CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Selamat Hari Raya!

 Close [Copy link]
 Author| Post time 25-2-2026 12:48 PM | Show all posts
Pang mahu BDA tambah tong sampah di SMK Bandar Bintulu
Februari 24, 2026, Selasa - 2:52pm



Pang semasa meneliti sendiri masalah longgokan sampah di pintu keluar kedua SMK Bandar Bintulu semalam.

BINTULU: Sebagai wakil rakyat yang prihatin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang telah menghubungi pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi menambah tong sampah di hadapan pintu keluar kedua sekolah berkenaan, semalam.

Jelasnya, semasa mengadakan lawatan ke tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pagi semalam, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Bintulu telah membangkitkan isu tong sampah yang tidak mencukupi bagi menampung keperluan sekolah.

"Justeru, saya sendiri telah menghubungi BDA bagi menambah bilangan tong sampah supaya tidak lagi berlaku limpahan lebihan sampah yang bukan sahaja menyakitlkan mata memandang, malah melibatkan isu kebersihan sekolah serta kawasan sekitarnya," jelasnya dalam satu kenyataan semasa lawatan pemeriksaan projek RTP di sini.



Longgokan sampah yang melimpah keluar akibat tong sampah yang tidak mencukupi menampung keperluan semasa sekolah.

Menurutnya, isu itu mungkin satu isu yang kelihatan kecil, namun sebenarnya amat penting kerana melibatkan aspek kebersihan persekitaran tempat anak-anak bersekolah serta kesihatan semua pihak secara amnya.

"Tong sampah yang terletak berhampiran pintu keluar kedua sekolah masih tidak mencukupi yang mana sisa buangan yang melimpah telah menjejaskan kebersihan dan dibimbangi menimbulkan kesan lain khususnya aspek kesihatan dan pencemaran bau," ujarnya.

Pang berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat dan bersih untuk anak-anak belajar serta membesar.

Justeru, beliau berharap agar BDA mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah longgokan sampah ini demi kebaikan semua pihak khususnya buat semua warga sekolah yang terkesan akibat masalah tersebut.

Katanya, tiada perkara yang terlalu kecil apabila melibatkan kebersihan serta kesejahteraan awam yang mungkin kelihatan remeh namun memberikan kesan kepada pelajar dan guru.

"Oleh yang demikian, apa sahaja yang menyentuh persekitaran pembelajaran anak-anak kita wajar diberikan perhatian serius kerana sekolah merupakan tempat anak bangsa dididik hingga berjaya dalam pelajaran serta kehidupan," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-2-2026 12:49 PM | Show all posts
Kerajaan gesa perkasa komuniti Tebedu melalui PBS, belum perlu bina balai bomba baharu
Februari 24, 2026, Selasa - 2:58pm



Riot ketika bertanya soalan bertulis kepada Nga di Dewan Rakyat hari ini.

KUCHING: Pendekatan terbaik bagi meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di Tebedu dalam Parlimen Serian dengan memperkasakan komuniti setempat melalui penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), berbanding pembinaan balai bomba baharu pada masa ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya juga pembinaan balai bomba adalah berdasarkan tahap risiko kebakaran dan kecemasan di sesuatu kawasan yang dinilai melalui Kajian Risiko Kebakaran serta statistik lima tahun terkini kes kecemasan.

“Berdasarkan penilaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), skor risiko di kawasan Tebedu adalah 17 markah dan penyediaan fasiliti kebombaan di kawasan tersebut adalah kurang mendesak,” katanya.

Beliau menjelaskan skor melebihi 61 markah dikategorikan sebagai Risiko Tinggi (Kategori 3) yang memerlukan Balai A, skor 41 hingga 60 sebagai Risiko Sederhana (Kategori 2) memerlukan Balai B manakala skor 21 hingga 40 sebagai Risiko Rendah (Kategori 1) memerlukan Balai C.

Ketika ini, Tebedu menerima khidmat daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian yang terletak kira-kira 37.7 kilometer dengan anggaran masa tindak balas sekitar 34 minit.

Justeru, kerajaan berpandangan pemerkasaan komuniti melalui penubuhan PBS Pasukan Bomba Komuniti serta penganjuran kempen keselamatan kebakaran adalah strategi lebih sesuai bagi melahirkan masyarakat yang selamat dan berdaya tahan dalam menghadapi sebarang bencana.

JBPM Negeri Sarawak sebelum ini telah menubuhkan 27 pasukan bomba komuniti dengan keahlian seramai 135 orang.

Setiap pasukan diberikan latihan asas kebombaan, pencegahan kebakaran serta penggunaan peralatan kawalan awal seperti alat pemadam api.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 12:50 PM | Show all posts
Penganggur dicekup bersama syabu seberat 6.90g
Februari 24, 2026, Selasa - 3:02pm

LAWAS: Pihak polis merampas syabu seberat 6.90 gram (g) dengan penahanan seorang penganggur di tempat letak kereta di pekan Sundar, semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada jam 11.20 pagi kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Pemeriksaan badan telah menemui satu kotak rokok dan pemeriksaan lanjut terhadap kotak rokok telah menjumpai satu peket plastik dan tiga tiub penyedut minuman masing-masing berisi bahan kristal disyaki dadah syabu.

“Barang disyaki dadah jenis syabu dirampas untuk dijadikan barang kes dan berat kasar adalah 6.90g,” katanya dalam satu kenyataan.

Liong berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala semakan mendapati suspek mempunyai enam kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 12:52 PM | Show all posts
SCCCI mahu penglibatan antara kerajaan dan komuniti perniagaan diperkukuh
Februari 24, 2026, Selasa - 3:09pm



Barisan kepimpinan SCCCI bersama tetamu kehormat mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina semasa Majlis Minum Teh Tahun Baharu Cina di Dewan SCCCI, hari ini.

SIBU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) menekankan keperluan memperkukuh penglibatan antara kerajaan dan komuniti perniagaan dalam menghadapi pasaran ekonomi yang semakin tidak menentu.

Pengerusi penganjur Majlis Minum Teh Tahun Baharu Cina 2026 Ling Soon King berkata, landskap ekonomi yang berubah dengan pantas telah memberi tekanan kepada perniagaan susulan perubahan struktur, peningkatan kos dan ketidaktentuan pasaran, sekali gus menjadikan komunikasi serta penyelarasan dasar lebih penting berbanding sebelum ini.

Beliau menegaskan, SCCCI memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyokong perusahaan tempatan, malah bertindak sebagai jambatan antara komuniti perniagaan dan pembuat dasar bagi memastikan isu serta kebimbangan industri didengar dan ditangani.

"Kami berharap dasar-dasar yang responsif terhadap keperluan perniagaan dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya sambil menambah bahawa perhimpunan itu bukan sekadar acara perayaan, tetapi platform untuk memperbaharui dialog, kerjasama dan pertukaran pandangan yang bernilai kepada sektor komersial tempatan.



Tiang (lima kiri) bersama tetamu kehormat serta ahli-ahli SCCCI ketika tarian singan di hadapan bangunan SCCCI di Sibu, hari ini.

Ling menyifatkan majlis tersebut sebagai simbol keikhlasan, keharmonian dan kepercayaan serta menyuarakan harapan agar penglibatan seumpama itu dapat menjana momentum positif kepada pembangunan ekonomi Sibu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin, penasihat, ahli serta para penyokong lama SCCCI atas sumbangan berterusan mereka kepada komuniti perniagaan di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting, Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh serta Pengerusi SCCCI Lau Cheng Kiong.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 12:52 PM | Show all posts
Kebakaran di kedai cermin mata jejas peralatan elektrik
Februari 24, 2026, Selasa - 3:17pm

BINTULU: Peralatan elektrik sebuah kedai cermin mata di sebuah pusat beli belah terkemuka di sini musnah terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan angggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.35 pagi.

"Sejurus sampai pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran yang melibatkan kotak suis premis sebagaimana dilaporkan.

"Kebakaran tersebut seterusnya menyambar peralatan elektrik dalam premis," jelasnya.

Bagaimanapun jelasnya, pasukan bomba tidak melakukan sebarang kerja-kerja pemadaman kerana api berjaya dipadamkan oleh sistem pemancut air dalam premis.

Setelah keadaan didapati selamat dan tiada berlaku kebakaran berulang, pasukan bomba menamatkan operasi sebelum bertolak balik ke balai.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:00 PM | Show all posts
Pergerakan Wanita Pusat SUPP sokong tindakan fail petisyen di Mahkamah Persekutuan
Februari 24, 2026, Selasa - 3:53pm



KUCHING: Pergerakan Wanita Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap tindakan Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar pemakaian perlembagaan beberapa undang-undang minyak dan gas persekutuan di negeri ini.

Dalam kenyataan hari ini, pergerakan wanita parti itu memaklumkan bahawa petisyen berkenaan bertujuan mendapatkan penentuan muktamad berhubung kesahan perlembagaan serta pemakaian berterusan di Sarawak bagi tiga undang-undang utama iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

“Pergerakan Wanita Pusat SUPP menegaskan tindakan terbaharu Kerajaan Sarawak bukan bersifat konfrontasi, sebaliknya merupakan langkah mempertahankan hak perlembagaan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Malaysia Agreement 1963 (MA63).

“Adalah wajar dan perlu untuk Sarawak mendapatkan penjelasan autoritatif daripada mahkamah tertinggi negara berhubung kedudukan perlembagaan ini,” menurut kenyataan itu.

Pergerakan wanita itu turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang menerajui respons perundangan negeri.

Pada masa sama, Wanita Pusat SUPP menyeru seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira fahaman politik agar bersatu dalam mempertahankan sumber asli, kedudukan perlembagaan dan kepentingan generasi akan datang.

“Sarawak berhak dihormati. Kedudukan perlembagaannya mesti dipertahankan,” tegas kenyataan itu.

Kata pergerakan itu sejak 2018, PETRONAS telah memulakan beberapa tindakan perundangan yang melibatkan kuasa kawal selia dan fiskal Sarawak.

Antaranya termasuk permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 2018 bagi mendapatkan deklarasi berhubung eksklusiviti PDA 1974, semakan kehakiman pada 2019 hingga 2020 mencabar pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) lima peratus ke atas produk petroleum oleh Sarawak.

Selain itu prosiding Mahkamah Tinggi pada 2025 yang mencabar rejim pelesenan di bawah Ordinan Pengagihan Gas Sarawak (DGO), serta usul Mahkamah Persekutuan pada Januari 2026 bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia operasi syarikat itu di Sarawak.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuching pula mengekalkan kuasa perlembagaan Sarawak untuk mengenakan SST lima peratus, sekali gus menolak semakan kehakiman yang difailkan PETRONAS.

“Walaupun begitu, cabaran perundangan lanjut masih diteruskan,” tegas mereka.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 25-2-2026 01:04 PM | Show all posts
Dua lelaki cedera tercampak dalam kemalangan dua lori
Februari 24, 2026, Selasa - 4:17pm



Keadaan mangsa yang cedera di lokasi kemalangan, hari ini. - Gambar JBPM Sarawak



KUCHING: Dua lelaki cedera setelah terlibat dalam kemalangan dua lori berhampiran sebuah hotel di Jalan Muara Tebas di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.46 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua lori, dengan sebuah lori treler tidak melibatkan sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun, sebuah lagi lori terbabas ke tepi jalan dan dua mangsa lelaki tercampak keluar dari kenderaan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tiada operasi penyelamatan dijalankan oleh pasukan bomba kerana kedua-dua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan.

“Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 58 dan 47 tahun telah dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans Bulan Sabit Merah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Haryati Abdullah itu melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT.

Pasukan kemudian memastikan keadaan di lokasi adalah selamat dan terkawal sebelum menamatkan operasi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:05 PM | Show all posts
Tiga termasuk seorang wanita disyaki curi kabel elektrik diberkas
Februari 24, 2026, Selasa - 4:31pm



Polis merampas sejumlah kabel tembaga untuk dijadikan barang kes semasa menahan suspek wanita.

MIRI: Tiga individu termasuk seorang wanita diberkas polis baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel pencawang elektrik di Kuala Baram.

Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dilakukan susulan maklumat yang diterima daripada pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) yang memaklumkan berlaku gangguan bekalan elektrik di pencawang kawasan Kuala Baram selepas kabel dirosakkan dan dicuri.

Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dengan kerjasama Polis Bantuan SEB pada Sabtu lalu berjaya memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 27A Akta Keterangan 1950, polis turut mengesan dan menahan seorang wanita tempatan yang disyaki berperanan sebagai pembeli kabel tembaga yang dicuri.

Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas sejumlah kabel tembaga yang dipercayai barang curi bagi membantu siasatan dan dijadikan barang kes.

Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Polis Daerah Miri menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri serta merosakkan kemudahan asas awam dan tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-2-2026 01:06 PM | Show all posts
Kipli bakal tamatkan perkhidmatan setelah 16 tahun menerajui Jabatan Mufti Sarawak
Februari 24, 2026, Selasa - 4:37pm



Tun Wan Junaidi (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Kipli (kiri) yang bakal menamatkan perkhidmatan beliau pada 28 Februari 2026. - Gambar Penerangan

KUCHING: Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin bakal menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat selama 16 tahun menerajui Jabatan Mufti Sarawak.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak, beliau hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di kediaman rasmi beliau di Kasuma Resort.

Kunjungan itu merupakan tanda menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kepimpinan, sokongan serta perhatian yang diberikan oleh Tun Wan Junaidi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Mufti Sarawak.

Kipli dilantik ke jawatan tersebut buat pertama kali pada 1 Mac 2010 dan akan menamatkan perkhidmatan berkuat kuasa pada 28 Februari 2026.

Dilahirkan pada 3 November 1967 di Selalang, Sarikei, Kipli merupakan anak jati Sarawak berketurunan Melanau.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Kelas Pertama) dan Sarjana Usuluddin dalam bidang Pemikiran Islam daripada Universiti Malaya.

Selain itu, beliau turut memiliki sijil dalam bidang latihan dan penilaian dari Australia serta mengikuti kursus khas pengajian Islam di Muslim College, London.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi kefatwaan serta memperkasa pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini.

Antara sumbangan utama beliau termasuk menerajui usaha penyeragaman dan pengurusan fatwa di peringkat kebangsaan dan negeri serta penglibatan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Sarawak.

Beliau turut menyertai pasukan penyelidikan Malaysia berkaitan vaksin di Cuba serta bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Sarawak dalam perkara berkaitan hukum syarak.

Di peringkat Sarawak, beliau berperanan menasihati Majlis Islam Sarawak dalam pengeluaran fatwa dan perkara berkaitan undang-undang Islam.  

Kipli juga pernah menghasilkan beberapa siri penulisan, antaranya Perpaduan Pemangkin Pembangunan Ummah, Kasihnya Ibu Membawa ke Syurga, Nota Ramdan: Menggapai Taqwa Menapak Semula Fitrah, Indahnya Syawal, Bakti Anak-anak Terhadap Ibu bapa dan Dato Sri Haji Abdul Kadir Hassan: Pemikiran dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Islam di Negeri Sarawak.

Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:07 PM | Show all posts
100 orang penjawat awam Sarawak terima sumbangan ikhlas MAKSAK
Februari 24, 2026, Selasa - 4:42pm



Abang Johari serta tetamu kehormat lain bergambar bersama penerima sumbangan. - Gambar UKAS

KUCHING: Seramai 100 orang penjawat awam Sarawak menerima sumbangan ikhlas Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Sarawak pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penjawat Awam di Dewan Serba Guna Kompleks Satria Pertiwi di sini, semalam.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Penaung MAKSAK Sarawak menyampaikan sumbangan tersebut kepada 20 wakil penerima selepas selesai majlis iftar.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Selain itu, ia turut dihadiri Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain.

Terdahulu, Abang Johari menunaikan solat Maghrib bersama dif-dif kehormat dan penjawat awam Islam.

Usai majlis penyampaian sumbangan, beliau bersama dif-dif kehormat beragama Islam menunaikan solat Isyak dan diteruskan dengan solat sunat Tarawih sebelum menutup majlis dengan jamuan moreh.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:09 PM | Show all posts
​​​​​​​Wanita dilapor hilang dalam hutan di Bruit ditemui selamat
Februari 24, 2026, Selasa - 5:05pm

DARO: Seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika masuk ke hutan berhampiran Kampung Betanak, Bruit, di sini semalam berjaya ditemui dalam keadaan selamat hari ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, mangsa, 52, ditemui pada jam 12.09 tengah hari, kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir beliau dikesan.

Menurutnya, operasi hari kedua disambung semula pada jam 7.45 pagi selepas sesi taklimat bersama semua agensi terlibat.

“Operasi melibatkan tujuh kumpulan dengan kekuatan keseluruhan 95 anggota terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS), RELA serta penduduk kampung.

“Pencarian tertumpu dalam lingkungan enam kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dalam keadaan cuaca mendung,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pada jam 10.32 pagi pasukan SAR menemui petunjuk awal iaitu buah asam paya di dalam sebuah guni yang dipercayai milik mangsa.

Pasukan kemudian memperluaskan pencarian sebelum berjaya menemui mangsa dan membawanya keluar dari kawasan hutan menggunakan pengusung.

Mangsa selamat tiba di PKTK pada jam 1.45 petang.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang sebelum semua anggota dan jentera kembali ke balai.

Dalam kejadian semalam, mangsa bersama sembilan rakan lain memasuki hutan sekitar jam 7 pagi untuk mencari buah sekiu bagi dijadikan minyak.

Kumpulan itu bagaimanapun berpecah mengikut haluan masing-masing.

Sembilan daripada mereka berjaya keluar dari hutan kira-kira jam 5 petang namun mangsa gagal dikesan.

Usaha menghubungi mangsa melalui telefon bimbit berjaya pada jam 7 malam dan mangsa sempat memaklumkan lokasi keberadaannya.

Namun apabila rakan-rakan tiba di lokasi dimaklumkan, mangsa tiada dan panggilan susulan gagal dibuat seterusnya memaksa lporan polis dibuat serta-merta.

Pasukan bomba yang tiba pada jam 9.25 malam memulakan operasi pencarian bersama agensi berkaitan sebelum operasi ditangguhkan pada jam 10.50 malam atas faktor keselamatan termasuk keadaan gelap, risiko binatang buas dan bentuk muka bumi yang mencabar.

Operasi disambung semula pada pagi tadi dan berakhir dengan penemuan mangsa dalam keadaan selamat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:10 PM | Show all posts
Jawatankuasa Penganjuran Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 ditubuhkan
Februari 24, 2026, Selasa - 5:51pm



Uggah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026. - Gambar UKAS

KUCHING: Jawatankuasa Penganjuran Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 telah ditubuhkan bagi menyelaras persiapan awal sambutan berkenaan yang dijadualkan bermula Mei depan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), penubuhan jawatankuasa itu susulan Mesyuarat Penyerahan Tugas Jawatankuasa Penganjuran Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah  memaklumkan bahawa mesyuarat itu diadakan bagi memastikan segala perancangan program dilaksanakan secara teratur, tersusun dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, sambutan tahun ini perlu dilaksanakan dengan standard lebih tinggi dan perancangan rapi, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Gawai Dayak sebagai acara kebudayaan utama negeri yang mampu mengangkat warisan serta identiti masyarakat Dayak ke peringkat lebih luas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan kejayaan penganjuran sambutan pada tahun lalu.

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju melantik Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 dan dibantu oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua sebagai Timbalan Pengerusi.

Turut dilantik ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Datu Dr Cassidy Morris sebagai Setiausaha, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Desmond Douglas Jerukan sebagai Timbalan Setiausaha serta Penolong Akauntan Negeri Rolend Tama sebagai Bendahari.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 Datuk Gerawat Gala, barisan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak, Setiausaha-setiausaha Politik Premier Sarawak, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian, ketua-ketua jabatan serta wakil pelbagai agensi.

Pada mesyuarat tersebut, Gerawat turut membentangkan laporan berkaitan perancangan awal penganjuran manakala Rolend mewakili Jawatankuasa Induk membentangkan laporan kewangan sebagai rujukan dan tindakan lanjut.

Penganjuran Gawai Dayak Peringkat Sarawak saban tahun menjadi platform penting dalam memartabatkan budaya dan tradisi masyarakat Dayak di samping mengukuhkan perpaduan serta mempromosikan kepelbagaian warisan Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:13 PM | Show all posts
SUPP sokong penuh petisyen oleh Kerajaan Sarawak
Februari 24, 2026, Selasa - 6:03pm



MIRI: Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) hari ini menyatakan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi terhadap keputusan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan.

“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bahan tawar-menawar.

"Perlembagaan mesti ditegakkan dan SUPP tidak berganjak dengan pendiriannya,” demikian ditegaskan oleh parti itu dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting (gambar) memberitahu, langkah tersebut bertujuan mendapatkan penentuan kehakiman berhubung kesahihan perlembagaan serta pemakaian berterusan tiga undang-undang Persekutuan iaitu Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Akta Pelantar Benua (CSA) 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum (PMA) 1966, yang bakal menentukan setakat mana ia melibatkan hak dan bidang kuasa Sarawak.

Menurut beliau, tindakan itu bukan strategi politik, sebaliknya perhitungan perlembagaan yang sudah lama tertangguh.

Ting menegaskan, Malaysia dibentuk pada tahun 1963 berdasarkan terma perlembagaan yang dipersetujui bersama.

“Sarawak tidak menyertai sebuah negara sedia ada sebagai wilayah bawahan, sebaliknya membentuk Malaysia bersama Sabah, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru MA63 bukan catatan sejarah.

"Ia adalah kontrak persekutuan yang menjadi asas penubuhan negara,” tegasnya.

Beliau menambah, segala perlindungan, kuasa perundangan dan sempadan wilayah yang wujud pada Hari Malaysia telah dirunding secara rasmi dan dimaktubkan dalam Perlembagaan serta bertujuan untuk terus kekal.

Justeru, ia tidak boleh dipinda, dicairkan atau diketepikan melalui undang-undang Persekutuan yang bercanggah dengan imbangan asal persekutuan.

Menurut Ting, hak kedaulatan terhadap sumber petroleum dalam wilayah Sarawak kekal milik Sarawak pada Hari Malaysia.

Sehubungan itu, sebarang undang-undang Persekutuan yang bertujuan memusatkan atau mengatasi hak tersebut secara kekal mesti melalui penelitian perlembagaan paling ketat.

Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung perluasan dan penguatkuasaan beberapa undang-undang Persekutuan semasa Darurat 1969, yang kesannya berterusan walaupun darurat tersebut dibatalkan pada 2011.

“Kuasa darurat tidak pernah bertujuan mengubah struktur persekutuan secara kekal. Langkah sementara tidak boleh menjadi penyusunan semula perlembagaan secara senyap akibat kelalaian,” katanya.

Petisyen yang difailkan di bawah Perkara 4 dan 128 Perlembagaan Persekutuan itu jelasnya, bukan tindakan konfrontasi, sebaliknya satu penegasan terhadap aturan perlembagaan.

“Jika wujud keraguan perlembagaan, ia mesti diputuskan secara kehakiman, bukan secara politik, bukan secara pentadbiran dan bukan berdasarkan andaian,” ujarnya.

Ting menegaskan, mempertahankan MA63 bukan tindakan anti-nasional dan tidak bersifat memecahbelahkan, sebaliknya melindungi hak Sarawak yang akan memperkukuh Malaysia sebagai sebuah persekutuan yang tulen dan dihormati.

“Perpaduan yang dibina atas kekaburan adalah rapuh.

"Perpaduan yang diasaskan atas penghormatan terhadap jaminan perlembagaan adalah kekal,” tambah beliau lagi.

SUPP turut memuji Premier Sarawak dan kerajaan GPS atas langkah tegas serta berprinsip itu, menyifatkannya sebagai bukti kepimpinan berani dalam mempertahankan struktur asas Persekutuan.

“Ini soal mengembalikan kepastian perlembagaan.

"Ini soal menegaskan bahawa MA63 kekal sebagai batu asas Malaysia.

"Ini soal memastikan bidang kuasa, sumber dan maruah Sarawak ditadbir menurut terma asal pembentukan Malaysia,” tegasnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:14 PM | Show all posts
Pendidikan awal fokus utama SPIC 2026
Februari 24, 2026, Selasa - 6:08pm

Perbincangan penting sebagai persediaan hadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang



Fatimah bersama ahli MPAKS yang lain merakam kenangan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis itu hari ini.

KUCHING: Pendidikan awal kanak-kanak akan menjadi fokus utama pada Konvensyen Prasekolah Antarabangsa Sarawak (SPIC) 2026, yang dijadual berlangsung di bandar raya ini dari 25 hingga 27 September tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perbincangan itu penting sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang.

"Anak kita penting... segala dasar yang diputuskan pada masa ini sekiranya tersilap, akan menjejaskan masa depan mereka.

“Justeru, persidangan ini akan membincangkan setiap hal berkaitan anak-anak di peringkat pendidikan awal agar persediaan rapi benar-benar dibuat sebelum sebarang dasar dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) Bil. 1/2026 di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, konvensyen antarabangsa bertemakan ‘Kepentingan Kanak-Kanak: Mengadaptasi Perubahan dalam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE)’ itu menyasarkan kehadiran seramai 300 peserta fizikal dan 1,000 peserta maya.

“Peserta yang hadir terdiri daripada penggubal dasar, pakar akademik, pengusaha dan pendidik bagi membincangkan inovasi serta amalan terbaik dalam pendidikan awal kanak-kanak,” ujarnya.

Sementara itu, Fatimah turut menyuarakan cadangan agar taska dan tadika beroperasi di bawah premis yang sama melalui pelaksanaan lesen bersepadu.

"Langkah ini antara yang akan dibincangkan pada konvensyen berkenaan kerana dilihat mampu memperkukuh ekosistem pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.

“Pada masa sama, menjadi persediaan bagi menghadapi perubahan dasar, susulan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela bermula 2027," ujarnya.

Beliau menambah, usaha berkenaan juga dapat mengurangkan kos operasi penyedia perkhidmatan, selain memastikan tumpuan lebih berfokus diberikan kepada kanak-kanak berusia sehingga lima tahun.

"Melalui usaha ini, guru taska dan tadika dapat berkomunikasi lebih berkesan dalam memantau perkembangan fizikal, emosi, sosial serta pembinaan keyakinan diri kanak-kanak," ujarnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:17 PM | Show all posts
Tiga lelaki diberkas, pelbagai jenis dadah dirampas di Kuching
Februari 24, 2026, Selasa - 7:17pm

KUCHING: Tiga lelaki diberkas dalam dua serbuan berasingan di kawasan Hua Joo Park, Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, dalam tempoh kurang sejam, dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM7,700 pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan pertama dilakukan pada kira-kira jam 11.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan di kawasan tangga sebuah bangunan dan hasil pemeriksaan menemui tiga peket plastik putih mengandungi campuran dadah disyaki jenis ecstasy dengan jumlah berat keseluruhan 121.88 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi serbuan pertama dianggarkan berjumlah RM1,050.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamine dan semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula 25 Februari hingga 3 Mac 2026 bagi membantu siasatan.

Dalam serbuan kedua sekitar jam 12 tengah malam di sebuah premis, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 30 tahun.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemui 133 biji pil disyaki dadah jenis ecstasy seberat 55.02 gram serta 15 peket plastik kecil mengandungi serbuk disyaki ketamine seberat 14.04 gram dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6,650.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama negatif dadah manakala suspek kedua positif amphetamine, methamphetamine dan ketamine.

Semakan rekod lampau pula mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula 25 hingga 28 Februari 2026 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Alexson berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.

“JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” ujarnya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-5929211.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:18 PM | Show all posts
​​​​​​​Pikap terjunam ke gaung, lelaki maut, isteri selamat
Februari 24, 2026, Selasa - 7:22pm

MIRI: Seorang lelaki maut manakala isterinya terselamat selepas kenderaan pikap yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di jalan balak kawasan Pendang Lelat berhampiran Kem Pelutan, Ulu Baram, malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Wan Anyi, 47, manakala isterinya, Ijan Jok, 46, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah malam.

Menurutnya, selepas selesai membuat persediaan peralatan menyelamat, pada jam 12.47 tengah malam, sepasukan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi yang diketuai Komander Operasi PBK II Kebing Ngau bertolak ke lokasi yang sejauh kira-kira 220 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 7.50 pagi.

“Sebaik tiba, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab yang terjatuh ke dalam gaung dari bahu jalan.

“Setelah membuat penilaian semasa dengan menuruni cerun menggunakan tali penyelamat, PKO mendapati terdapat seorang lelaki terperangkap di dalam kereta berkenaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan ahli keluarga sebelum dibawa naik ke bahu jalan menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaik dikeluarkan dari lokasi nahas pada jam 8.45 pagi, mangsa seterusnya dibawa ke Klinik Long San untuk pemeriksaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Marudi untuk bedah siasat.

Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, pasangan itu dalam perjalanan dari Long Banga ke Miri apabila kenderaan dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung dan tersangkut pada ketinggian lima meter dari tebing jalan.

Ketika kejadian, isteri mangsa berjaya keluar dari kenderaan dalam keadaan sedar.

Tidak lama kemudian, kenderaan itu jatuh lebih dalam ke dasar gaung kira-kira 15 meter dari tebing dan tersangkut pada batang pokok.

Wanita berkenaan diselamatkan pekerja kem Pelutan sebelum dihantar ke Klinik Long San untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan stabil.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-2-2026 01:20 PM | Show all posts
Warga emas maut ditembak, suspek ditangkap bersama senapang patah
Februari 25, 2026, Rabu - 8:08am

JULAU: Seorang lelaki warga emas maut selepas ditembak menggunakan senapang patah dalam kejadian di kaki lima Rumah Panjang Minis Sungai Minus, Entabai, kira-kira jam 11 pagi Selasa.

Mangsa, Vincient Belingau, 69, disahkan meninggal dunia pada jam 11.49 pagi di Klinik Kesihatan Nanga Entaih akibat kecederaan tembakan di bahu kanan yang menyebabkan pendarahan serius.

Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat awal sekitar jam 12 tengah hari sebelum laporan rasmi dibuat pada jam 12.20 tengah hari dan pasukan siasatan digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat bagi menjalankan pemeriksaan serta mengesan suspek yang terlibat.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di kaki lima rumah panjang selepas pulang dari kebun sawit.

“Suspek dipercayai berlari dari ruai bilik nombor 10 sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan senapang patah jenis SBBL 12-bore ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alif berkata, seorang saksi yang berada berhampiran terdengar bunyi tembakan sebelum melihat mangsa tumbang.

“Saksi yang panik kemudian bergegas masuk ke dalam bilik kerana bimbang akan keselamatan diri,” tambahnya.

Anak mangsa yang berada di bilik nombor 8 keluar sebaik terdengar bunyi tembakan dan mendapati bapanya berlumuran darah.

Menurutnya lagi, suspek turut mengacukan senapang ke arah anak mangsa serta mengugut, namun beliau tetap membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di klinik akibat kecederaan parah yang dialami,” ujar beliau.

Alif berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Julau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun pada jam 1.35 petang di ruai bilik nombor 10 rumah panjang berkenaan.

“Polis turut merampas sepucuk senapang patah jenis SBBL 12-bore bersama sejumlah peluru hidup dan kelongsong peluru pelbagai jenama yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:21 PM | Show all posts
LCDA serah zakat perniagaan lebih RM1.78 juta kepada TBS bagi 2025
Februari 25, 2026, Rabu - 8:18am



Abang Johari menyaksikan penyerahan replika cek zakat perniagaan daripada Zaidi (dua kiri) kepada Abang Mohd Shibli pada Majlis Iftar LCDA Darul Hana 2026 malam Selasa. Turut kelihatan, Uggah, Dayang Norjihan dan dif kenamaan lain. Gambar UKAS

KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menyalurkan zakat perniagaan tahun 2025 berjumlah RM1,782,437.05 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat agensi itu.

Penyerahan zakat disampaikan oleh Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Acara tersebut disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Iftar LCDA Darul Hana 2026 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-45 agensi tersebut di sini, malam Selasa.

Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyempurnakan penyampaian Sumbangan Hari Raya berjumlah RM25,000 kepada 125 penerima daripada 13 kampung di kawasan Projek Pembangunan Darul Hana dengan setiap penerima menerima RM200 seorang.

Terdahulu, majlis bertemakan ‘45 Tahun LCDA Bersama Komuniti dan dihadiri kira-kira 700 tetamu, menjadi platform untuk menghargai sokongan dan kerjasama kakitangan LCDA, ketua-ketua masyarakat, agensi dan jabatan kerajaan, serta pihak media sepanjang 45 tahun perjalanan agensi itu.

Penganjurannya mencerminkan komitmen berterusan LCDA untuk terus bersama komuniti dalam menerajui pembangunan Darul Hana yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan LCDA bagi meringankan beban golongan memerlukan sempena Ramadan dan persiapan Aidilfitri, selain menghargai sokongan serta kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan Projek Pembangunan Darul Hana.

Ia juga menjadi platform memperkukuh hubungan antara LCDA, komuniti setempat dan rakan strategik.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas; anak Premier Sarawak Dayang Norjihan; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama, Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain, dif-dif kenamaan, serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:22 PM | Show all posts
40 pelatih baharu GIATMARA Miri diberi pendedahan berhubung keselamatan jalan raya
Februari 25, 2026, Rabu - 10:25am



Mohamad Nasir (kiri) sedang menyampaikan ceramah keselamatan jalan raya kepada 40 pelatih baharu GIATMARA Miri di sini, pada Selasa. -Gambar JPJ Sarawak

MIRI: Seramai 40 pelatih baharu GIATMARA Miri menerima pendedahan langsung berhubung aspek keselamatan jalan raya dalam satu sesi ceramah yang dianjurkan oleh GIATMARA, pada Selasa.

Sesi ceramah itu dikendalikan oleh dua pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri iaitu Nurhasanah Mashur dan Mohamad Nasir Abdul Latiff yang dijemput khas untuk berkongsi penekanan tentang kepatuhan undang-undang, keselamatan kenderaan serta tanggungjawab setiap pengguna untuk memastikan keselamatan di jalan raya.

Menurut JPJ Sarawak, sesi interaktif ini memberi peluang kepada pelatih memahami secara praktikal peraturan jalan raya dan amalan pemanduan selamat.

Program seperti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membentuk pengguna jalan raya yang berhemah, berdisiplin dan peka terhadap keselamatan sejak awal.

Sehubungan itu, JPJ Sarawak merakamkan penghargaan kepada pihak GIATMARA Miri atas jemputan dan Kerjasama sertaa berharap pengalaman ini dapat menanam kesedaran dan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan pelatih.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-2-2026 01:24 PM | Show all posts
Bomba Lutong selamatkan anak kucing terperangkap di celah dahan pokok bunga
Februari 25, 2026, Rabu - 10:32am



Anggota bomba BBP Lutong membantu menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap di atas pokok di Jalan Konifer, Lutong, pada Selasa.

MIRI: Seekor anak kucing yang terperangkap di celah dahan pokok bunga berjaya diselamatkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Konifer, Lutong di sini petang Selasa.

Ketua BBP Lutong, Henry Jugah, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.28 petang sebelum sebuah jentera FRT bersama enam anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.

“Pasukan keluaran operasi tiba pada jam 6.37 petang dan mendapati anak kucing berkenaan berada dalam keadaan terperangkap di celah dahan pokok.

“Komander operasi kemudian menjalankan penilaian situasi sebelum anggota bertindak mengeluarkan haiwan itu dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat dan anak kucing tersebut diserahkan kepada pemiliknya tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.42 petang dan pasukan kembali ke balai pada jam 7.20 malam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-5-2026 09:54 AM GMT+8 , Processed in 0.455274 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list