Dikejar 'harimau', wanita diselamatkan selepas tersesat di hutan Bukit Dinding
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor - September 6, 2025 @ 8:20pm
Seorang wanita diselamatkan apabila tersesat di hutan Bukit Dinding selepas dikejar haiwan yang disangka harimau, hari ini. - Foto Ihsan APM
KUALA LUMPUR: Seorang wanita diselamatkan selepas tersesat di hutan Bukit Dinding, di sini selepas dikejar haiwan yang disangka harimau, hari ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.03 tengah hari.
"Menurut pemanggil, beliau tersesat dan tidak dapat mencari jalan keluar daripada bukit rekreasi berkenaan dan memaklumkan dikejar seekor haiwan seakan-akan harimau.
"Susulan itu dua pasukan dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota daripada Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Lumpur dikejarkan ke loķasi bagi memberikan bantuan," katanya.
Menurutnya, anggota APM menemui mangsa dalam keadaan sesak nafas kerana ketakutan, sebelum dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
"Haiwan yang dikatakan seakan-akan harimau itu selepas mendapatkan penerangan daripada mangsa, pasukan mengandaikan ia seekor babi hutan," katanya.
|