TELEFON bimbit merupakan peranti penting yang sering dibawa bersama ke mana sahaja, termasuklah masjid.
Namun timbul persoalan, apakah hukum menggunakan kemudahan tersebut dari sudut pandang Islam?
Perkara berkenaan dirungkai menerusi perkongsian di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
"Pada asalnya, harta yang dimiliki oleh masjid adalah bersifat wakaf hasil daripada sumbangan umat Islam.
"Oleh yang demikian, kegunaan harta masjid termasuk penggunaan elektrik hendaklah berdasarkan niat para pewakaf.
"Bekas Mufti Mesir, Dr Ali Jum'ah menegaskan, secara fiqahnya, setiap perkara yang diwakafkan untuk masjid seperti karpet, lampu, penyapu, air dan lain-lain tidak harus digunakan kecuali untuk keperluan masjid," tulisnya.
Bagaimanapun ujarnya, dalam isu ini, mengecas gajet persendirian atau komputer riba pada asalnya adalah harus, jika digunakan untuk perkara yang baik dan berfaedah seperti membaca Al-Quran, pengajian agama, terdesak untuk menghubungi keluarga dan seumpamanya.
"Namun jika digunakan untuk tujuan kemaksiatan dan kesia-siaan, ia tidak diharuskan kerana bertentangan dengan matlamat asal maslahah harta masjid.
"Di samping itu, disunatkan bagi mereka yang menggunakan harta masjid untuk memberikan sumbangan kepada tabung masjid sebagai membantu meringankan kos perbelanjaan dan penyelenggaraan masjid demi kemanfaatan bersama. Wallahualam," kongsinya lagi. - mStar
|