|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Selamat Hari Raya!
[Copy link]
|
|
|
Warga asing miliki syabu dipenjara dan diusir
March 12, 2026, Khamis - 1:55pm
MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki syabu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh kemudiannya dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Tertuduh, Taslim Hassan dari Sulawesi, Indonesia, didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan keterangan kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine (syabu) seberat 4.12 gram.
Methamphetamine merupakan satu item yang tersenarai dalam Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 petang, 23 Disember 2025 di tingkat bawah sebuah rumah kedai di Lutong.
Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Ashok Linggam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sabah mahu kurangkan kebergantungan sumber tenaga konvensional
March 13, 2026, Jumaat - 10:23am

SAKSIKAN: Hajiji menyaksikan penyampaian sumbangan dari Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub (tiga kiri) kepada wakil Masjid Nur Sa'adah, Kampung Laya-Laya Tuaran.
TUARAN: Kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada sumber konvensional dan beralih kepada sistem tenaga yang lebih pelbagai, lestari, serta mesra alam.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menjadi kompas strategik dalam merancang masa depan tenaga Sabah secara holistik.
“Melalui usaha perluasan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro, kita bukan sahaja mengimbangi campuran tenaga negeri, malah membina daya tahan yang kental dalam menghadapi cabaran global dan krisis iklim.
“Usaha ini adalah pelaburan kita untuk memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk dekad-dekad akan datang,” katanya di majlis pelancaran projek solar skala besar 15MW Tuaran dan Iftar Ramadan SEC di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik, di sini semalam.
Hajiji berkata, pelancaran projek Solar Skala Besar 15Megawatt (MW) di sini adalah bukti jelas sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutamanya Sabah Energy Corporation (SEC) dengan visi dasar negeri.
Beliau memuji SEC atas projek solar keduanya, menyusuli projek 5MW di Labuan yang membuktikan kredibiiti dan kemampuan teknikal dan komersial SEC dalam menerajui sektor tenaga boleh baharu.
“Projek solar ini bukan sekadar menambah kapasiti 15 megawatt (MW) kepada sistem tenaga negeri, malah ia membawa signifikan yang lebih besar dalam transformasi struktur tenaga Sabah.
Hajiji berkata, sepanjang fasa pembinaan, seramai 150 tenaga kerja akan terlibat secara langsung, termasuk tenaga kerja tempatan.
“Ini merupakan platform terbaik bagi anak watan kita menimba pengalaman industri serta menguasai pemindahan kemahiran dalam teknologi tenaga boleh baharu.
“Lebih bermakna lagi, apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan 50 peluang pekerjaan baharu merangkumi bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal, dan sokongan pentadbiran.
“Inisiatif ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah. Inilah intipati pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 iaitu pembangunan yang bukan sekadar angka, tetapi pertumbuhan yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat, dan memberi limpahan ekonomi terus kepada komuniti setempat,” katanya.
Hajiji berkata, projek itu memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri.
Menurutnya, Sabah tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan ini dan ia harus memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Kerajaan negeri kekal komited dalam memperkasakan agenda pembangunan negeri kini di bawah kerangka Hala Tuju SMJ 2.0 dan dalam usaha menjayakan agenda besar ini, sektor tenaga berdiri sebagai nadi yang paling kritikal,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kumpulan Sawit Kinabalu perkukuh komitmen integriti melalui ikrar bebas rasuah
March 13, 2026, Jumaat - 11:45am

IKRAR: Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Sdn. Bhd. dan Borneo Samudera Sdn. Bhd. diketuai oleh Hazem Mubarak Tun Musa semasa sesi ikrar bebas rasuah.
KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu memperkukuh komitmen terhadap integriti dan tadbir urus korporat menerusi Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Program anjuran Divisyen Integriti dan Governans Kumpulan Sawit Kinabalu itu dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Sesi lafaz ikrar bebas rasuah diketuai Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Hazem Mubarak Tun Musa bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi syarikat.
Pelafazan ikrar berkenaan berlangsung sejurus selepas mesyuarat pertama Lembaga Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu bagi tahun 2026.
Majlis berkenaan disaksikan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah serta Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri, KPKPj Awang Samsul Baharam Bungso.
Kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyatakan sokongan terhadap usaha berterusan Kumpulan Sawit Kinabalu dalam memperkukuh budaya integriti khususnya di peringkat pengurusan tertinggi.
Program itu melambangkan komitmen kepimpinan tertinggi syarikat dalam melaksanakan amanah dengan penuh integriti serta menolak sebarang bentuk rasuah.
Selain itu, ia memastikan setiap keputusan perniagaan dibuat secara telus, beretika dan bertanggungjawab selaras dengan prinsip tadbir urus korporat yang baik.
Melalui inisiatif berkenaan, kepimpinan syarikat berhasrat menjadi contoh teladan kepada seluruh warga kerja dalam mengamalkan nilai integriti.
Pada masa sama, usaha berkenaan turut memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan terhadap standard integriti serta profesionalisme yang diamalkan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Centre Point Sabah sasarkan 2,000 pengunjung sempena sambutan Riuh Raya
March 13, 2026, Jumaat - 11:48am

GEMBIRA: Penerima sampul raya eksklusif yang diedarkan kepada pengunjung tahun lalu.
KOTA KINABALU: Lebih 2,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahunan di Centre Point Sabah tahun ini menerusi penganjuran pelbagai program sepanjang bulan ini.
Pihak pengurusan pusat beli-belah itu memilih tema “Riuh Raya” bagi sambutan kali ini yang diinspirasikan daripada elemen tradisional budaya tempatan Malaysia.
Eksekutif Event and Art Centre Point Sabah, Dymna berkata tema berkenaan dipilih bagi menonjolkan suasana perayaan yang lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tema “Riuh Raya” turut menggambarkan semangat berkongsi serta kebersamaan dalam kalangan masyarakat ketika meraikan Aidilfitri.
“Tema ini mengingatkan kita tentang semangat berkongsi dan kebersamaan, sekali gus menggalakkan kita meraikan Aidilfitri sebagai satu komuniti tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya.
Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi mewujudkan pengalaman sambutan Raya yang meriah dan bermakna selain memupuk perpaduan dalam kalangan pengunjung.
“Antara aktiviti yang dijadualkan berlangsung ialah Gemersik Raya pada 7 hingga 8 Mac, Picnic Iftar Day pada 14 hingga 15 Mac serta Siuk Raya Fair yang turut diadakan pada 14 hingga 15 Mac.
“Program Gemersik Raya menampilkan persembahan muzik selama dua hari melibatkan buskers tempatan yang menghiburkan pengunjung dengan alunan lagu-lagu Hari Raya,” katanya.
Katanya, program itu bertujuan mewujudkan suasana Aidilfitri yang meriah di pusat beli-belah selain meningkatkan pengalaman membeli-belah pengunjung.
Sementara itu katanya, Picnic Iftar Day menjadi antara acara utama sambutan tahun ini apabila ruang dalaman pusat beli-belah diubah menjadi kawasan berbuka puasa berkonsepkan perkelahan.
“Melalui konsep ini, pengunjung berpeluang berkumpul bersama keluarga serta rakan-rakan untuk berbuka puasa dalam suasana santai tanpa perlu tergesa-gesa pulang ke rumah.
“Acara itu turut menggalakkan pengunjung membeli juadah berbuka puasa daripada vendor makanan dan minuman yang terlibat dalam Siuk Raya Fair serta restoran di dalam pusat beli-belah.
“Siuk Raya Fair yang berlangsung di Palm Square akan menampilkan 16 vendor tempatan dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman bagi memeriahkan suasana mini bazar Ramadan di lokasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Centre Point Sabah turut memperkenalkan aktiviti khas seluruh pusat beli-belah dikenali sebagai “Riuh Sampul Giveaway” bermula 10 Mac.
“Sebanyak 850 unit sampul raya eksklusif ditawarkan kepada pengunjung yang berbelanja RM100 atau lebih dalam satu atau dua resit gabungan di premis terpilih.
“Pengunjung boleh menebus sampul raya berkenaan pada hari pembelian yang sama di Kaunter Informasi di aras bawah pusat beli-belah, tertakluk kepada ketersediaan stok,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Calvin dilantik pengerusi pertama Youth MTPN Sabah
March 13, 2026, Jumaat - 11:50am

LANTIK: Kevin (dua kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Calvin.
KOTA KINABALU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) merakamkan ucapan tahniah kepada Calvin Choo Sing Cheng atas pencalonan sebagai Pengerusi pertama Youth MTPN Sabah.
Yang Dipertua (YDP) MTPN Sabah, Kevin Lo berkata, pelantikan itu satu pengiktirafan bermakna yang mencerminkan keyakinan serta kepercayaan terhadap kewibawaan, pengalaman dan kemampuan kepimpinan Calvin dalam menerajui barisan kepimpinan muda di bawah naungan organisasi berkenaan.
"MTPN memaklumkan penubuhan serta pelantikan kepimpinan Youth MTPN Sabah dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh penglibatan golongan belia dalam usaha memperjuangkan hak serta kepentingan pengguna.
"Selain itu, inisiatif berkenaan juga berperanan melahirkan barisan pemimpin muda yang berintegriti, berwawasan dan berdaya saing pada masa depan," katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya, MTPN yakin kepimpinan Calvin mampu memacu perkembangan Youth MTPN Sabah sebagai satu platform yang dinamik serta progresif.
“Platform itu berpotensi menyumbang kepada usaha memperkukuh kesedaran pengguna selain memperkasakan peranan masyarakat dalam memperjuangkan hak pengguna.
“MTPN juga berharap segala perancangan, inisiatif serta agenda yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya di bawah kepimpinan beliau,” katanya.
Katanya, pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan dijangka memberi impak positif kepada masyarakat selain memperkukuh peranan MTPN sebagai organisasi yang komited dalam memperjuangkan kebajikan serta kepentingan pengguna.
Dalam pada itu katanya, MTPN turut mendoakan agar Calvin terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan serta ilham dalam memimpin Youth MTPN Sabah ke arah kecemerlangan berterusan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sbh - Tuntut perlaksanaan MA63 sebagai satu blok
Swk - 42 kakitangan BDA terima sumbanngan sempena Ramadan
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tandas cangkung lebih baik untuk kesihatan usus
March 14, 2026, Sabtu - 6:20am

DR. MUHAMMAD
KOTA KINABALU: Posisi mencangkung ketika membuang air besar sebenarnya lebih selari dengan fisiologi tubuh manusia dan boleh membantu proses penyahtinjaan berlaku dengan lebih mudah serta semula jadi.
Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Muhammad Irfan Mohamad Salmi berkata, proses penyahtinjaan bermula apabila najis memasuki rektum yang kemudian mencetuskan refleks saraf untuk memberi isyarat kepada otak bahawa sudah tiba masanya untuk membuang air besar.
Menurutnya, dalam keadaan normal beberapa mekanisme berlaku serentak termasuk pengenduran otot sfinkter dubur, pengecutan rektum serta peningkatan tekanan dalam rongga abdomen bagi membantu menolak najis keluar.
“Namun terdapat satu faktor anatomi penting iaitu sudut antara rektum dan saluran dubur yang dikawal oleh otot puborektalis.
“Dalam posisi duduk biasa, otot ini masih berada dalam keadaan separa tegang menyebabkan sudut tersebut lebih tajam dan mewujudkan sedikit rintangan kepada laluan najis.
“Sebaliknya, apabila seseorang berada dalam posisi mencangkung, otot puborektalis akan lebih relaks dan sudut antara rektum serta dubur menjadi lebih lurus, sekali gus memudahkan proses pengosongan usus,” katanya.
Beliau berkata, meneran secara berlebihan ketika membuang air besar boleh meningkatkan tekanan dalam rongga abdomen serta saluran darah di kawasan dubur.
Katanya, keadaan itu dalam jangka panjang boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti buasir, rekahan dubur serta rasa tidak puas selepas membuang air besar.
“Proses pembuangan seharusnya berlaku secara semula jadi tanpa paksaan. Jika najis sukar keluar, lebih baik menunggu dorongan semula jadi daripada usus berbanding memaksa diri untuk meneran,” katanya.

DR MOHD FIRDAUS
Sementara itu, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Profesor Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd Hayati berkata, kebanyakan rumah moden kini menggunakan tandas duduk, namun prinsip fisiologi yang sama masih boleh diaplikasikan.
Beliau berkata, pengguna tandas duduk boleh meniru posisi mencangkung dengan mencondongkan badan sedikit ke hadapan atau menggunakan bangku kecil bagi meninggikan kaki supaya lutut berada lebih tinggi daripada paras pinggul.
“Posisi ini membantu meluruskan sudut anorektal dan memudahkan proses pembuangan.
“Bagaimanapun, mencangkung di atas mangkuk tandas duduk adalah berbahaya kerana boleh menyebabkan kecederaan sekiranya mangkuk tandas pecah,” katanya.
Menurutnya, tabiat ketika berada di dalam tandas juga memainkan peranan penting dalam kesihatan usus.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membawa telefon bimbit ke dalam tandas kerana ia boleh menyebabkan seseorang duduk terlalu lama.
“Pakar kolorektal biasanya mengesyorkan tempoh kurang daripada lima minit untuk membuang air besar.
“Duduk terlalu lama, terutama sambil meneran, boleh meningkatkan risiko masalah anorektal termasuk buasir,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pengambilan serat dan air yang mencukupi, di samping membentuk rutin pembuangan air besar secara teratur.
Katanya, kebanyakan individu mempunyai dorongan untuk membuang air besar pada waktu tertentu, khususnya pada waktu pagi atau selepas makan, dan isyarat semula jadi itu tidak seharusnya diabaikan.
“Menahan najis terlalu lama boleh menyebabkan najis menjadi keras dan sukar dikeluarkan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar kebersihan kawasan dubur selepas membuang air besar dijaga dengan baik bagi mengelakkan iritasi, keradangan atau jangkitan pada kawasan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|