Lima lelaki dituduh di Mahkamah Majistret Seremban berkait kes rompakan 62 jongkong tembaga milik sebuah syarikat di Nilai, bulan lalu. - NSTP/Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan 62 jongkong tembaga milik sebuah syarikat di Nilai, bulan lalu.
R Uthayakumar, 34, dan C Narendran, 50, masing-masing pemandu lori serta penganggur, V Navendre Nair, 24, didakwa di hadapan Hakim Datin Surita Budin mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Mereka dituduh melakukan rompakan berkumpulan 62 jongkong tembaga yang juga harta dalam kawalan sebuah syarikat, kira-kira jam 6 petang di Jalan Seremban-Bukit Nenas Highway di Nilai pada 27 September lalu.
Tiga lelaki berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya Nurnediahani Mohd Ideris menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam, S Khartigesan yang mewakili Narendran bagaimanapun memohon jaminan rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori, juga orang kurang upaya (OKU) dan perlu menanggung isteri serta empat anak.
Uthayakumar yang tidak diwakili peguam juga merayu jaminan dikurangkan atas alasan perlu menjaga ibunya yang menghidap diabetes, manakala Navendre Nair yang menganggur juga memohon jumlah rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 10 November ini untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, peniaga, G G Gartick, 39, dan pemandu lori, S Mithiran Nair, 30, didakwa bersubahat melakukan jenayah berkenaan bersama Uthayakumar, Narendran serta Navendre Nair.
Dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Mereka juga mengaku tidak bersalah sebelum Nurnadiahani menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan, namun Khartigesan memohon agar jumlah itu dikurangkan atas alasan penjamin tidak mempunyai wang mencukupi.
Surita menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan 10 November untuk sebutan semula kes.
|