|
KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang pempengaruh media sosial membawa sebuah kereta ke laut untuk tujuan penggambaran membawa padah apabila dia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini, semalam. Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata pempengaruh itu ditahan dalam Operasi Iman ketika berada pada jarak 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong pada jam 6 petang. Beliau berkata, tindakan pempengaruh terbabit meletakkan kereta di atas platform yang ditarik dengan sebuah bot penumpang jelas melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO). "Platform itu dibina tanpa peralatan keselamatan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada kru, penumpang dan pengguna perairan lain," katanya. Hamiludin berkata, pihaknya turut menahan sebuah lagi bot yang mengiringi penggambaran itu kerana beroperasi tanpa lesen sah Jabatan Laut. Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit, pempengaruh, kru dan penumpang masing-masing berusia 21 hingga 32 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Katanya, semua yang ditahan warga tempatan iaitu enam kru termasuk nakhoda dan enam penumpang. "Bot bersama kru dan penumpang dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi tadi untuk siasatan lanjut. "Kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen sah dan melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran," katanya. Beliau berkata, Maritim Malaysia serius memastikan keselamatan perairan negara khususnya di Terengganu terus terpelihara dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak melanggar undang-undang maritim. Katanya, pihaknya menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia mesti dilakukan mengikut peraturan demi keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara. "Orang ramai yang ada maklumat aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu perlu menyalurkan segera ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357," katanya.
|