah sepenuhnya.

“Turut terjejas sebuah rumah tidak kekal berkeluasan sama yang terbakar 20 peratus serta sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus,” katanya.

Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod yang lebih awal menjalankan kerja memadam menggunakan pam angkut.

Hairi berkata, pasukan dari BBP Kota Kinabatangan kemudian menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran daripada terus merebak.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.48 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.58 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:02 AM | Show all posts
Segera atasi kesesakan lalu lintas di Luyang: YPNM Sabah
Februari 23, 2026, Isnin - 1:34pm



DAVID

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah telah menerima pelbagai aduan daripada orang awam berhubung kerja-kerja penaiktarafan jalan di kawasan Luyang, khususnya berhampiran Klinik Kesihatan Luyang.

Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, susulan lencongan jalan yang dilaksanakan, keadaan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius.

"Ia sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan harian pengguna jalan raya.

"Situasi ini menjadi lebih kritikal memandangkan terdapat sekolah serta Klinik Kesihatan Luyang di kawasan berhampiran yang memerlukan akses lancar, terutamanya pada waktu puncak dan kecemasan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, YPNM amat prihatin bahawa keadaan itu telah menimbulkan kesulitan kepada pengguna serta mengganggu aktiviti harian, termasuk akses kepada perkhidmatan kesihatan dan urusan persekolahan.

Sehubungan itu katanya, YPNM menggesa pihak berkuasa berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja penaiktarafan jalan bagi mengurangkan tempoh gangguan kepada orang awam.

"Menambah baik pelan pengurusan lalu lintas, khususnya pada waktu puncak.

"Mempertimbangkan pembukaan sebahagian laluan atau kawalan trafik yang lebih fleksibel bagi melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di kawasan terjejas," katanya.

Menurutnya, YPNM menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur adalah penting, namun ia perlu dilaksanakan dengan perancangan rapi serta mengambil kira keselesaan dan keselamatan pengguna.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:03 AM | Show all posts
Maxim Malaysia dan UiTM Sabah anjur konvoi komuniti
Februari 23, 2026, Isnin - 1:44pm



KENANGAN: Rombongan Maxim Malaysia dan UiTM Sabah merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Sempena bulan Ramadan, Maxim Malaysia, dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, telah menganjurkan konvoi komuniti yang penuh makna ke Masjid Al-A'laa, Kampung Lokub, di sini.

Seramai 18 peserta daripada UiTM Sabah, yang terdiri daripada kakitangan dan Majlis Perwakilan Pelajar, telah menyertai konvoi itu, menaiki kenderaan pemandu Maxim bagi menyampaikan 100 pek iftar secara terus kepada komuniti masjid setempat.

Melalui inisiatif itu, pek iftar telah diagihkan kepada para jemaah masjid, bukan sahaja sebagai sumber makanan, tetapi juga bagi menyampaikan mesej kepedulian, hubungan sosial dan semangat memberi.

Program ini telah memupuk rasa perpaduan yang erat, sejajar dengan intipati sebenar bulan Ramadan.

Sebagai kesinambungan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR), Maxim Malaysia terus memperluaskan program komuniti di seluruh negara, dengan fokus kepada inisiatif yang memberikan impak yang bermakna dan berpanjangan.

Pengarah Maxim E-Hailing Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, pihaknya berharap inisiatif itu memberikan manfaat dan keberkatan yang sebenar kepada seluruh komuniti.

"Maxim menantikan peluang untuk meneruskan kerjasama sebegini pada masa hadapan, selaras dengan sokongan terhadap kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan hubungan antara semua pihak,”katanya.

Sementara itu, Rektor UiTM Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita Mohamed menekankan kepentingan perkongsian dan kerjasama strategik.

"Kami percaya ini menandakan permulaan yang penting, bukan sahaja sebagai pelanggan Maxim dan rakan sinergi strategik yang dihargai, tetapi juga sebagai kolaborator yang komited dalam inisiatif komuniti yang bermakna dan berimpak tinggi," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 24-2-2026 09:04 AM | Show all posts
Penjawat awam didakwa 39 pertuduhan rasuah RM30,000
Februari 23, 2026, Isnin - 1:51pm

TAWAU: Seorang penjawat awam di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini atas 39 pertuduhan menerima suapan berkaitan kerja penyelenggaraan jalan di daerah ini.

Tertuduh, berusia 59 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, teruduh yang bertugas di sebuah jabatan Cawangan Tawau didakwa menerima wang suapan secara berperingkat antara RM200 hingga RM2,200 daripada dua individu, iaitu pengurus akaun dan penyelia tapak sebuah syarikat pembinaan.

Suapan berkenaan sebagai dorongan supaya tidak memantau dan menyelia kerja-kerja berkaitan Kontrak No. HQ.46/2019(S) iaitu penyelenggaraan Jalan Sungai Mas, Jalan Maria dan Jalan Mull, Tawau yang dilaksanakan syarikat terbabit.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 5 Mei 2020 hingga 1 Ogos 2022 di sekitar daerah Tawau, termasuk di sebuah bank di Jalan Utara.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan RM15,000 daripadanya dibayar secara tunai serta dua penjamin.

Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Tawau sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan dilarang memohon pasport atau dokumen perjalanan antarabangsa.

Sekiranya memiliki pasport antarabangsa, dokumen itu perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan pengurusan kes.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:05 AM | Show all posts
Banjir musnahkan persiapan Ramadan, penduduk Tawau rayu bantuan
Februari 23, 2026, Isnin - 2:23pm



BANTUAN: Samsiah menyampaikan bantuan makanan basah kepada mangsa banjir di Tawau.

TAWAU: Penduduk di sekitar Jambatan Tengku Usman di sini merayu campur tangan segera pihak berkuasa selepas banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Bencana banjir yang berlaku Sabtu lepas telah memusnahkan kelengkapan rumah serta menjejaskan persiapan menjelang Ramadan dan Aidilfitri mereka yang terlibat.

Rasidah Salam berkata, peralatan perabot, barangan elektronik serta sistem pendawaian elektrik di kediamannya rosak teruk akibat ditenggelami air.

“Kami bukan daripada keluarga berada. Untuk memiliki semua peralatan ini, kami terpaksa mengumpul wang dalam tempoh lama.

“Kini semuanya rosak dalam sekelip mata dalam kejadian banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan makanan daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Bantuan berkenaan disampaikan Pemangku Timbalan Presiden Harapan Rakyat, Samsiah Usman dan turut dihadiri Presiden parti itu, Tan Sri Liew Yun Fah.

Menurut Rasidah, mereka kini masih bertungkus-lumus membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur dan sisa banjir bagi memastikan kediaman kembali selamat didiami.

Beliau turut berharap kawasan sungai berhampiran kediaman mereka dapat dibersihkan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kejadian ini benar-benar menguji kami menjelang Ramadan. Beberapa minggu lagi Aidilfitri akan tiba, namun persiapan kami terjejas sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tawilok Buhan dari Kampung Rainbow, mendakwa banjir kali ini tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan fenomena air pasang yang lazim berlaku setiap tahun.

Katanya, impak yang dialami kali ini jauh lebih buruk dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

“Kami bimbang kejadian sama akan berulang sekiranya tiada tindakan segera diambil,” katanya.

Ketua Penduduk Kampung Rainbow, Nuramalina Kasran, memaklumkan sekurang-kurangnya 20 rumah terjejas, dengan sebahagian besar mengalami kerosakan peralatan rumah dan struktur dalaman.

Penduduk berharap siasatan menyeluruh dapat dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar banjir selain langkah pencegahan termasuk kerja-kerja pembersihan sungai dipercepatkan demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-2-2026 09:09 AM | Show all posts
Mangsa banjir di Paitan dan Pitas terus meningkat
Februari 23, 2026, Isnin - 4:35pm



BANTUAN: mangsa banjir di PPS Pitas menerima bantuan barangan keperluan.

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pitas dan Paitan terus meningkat menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Sabah seramai 5,086 orang.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat jam 4 petang hari ini, seramai 2,018 keluarga dari 86 kampung di tiga daerah termasuk Tawau ditempatkan di 32 PPS yang beroperasi sejak Jumaat lepas.

Di daerah Pitas, sebanyak 2,720 orang daripada 1,357 keluarga dari 46 kampung dipindahkan ke 11 PPS manakala, seramai 2,071 mangsa daripada 590 keluarga dari 39 kampung berada di 20 PPS di daerah Paitan.

Jumlah mangsa banjir di Tawau kekal seramai 245 orang daripada 55 keluarga yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.

Selain itu, jumlah mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Malangkap Tiong Kota Belud kekal seramai 50 orang daripada 16 keluarga.

Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir dan kebakaran di PPS, seramai 1,705 adalah lelaki dewasa dan 1,752 perempuan dewasa. Jumlah kanak-kanak adalah seramai 1,629 orang termasuk 793 kanak-kanak lelaki dan 836 kanak-kanak perempuan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:12 AM | Show all posts
Dua lelaki dicekup proses, jual ketum di Ranau
Februari 23, 2026, Isnin - 10:14pm

RANAU: Taktik dua lelaki menjadikan kediaman di Kampung Bongkud, di sini, sebagai lokasi memproses dan menjual daun serta air ketum terbongkar apabila diberkas dalam dua serbuan berasingan, semalam.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang, lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama satu karung guni berisi daun ketum seberat 1.4 kilogram.

Turut dirampas sebuah tong gas dan dapur masak yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

Tidak sampai sejam kemudian, kira-kira jam 3 petang, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun diberkas dalam serbuan kedua.

Polis menemukan 18 botol plastik berkapasiti 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan di dalam peti sejuk.

Selain itu, sebuah tong gas dan dapur masak turut dirampas bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang diketuai Inspektor Abdul Fatah Qasim.

“Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti penjualan dan pemprosesan ketum yang menyalahi undang-undang demi memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:13 AM | Show all posts
Cubaan edar air ketum gagal di Kundasang
Februari 23, 2026, Isnin - 10:25pm



RAMPAS: Air ketum yang dipercayai untuk dijual di sekitar Kundasang dirampas.

RANAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan dan penyimpanan air ketum dalam serbuan di tepi jalan Kampung Sinisian, Kundasang, di sini, hari ini.

Dalam operasi kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sebuah beg hitam diletakkan di bahagian hadapan tempat duduk penumpang.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui lima botol air mineral berkapasiti 1.5 liter setiap satu yang mengandungi cecair disyaki air ketum.

“Anggaran harga pasaran bagi setiap botol ialah RM20,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lelaki berusia 27 tahun yang berada di dalam kenderaan berkenaan terus ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau, Inspektor Abdul Fatah Qasim.

Mursalin menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan berkaitan ketum bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah ini terus terpelihara.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:17 AM | Show all posts
‘Runner’ rokok seludup diberkas bersama 115 karton
Februari 24, 2026, Selasa - 5:58am

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ kegiatan penjualan rokok tidak bercukai diberkas bersama 115 karton rokok pelbagai jenis dalam serbuan di Kampung Selamat, di sini, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil maklumat risikan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Menurut kenyataan Batalion 22 PGA Kunak menerusi laman Facebook rasminya, pasukan menyerbu sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna hijau di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui rokok tidak bercukai yang disimpan di dalam bonet belakang serta di luar kenderaan terbabit.

“Seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun yang berada di lokasi terus ditahan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku menerima upah RM100 daripada individu dikenali sebagai ‘Jais’ untuk membawa barangan berkenaan selain menjual rokok tidak bercukai secara kecil-kecilan di sekitar Kampung Selamat.

“Turut dirampas sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM51,400 membabitkan rokok dan kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63. Suspek serta barang rampasan diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pihak berkuasa memaklumkan risikan masih diteruskan bagi mengesan rangkaian yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai itu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Post time 24-2-2026 09:17 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:19 AM | Show all posts
Pang terima kunjungan Dr Stephen Rundi sempena TBC
Februari 23, 2026, Isnin - 12:13pm



Dari kiri hadapan Datu Nyurak, Rundi dan Pang bersama-sama tetamu lain yang hadir dalam sesi kunjungan tahun baru Cina ke kediamannya, pada Ahad.

BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang menerima kunjungan tahun baru Cina daripada Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom di kediamannya di sini, pada Ahad.

Menurut Pang, kunjungan beliau yang turut disertai Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti melambangkan perpaduan yang utuh dalam kalangan pemimpin di bahagian ini sekaligus meneruskan tradisi kunjungan di setiap perayaan utama yang disambut di negeri ini tidak kira kaum serta latar belakang.

"Semua orang tidak kira bangsa serta latar belakang saling berkongsi kemeriahan sambutan perayaan utama yang disambut setiap tahun," ujarnya.

Pang sebagai menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Dato Sri Dr Rundi dan Nyurak kerana datang ke kediamannya bagi kunjungan tahun baru sekaligus berkongsi rasa kegembiraan sambutan perayaan utama kaum Cina itu.

Jelasnya, selain menzahirkan ucapan perayaan tahun baru, kunjungan Dato Sri Rundi bukan sahaja mengeratkan talian silaturahim sesama sendiri, namun pertemuan yang penuh makna ini turut membuka ruang perbincangan yang bermakna mengenai perancangan masa depan dan hala tuju pembangunan Bintulu secara keseluruhannya.

"Kami sempat membincangkan mengenai usaha bagi mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan infrastruktur termasuk strategi pertumbuhan wilayah serta perancangan ekonomi bagi memastikan bahagian ini terus kekal berdaya saing dan mampan pada masa hadapan," jelasnya.

Kemajuan ujarnya tidak akan dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya ianya memerlukan kerjasama erat serta komitmen antara semua pihak sekaligus merealisasikan impian menjadikan Bintulu sebagai sebuah  bandar maju serta berdaya saing pada masa hadapan.

"Dengan jalinan kerjasama kukuh antara kepimpinan negeri dan wilayah khususnya Bintulu, saya yakin bahawa masa depan bahagian ini akan menjadi lebih cerah dan makmur pada masa akan datang," ujarnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:20 AM | Show all posts
SDNU Kapit anjur jelajah komuniti sempena TBC
Februari 23, 2026, Isnin - 12:18pm



Dr Layang Ugek (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tuai Rumah Undi Langkau sebaik sahaja program tersebut berakhir.

KAPIT: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Kapit menganjurkan jelajah komuniti sempena cuti Tahun Baru Cina (TBC) baru-baru ini dengan membawa aspirasi pendidikan dan pembangunan terus ke desa-desa luar bandar.

Jelajah meliputi kawasan Sut (Antaroh), Bukit Mabong, Pelagus dan kawasan Nanga Merit dengan program utama diadakan di Rumah Undi Langku, Nanga Plak, Sungai Bena, Sut (Antaroh).

Lebih 20 rumah panjang menyertai program ini, membabitkan kira-kira 400 penduduk termasuk Penghulu dan Tuai Rumah dengan suasana penuh keakraban dan interaksi hangat antara penceramah dan komuniti.

Pengerusi SDNU Kapit, Dr Layang Ugek, membentangkan ceramah mengenai tiga fokus utama iaitu Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) 2026, Taman Memorial SDNU dan pendaftaran keahlian SDNU.

Beliau memberi maklumat terperinci kepada pelajar lepasan SPM dan STPM mengenai pendidikan tinggi percuma di universiti milik kerajaan negeri seperti Universiti Swinburne, Kuching, Curtin University, Miri dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu.

"Program ini membuka peluang kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian tanpa kos sekali gus meningkatkan peluang mereka di masa depan," kata Dr Layang.

Beliau turut menjelaskan senarai institusi dan kursus percuma supaya pelajar dan ibu bapa dapat membuat pilihan tepat dan bijak.

Mengenai Taman Memorial SDNU, Dr Layang memaklumkan kubur berhias mosaik dan jubin telah siap dibina dengan harga ditetapkan RM7,800 setiap satu.

Jawatankuasa pengurusan taman memorial juga diperkenalkan bagi memastikan pengurusan lebih teratur dan telus kepada komuniti.

Selain itu, Dr Layang menyeru masyarakat Dayak mendaftar sebagai ahli SDNU untuk mengukuhkan organisasi.

Beliau turut mengumumkan program adopsi Rumah Undi 2026-2027 yang memberi insentif kepada pelajar rumah panjang meneruskan pengajian: Ijazah RM500, Diploma/Politeknik/Matrik RM300, Kemahiran/Sijil RM200.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Digital Malaysia Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Datuk Jefferson Jamit atas sokongan kewangan bagi menjayakan aktiviti SDNU.

"Kerjasama semua pihak membolehkan SDNU terus memberi manfaat kepada komuniti, terutama dalam pendidikan, pembangunan komuniti, dan pemeliharaan tradisi Dayak," tambah Dr Layang.

Program jelajah ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pendidikan malah memperkukuh semangat komuniti Dayak dengan rumah panjang bersatu dalam suasana harmoni sambil menyambut perayaan Tahun Baru Cina dengan penuh keakraban.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:21 AM | Show all posts
SABERKAS Dudong agih 500 pek bubur lambuk
Februari 23, 2026, Isnin - 12:23pm



Tiong (empat dari kanan) dan yang lain merakam kenangan semasa program pengagihan bubur lambuk, semalam.

SIBU: Program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran SABERKAS Cawangan Dudong telah diadakan pada Ahad, di Masjid Istiqamah serta di kawasan seberang gerai penjaja Jambatan Lanang.

Sebanyak 500 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai dalam program agihan yang bermula 4 petang itu.

Program ini dijayakan oleh Ahli Jawatankuasa SABERKAS Cawangan Dudong dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Istiqamah.

Program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi SABERKAS Dudong, Tiong Sie Keong.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan telah menjayakan pelaksanaan program tersebut.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-2-2026 09:22 AM | Show all posts
Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Kelupu
Februari 23, 2026, Isnin - 12:28pm

BINTANGOR:  Seorang penunggang motosikal lelaki dilaporkan maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Kelupu, berhampiran Sungai Temuan, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, pihak polis menerima laporan berkaitan kemalangan tersebut pada jam 6 pagi.

“Mangsa yang maut adalah warga tempatan dan berusia 26 tahun.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Sibu menuju ke Bintangor telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar sebuah tong sampah.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Bintangor pada jam 6.19 pagi,” kata Tansli kepada media, hari ini.

Menurut Tansli, hasil pemeriksaan di lokasi kemalangan mendapati kerosakan pada motosikal tertumpu di bahagian hadapan.

Katanya, hanya terdapat serpihan milik motosikal tersebut dan tidak melibatkan kenderaan lain.

“Berikutan itu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 41(1)  Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Melalui kesempatan ini, kita ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dengan memeriksa sistem brek serta keadaan tayar, terutamanya pada musim hujan sejak kebelakangan ini,” ujar Tansli lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:23 AM | Show all posts
Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M di Masjid Bandar Sri Aman
Februari 23, 2026, Isnin - 2:36pm



Dr Abdul Rahman pada sidang media. - Gambar UKAS

KUCHING: Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M bakal berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman pada 6 Mac 2026.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan yang bertemakan ‘Ummah Maju Makmur, Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam’ itu dijadual bermula pada jam 6 petang.

“Sambutan Nuzul Al-Quran akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga dijangka hadir,” katanya yang memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Akhir Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M di Persada Majma di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman turut memaklumkan beberapa program pengisian turut disusun sempena sambutan berkenaan, termasuk Forum Perdana Saudara Kita yang akan berlangsung pada Jumaat, 6 Mac 2026 dari jam 2.30 petang hingga 5 petang di Hotel Sri Simanggang.

Selain itu katanya, turut diadakan ialah Seminar Al-Quran pada Khamis, 5 Mac 2026 dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Dewan SK (A) Sri Aman serta program Ziarah Ramadan pada hari yang sama.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:26 AM | Show all posts
TYT dan isteri Majlis Berbuka Puasa bersama pimpinan UNIFOR
Februari 23, 2026, Isnin - 2:52pm



Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah merakam kenangan bersama pimpinan UNIFOR pada Majlis Berbuka Puasa di Dewan Santapan, Surau Astana Negeri Sarawak petang semalam. - Gambar Astana Negeri Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama pimpinan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Dewan Santapan, Surau Astana Negeri petang semalam.

Ketibaan Tun Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Fauziah disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bersama suami, Dato Sayeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman.

Majlis turut dihadiri Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau bersama suami, Peter Bryan Morrison serta ketua-ketua agama-agama lain termasuk Archbishop Dato Dr Simon Poh, Dato Dr Kalwinder Singh Khaira, Dato Shankar R.P. Asnani, Krishnarao A/L Subramaniam @ Prabhu Kripa, Dr Shehab Phung Chee Wei dan Kapitan Tan Kok Shiang.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak Datu Mohammad Sepuan Anu, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak Hamdan Jar'ee, Pengarah Lembaga Urusan Tabung Haji Sarawak Amat Kassim Pait dan Pegawai Daerah Kuching Zaidi Narawi.



Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah merakam kenangan bersama ketua-ketua agama lain pada Majlis Berbuka Puasa di Dewan Santapan, Surau Astana Negeri Sarawak petang semalam. - Gambar Astana Negeri Sarawak

Majlis dimulakan dengan iftar ringan dan diikuti solat Maghrib berjemaah, sebelum sesi berbuka puasa bersama para tetamu.

Selepas itu, Tun Wan Junaidi dan isteri beramah mesra serta merakam gambar kenang-kenangan bersama delegasi UNIFOR dan ketua-ketua agama lain.

Beliau dan para jemaah kemudian menunaikan solat Isyak dan Tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Awang Mohamad Safwan Awang Sefari.

Tun Wan Junaidi juga menzahirkan rasa syukur kerana dapat berhimpun dalam suasana penuh harmoni yang memperkukuh hubungan serta mempererat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Kehadiran pemimpin daripada pelbagai latar belakang pada majlis itu juga mencerminkan keunikan dan keistimewaan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta nilai hormat-menghormati yang terus terpelihara.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-2-2026 09:28 AM | Show all posts
Malaysia dan Taiwan jalin kerjasama erat dalam pendidikan
Februari 23, 2026, Isnin - 3:57pm



Kong (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain menggaul 'yee sang' semasa majlis tersebut semalam.

BINTULU: Malaysia dan Taiwan telah menjalinkan kerjasama erat dalam sektor pendidikan sejak sekian lama dan harus dikekalkan sampai bila-bila demi perkongsian bijak dalam sektor berkenaan, kata Pegawai Tugas-Tugas Khas  Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Steven Kong Kai Seng.

Beliau yang mewakili Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, ramai anak jati Bintulu melanjutkan pengajian ke Taiwan dan setelah tamat pengajian mereka kembali menabur bakti kepada masyarakat setempat khususnya di Bintulu.

Ini sekali gus jelas beliau, menjadi tonggak penting dalam memacu pembangunan setempat dengan menekankan kepentingan menuntut ilmu bersungguh-sungguh dan kemudian menggunakan ilmu tersebut untuk berkhidmat kepada masyarakat atau negara.

Kong berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Bekas Pelajar Taiwan Sarawak Cawangan Bintulu di sini, semalam.

Menurutnya, majlis makan malam itu tepat pada masanya yang mana alumni dapat bertemu sekali gus mengeratkan silaturahim.

Kong dalam ucapannya berharap ahli persatuan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung bagi menyatukan lebih ramai golongan muda berbakat untuk meneroka ruang pembangunan yang lebih luas dalam bidang pendidikan.

Jelas beliau, ia turut meliputi bidang kebudayaan, teknologi serta industri kreatif bagi mencipta lebih banyak peluang dan kemungkinan dalam pelbagai bidang demi Bintulu dan Sarawak yang lebih baik pada masa depan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-4-2026 02:54 PM GMT+8 , Processed in 0.595176 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list