MIRI: Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama pelancongan serantau serta menonjolkan Sarawak sebagai destinasi utama di Borneo, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menganjurkan lawatan khas untuk ejen pelancongan dan wakil media dari Brunei bermula semalam.
Acara lima hari yang dijangka berakhir Sabtu ini, dikenali sebagai Lawatan Pengenalan 5 Hari 4 Malam (5H4M) untuk ejen dan media dari negara kesultanan itu, turut diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia Brunei (TM Brunei) dan Sarawak Trade & Tourism Sdn Bhd di Brunei (STATOB).
Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh STB sebagai penganjur utama yang menaja penginapan, penerbangan dan urusan logistik sepanjang lawatan.
TM Brunei menyumbang dalam penyediaan peserta dari Brunei, penghantaran jemputan dan penyelarasan delegasi manakala STATOB pula menjadi penaja bagi sesi minum petang untuk acara jaringan perniagaan 'Sarawak: Gateway to Borneo' pada hari pertama program di sini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STATOB Samat Junai memberitahu, sesi jaringan perniagaan bertemakan 'Sarawak: Gateway to Borneo' itu bermatlamat menyatukan pemain industri pelancongan dari Sarawak dan Brunei.
“Inisiatif bersama ini mencerminkan komitmen kukuh ketiga-tiga pihak iaitu STB, TM Brunei dan STATOB dalam mengukuhkan industri pelancongan serantau.
“Kami percaya kerjasama ini akan membuka peluang baharu dalam memasarkan Sarawak kepada pelancong-pelancong Brunei secara lebih menyeluruh dan tersusun,” katanya. Samat berkata, jalinan strategik antara ketiga-tiga agensi ini, program ini tidak hanya menjadi medan promosi tetapi juga platform dalam membina jaringan yang kukuh antara pengusaha-pengusaha pelancongan Sarawak dan Brunei.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah Pengarah Pemasaran (ASEAN dan Domestik) STB Barbara Benjamin Atan, Timbalan Pengarah TM Brunei Roshdi Abdul Ghani serta Pegawai Pelancongan, Lembaga Pembangunan Pelancongan Brunei Darussalam Adilah Multazimah A. Abdul Rahman.
Selain itu, program tersebut meliputi lawatan pelancongan menyeluruh ke bandar-bandar Miri, Bintulu, Mukah dan Sibu, dengan aktiviti utama seperti kunjungan ke Kuil Terapung Datuk Kong, Taman Perindustrian Kidurong dan Pasar Utama Bintulu, eksplorasi budaya Melanau di Mukah termasuk pembuatan batik linut, demonstrasi umai dan lawatan ke jerunai serta Galeri Warisan Melanau, selain menyusuri Batang Rajang dengan Sibu River Cruise, kunjungan ke Pusat Khazanah Sibu dan Pasar Sentral Sibu.
|