|
|
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa membenarkan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, mendapatkan semula pasport antarabangsa mereka buat sementara waktu untuk menghadiri program Islamik di Istanbul dan Bosnia.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan peguam Shaarvin Raaj, yang mewakili pasangan berkenaan. Pasport mereka akan dipulangkan hari ini dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 13 November depan.
Shaarvin memaklumkan bahawa anak guamnya akan menyertai program Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim dari 4 hingga 11 November, dan memerlukan pasport segera bagi urusan visa.
Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah turut memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.
Sebelum ini, mahkamah turut membenarkan pasangan itu mendapatkan pasport untuk menunaikan umrah pada Disember 2024.
Pada 5 Disember tahun lalu, Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa sebagai pengarah FashionValet melakukan pecah amanah dengan memindahkan RM8 juta daripada akaun syarikat kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan lembaga pengarah pada 21 Ogos 2018 di sebuah cawangan Public Bank di Bukit Damansara.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Sumber: BERNAMA, Rotikaya
|
|