KENANGAN: Mohd Yaakob merakamkan gambar kenangan bersama pengamal media semasa melawat Pencawang Masuk Utama (PMU) 275kV Mengalong, Sipitang di sini.
SIPITANG: Sabah Electricity sedang mempergiat usaha meningkatkan keselamatan pekerja kontraktor elektrik di seluruh negeri susulan 14 insiden kemalangan yang dicatatkan sepanjang dua tahun kebelakangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Mohd Yaakob Jaafar berkata, daripada jumlah itu satu kemalangan melibatkan kontraktor di Marak Parak selain beberapa kes berkaitan haiwan ternakan serta insiden yang paling banyak melibatkan kontraktor yang menjalankan kerja elektrik di luar skop yang ditetapkan, termasuk di Kota Marudu dan Beaufort.
“Sebahagian besar insiden berpunca daripada kekurangan pengetahuan asas dalam kalangan pekerja kontraktor mengenai langkah keselamatan ketika bekerja berhampiran talian elektrik berkuasa tinggi.
“Ramai pekerja kontraktor tidak memiliki pengetahuan asas yang mencukupi untuk mengelak bahaya ketika bekerja di kawasan berisiko tinggi. Ini termasuk tidak memahami prosedur keselamatan yang perlu dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melawat Pencawang Masuk Utama (PMU) 275kV Mengalong, Sipitang di sini.
Oleh itu katanya, dalam usaha menangani masalah ini, Sabah Electricity menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi untuk menganjurkan kursus dan ceramah keselamatan.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pekerja kontraktor mengenai amalan keselamatan ketika bekerja berhampiran talian elektrik berkuasa tinggi.
“Selain itu, Sabah Electricity juga bekerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi memastikan setiap pekerja kontraktor yang terlibat dalam projek berkaitan elektrik memiliki kad NIOSH dalam bidang telekomunikasi.
“Pihak Sabah Electricity turut mengesyorkan agar pekerja kontraktor memperoleh passport khas dalam bidang elektrik yang setara dengan kelayakan MPSP (Malaysian Professional Skills Passport) yang diwajibkan kepada pekerja dalaman,” katanya.
Menurutnya, pematuhan kepada kelayakan ini diyakini mampu meningkatkan pengetahuan keselamatan dalam kalangan pekerja kontraktor, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan ketika bekerja berhampiran talian voltan tinggi.
“Usaha bersepadu ini diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan pekerja di lapangan, selain memastikan projek elektrik dapat dilaksanakan dengan lebih selamat dan efisien,” katanya.
|