Tangkap layar nahas berkenaan yang tular di aplikasi TikTok
ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam nahas membabitkan enam motosikal di Kilometer (KM) 0.9 Lebuhraya LinKedua, arah selatan di sini pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, nahas berkenaan dipercayai berlaku pada jam 7.10 pagi ketika mangsa seorang lelaki warga tempatan menunggang motosikal di lorong kiri.
"Hasil siasatan mendapati motosikal mangsa telah bergesel dengan dua motosikal lain sehingga menyebabkannya terbabas dan jatuh atas jalan raya tersebut.
"Kemudian tiga motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal yang berada di atas jalan.
"Akibatnya, mangsa yang berusia 53 tahun dan menunggang motosikal jenis Honda RS150R warna putih mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian untuk memberi rawatan awal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Kumarasan berkata, lima penunggang lain mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.
"Siasatan masih diteruskan dan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil ke pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan dan Pengurusan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan," katanya.
|