CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1026|Reply: 1

Syurga hanya terima anak memuliakan ibu bapanya

[Copy link]
Post time 20-5-2025 06:45 PM | Show all posts |Read mode




Sesungguhnya, ibu bapa adalah insan yang menjadi asbab kepada lahirnya kita ke dunia dan atas sebab itulah Islam meletakkan mereka di tempat tinggi dalam hubungan kekeluargaan bahkan digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.


Tiada keberkatan hidup tanpa adanya sifat memuliakan dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Ini kerana ibu bapa adalah kunci kepada terhasilnya barakah hidup di dunia dan memperoleh hasanah akhirat.


Selalu membelek kitab sirah yang banyak memaparkan betapa tingginya rasa hormat golongan ilmuawan Islam terdahulu kepada ibu bapa mereka. Bagi mereka ibu bapa adalah 'payung' yang menaungi kehidupan.


Di sini dicoretkan kembali satu kisah yang seharusnya kita kutip ibrahnya, bukan sekadar tatapan minda. Cerita ini berlaku pada diri seorang imam besar iaitu Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya, An-Nu'man.


Dilaporkan bahawa Khalifah Marwan menawarkan kepadanya jawatan sebagai kadi, tetapi Imam Abu Hanifah menolaknya dan ini menyebabkan khalifah naik marah, lalu diarahkan supaya beliau ditangkap serta diseksa.


Setelah beberapa ketika meringkuk dalam penjara dan diseksa, akhirnya beliau dibebaskan. Tatkala dibebaskan, Imam Abu Hanifah memberitahu yang dia sangat risaukan keadaan ibunya sehinggakan segala seksaan tidak dirasakannya. Ini kerana beliau seorang yang amat menghormati dan taat kepada ibunya. Ketaatan selepas Allah dan Rasul-Nya.


Dikisahkan lagi, pernah suatu ketika ibunya menanyakan tentang satu hukum berkenaan masalah dalam ibadah. Maka dengan penuh rasa hormat, beliau memberikan jawapan, namun apabila mendengar penjelasan Imam Abu Hanifah, ibunya kurang berpuas hati lantas berkata kepadanya, "Aku tidak mahu menerima fatwa daripada sesiapa pun kecuali Za'rah Al-Qas".


Ibunya meminta dihantar ke rumah Za'rah Al-Qas. Maka sekali lagi Imam Abu Hanifah menuruti kehendak ibunya tanpa bersungut. Sampai sahaja di rumah Za'rah, Imam Abu Hanifah pun berkata, "Ibuku meminta fatwa daripadamu, wahai Za'rah. Lalu ditanya kembali oleh Za'rah, "Mengenai apa?"


Kata Imam Abu Hanifah, "Mengenai hukum beribadat." Dengan rasa terkejut, Za'rah berkata, "Bukankah tuan lebih mengetahui akan hal ini daripada saya." Dengan penuh ketenangan, Imam Abu Hanifah menjawab, "Benar saudaraku, tetapi ibuku tidak mahu menerima jawapanku. Dia hanya mahu mendengar jawapan daripadamu."


"Kalau demikian, fatwaku sama dengan jawapan tuan." Kata Za'rah dengan rasa serba salah memandangkan Imam Abu Hanifah seorang yang pakar berkenaan hukum beribadat. Maka Imam Abu Hanifah pun memberi fatwa yang dikatakan daripada Za'rah Al-Qas. Selepas itu, barulah ibunya berasa gembira dan puas hati.


Begitulah hormatnya seorang anak terhadap ibunya, meskipun pada waktu itu Imam Abu Hanifah seorang yang tersohor dengaan keilmuannya. Namun, kerana mematuhi kehendak ibunya, dia sanggup merendahkan diri kepada orang lain.


Ada satu lagi, saudaraku tentang Imam Abu Hanifah dengan ibunya itu. Kali ini beliau menceritakan dia sering menghadiri majlis Umar bin Zar dengan tujuan bertanyakan pelbagai persoalan tentang hukum-hakam dalam agama. Juga atas permintaan ibunya.


Kehadiran Imam Abu Hanifah itu membuatkan Umar berasa hairan dan timbul di benaknya mengapa beliau berbuat demikian, sedangkan Imam Abu Hanifah seorang yang lebih berpengetahuan dan berwibawa daripadanya. Lalu ditanyalah kepada Imam Abu Hanifah, "Bukankah tuan lebih mengetahui daripada saya?" Jawab Imam Abu Hanifah penuh hormat, "Benar saudaraku. Tetapi membantah perintah orang tua adalah berdosa besar."


Lantas Umar pun berkata, "Kalau begitu, kamu beritahulah jawapanmu supaya saya dapat menjawab pertanyaan ibumu itu." Imam Abu Hanifah tanpa berlengah lalu memberikan jawapannya sambil didengar dengan teliti oleh Umar. Jawapan itulah juga yang dinyatakan kepada ibu Imam Abu Hanifah.


Lihatlah wahai saudaraku bagaimana hormat dan taatnya Imam Abu Hanifah terhadap ibunya. Ini contoh terbaik buat kita semua. Jadikanlah kisah beliau dengan ibunya itu satu ibrah dalam hidup. Ingatlah saudaraku peringatan Allah ini: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu apa pun dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu." (Surah an-Nisa ayat 36)


Firman Allah lagi yang bermaksud: "Tuhanmu memerintahkan kamu supaya jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu dan bapamu dengan sebaik-baiknya." (Surah al-Isra ayat 23)


Dalam kesibukan urusan kerjaya dan kehidupan berkeluarga sentiasa ingat mereka dalam doa kita. Yakinlah kejayaan dalam bidang kerjaya mahupun kehidupan hari ini bukan semata-mata kerana usaha keras yang kita dilakukan. Bukan juga kerana kebijaksanaan dan kepandaian kita miliki sahaja, tetapi di sebalik kejayaan itu ada doa sentiasa 'disuarakan' oleh ibu ayah kepada Allah untuk kejayaan anaknya. Doa mereka sentiasa ada meskipun suaranya tidak pernah kita dengar.


Mereka membesar dan mendidik kita penuh sabar walaupun kegetiran hidup sentiasa melanda mereka. Apa yang mereka ingin lihat tidak lain hanyalah kesejahteraan kita dan kejayaan kita.


Jadi, apabila kita sudah berjaya dan capai apa dicita-citakan giliran kita pulalah yang selalu mendoakan mereka. Sibuk macam mana sekalipun, berdoa untuk mereka usah sesekali dicicirkan.


"Wahai Tuhanku. Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Maksud Surah al-Isra ayat 24)


Demikian juga dengan kisah Al-Imam Muhammad bin Sirin, Imam besar dalam ilmu hadis, pernah meriwayatkan sebuah kisah: "Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, harga sebatang kurma pernah mencapai harga seribu dirham. Maka, seorang sahabat Nabi SAW, Usamah bin Zaid mengambil dan menebang sebatang pohon kurma serta mencabut umbutnya (yang lazat dan berlemak itu) lalu diberikan kepada ibunya sebagai makanan. Orang ramai bertanya, "Kenapa kamu buat melakukan hal seperti itu padahal harga pokok kurma ini mencapai seribu dirham?" Usamah menjawab, "Jika ibuku mengkehendaki sesuatu yang aku mampu dapatkan, pasti aku akan dapatkan untuknya!"


Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah



This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-10-2025 11:12 AM | Show all posts
Terima kasih atas perkongsian
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-11-2025 01:12 AM GMT+8 , Processed in 0.091877 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list