AHLI MBIP (tengah) menyerahkan dokumen bagi menandakan serahan bangunan bagi kerja penampalan keretakan flat di TUTA, hari ini. FOTO Mary Victoria
DassJohor Bahru: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melantik kontraktor bagi menjalankan kerja penampalan kesan keretakan di enam bangunan flat di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA).
Ahli Majlis MBIP Zon TUTA, Chuah Lee Hui, berkata kerja penampalan membabitkan blok 11, 13 dan 14 yang dihuni kira-kira 250 keluarga dan bermula hari ini, dijangka siap pada 3 November depan.
Menurutnya, kontraktor sudah dilantik bagi melaksanakan kerja itu dengan kos keseluruhan RM30,000.
"Hari ini kami menyerahkan blok 11, 13 dan 14 yang masing-masing bangunan berkembar bagi tujuan penampalan kesan keretakan terutama di bahagian tangga. Ia adalah inisiatif MBIP sebagai langkah jangka pendek bagi mengelakkan kesan keretakan bertambah buruk.
"Seterusnya, MBIP akan melantik pakar forensik bangunan bagi mengkaji tahap keselamatan struktur. Kami berharap penduduk memberi kerjasama sepanjang kerja baik pulih dijalankan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Pada 2 September lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 200 penghuni Blok 23, TUTA dihimpit kebimbangan apabila terdapat kesan retak ketara di beberapa bahagian flat berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk flat berusia 40 tahun itu yang mendakwa kesan retak semakin serius termasuk di laluan berhampiran tangga.
Menurutnya, Blok 13 dilaporkan mengalami masalah retak teruk, dengan tulang besi bangunan sudah terkeluar dan sebahagian struktur kelihatan senget.
Masalah itu berlarutan selama beberapa tahun, menyebabkan penduduk mengambil inisiatif sendiri menampal simen pada bahagian retak, namun tindakan itu hanya bertahan sementara.
|