CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 54|Reply: 0

[Sukan & Senibela Diri] Dari tahfiz ke pentas Asia

[Copy link]
Post time 1-6-2025 05:14 PM | Show all posts |Read mode
Dari tahfiz ke pentas Asia

Oleh Helmi Talkah - Jun 1, 2025 @ 4:27pm





Armin ketika menyertai Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan. - Foto Armin Zahryl



KUALA LUMPUR: Berbekalkan disiplin yang dibentuk di madrasah, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif kini membuktikan bahawa pelajar tahfiz juga mampu mencipta kejayaan luar biasa di pentas sukan antarabangsa.

Bermula sebagai pelajar yang menghafaz Al-Quran dan menuntut ilmu agama, atlet muda kelahiran Dungun, Terengganu itu kini semakin menyerlah dalam acara 110 meter (m) lari berpagar, selepas mencatat masa 13.85 saat (s) di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan.

Catatan peribadi terbaik (PB) itu turut melayakkannya beraksi di Sukan SEA 2025 Thailand hujung tahun ini.

Jurulatihnya, Zainudin Yusof, menyifatkan kejayaan anak didiknya itu sebagai hasil kerja keras dan komitmen berterusan, malah sudah dijangka berdasarkan prestasi semasa Armin.

"Saya kenal dia sejak sekolah rendah lagi. Tapi bila dia masuk tingkatan satu, dia sambung belajar di sekolah tahfiz. Tingkatan dua, tiga dan empat pun dia masih di tahfiz. Masuk tingkatan lima baru saya ambil dia balik untuk mula latihan semula," katanya.

Menurut Zainudin, latar belakang agama dan suasana pendidikan yang diterima Armin memberikan kelebihan dari segi disiplin diri, ketekunan serta ketenangan ketika beraksi di atas trek.

"Dia anak yang baik, beradab, hormat orang tua dan sangat berdedikasi. Dia tak campur sangat dengan budak-budak lain, dia tahu apa yang dia nak capai. Kalau saya suruh buat sesuatu dalam latihan, dia ikut tanpa banyak soal," katanya.

Tambah beliau, Armin kini menjalani latihan sepenuh masa di Dungun di bawah pengawasan rapatnya, tidak seperti atlet kebangsaan lain yang berada di kem latihan di Bukit Jalil.

Menjelaskan situasi itu, Zainudin berkata, ia bukan disebabkan keengganan Armin menyertai program elit, tetapi kerana tanggungjawab keluarga yang perlu dipikul oleh atlet muda berusia 20 tahun itu.

"Armin anak orang susah. Mak dia dah tak kerja dan dia yang jaga serta tanggung mak dia di kampung. Itu sebab dia kekal berlatih di Dungun. Tapi saya tahu kemampuan dia, dan saya yakin dengan potensi yang dia ada," katanya.

Selepas mencipta catatan cemerlang di Gumi, fokus utama mereka kini ialah menghadapi Sukan SEA hujung tahun ini, dengan sasaran memecahkan rekod kebangsaan 13.68s milik Rayzam Shah Wan Sofian dan muncul juara.

"Saya yakin dia boleh capai. Saya yang latih dia setiap hari, saya tahu kelemahan dia dan apa yang perlu diperbaiki. Kami berdua tahu apa yang kami mahu capai – emas Sukan SEA. Insya-Allah," kata Zainudin.

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2025/06/1403382/dari-tahfiz-ke-pentas-asia





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Sukan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-6-2025 02:27 AM GMT+8 , Processed in 0.050752 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list