PANGGILAN telefon daripada ibunya sebentar tadi membuatkan Nadira bergenang air mata.
"Ira, nenek sakit kuat..." demikian suara ibunya tersekat-sekat di hujung talian.
Tanpa berlengah, Nadira segera mengemas beg pakaian untuk pulang ke kampung neneknya yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Dalam kekalutan dan fikiran yang bercelaru, jari-jemarinya menggigil ketika menghantar mesej kepada pengurus restoran tempatnya bekerja bagi memaklumkan hasratnya mengambil cuti kecemasan.
Tepat pukul 10.30 malam, Nadira memecut keretanya menuju ke kampung.
Perjalanan dari rumahnya yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur menuju ke Kuala Pilah yang biasanya mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit dirasakan begitu lama.
Ketika asyik melayan perasaan, tiba-tiba Nadira merasakan keretanya 'gelong' dan tidak stabil.
Dia memberhentikan kereta di bahu jalan dan keluar untuk melihat apa yang berlaku.
"Aduh, macam mana tayar boleh pancit pula... Mana nak cari pomen malam-malam dekat kawasan sunyi macam ni," getusnya.
Tidak panik, Nadira segera mendail talian hotline ejen insurans keretanya untuk meminta bantuan.
Sambil menunggu bantuan, Nadira masuk ke dalam kereta dan mendengar alunan ayat suci al-Quran di radio untuk menenangkan fikiran.
Kira-kira 20 minit kemudian, tiba-tiba sebuah kereta Volkswagen model lama berwarna kuning berhenti di hadapan kenderaannya.
Kelihatan seorang lelaki berbangsa Cina dalam lingkungan usia 40an berjalan ke arahnya sambil membawa beg khas seperti seorang mekanik.
Ketika Nadira membuka sedikit tingkap, lelaki tersebut memperkenalkan diri dan memberitahu dia dari bengkel berdekatan yang dihubungi oleh ejen insuransnya.
Lega hati Nadira apabila lelaki tersebut membantu menukar tayar ganti bagi membolehkannya meneruskan perjalanan ke kampung.
Kurang setengah jam, tayar hadapan di sebelah kiri keretanya siap ditukar.
Selesai mengucapkan terima kasih kepada mekanik tersebut, Nadira meneruskan perjalanan dan selamat tiba di kampung kira-kira pukul 12.40 tengah malam.
Baru saja melangkah masuk, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
"Cik, saya dah sampai lokasi yang cik bagi tadi dengan trak tunda. Tak nampak pula kereta tepi jalan ni. Cik dekat mana?" kedengaran suara di hujung talian.
Nadira yang terkejut sebaik sahaja mendengar kata-kata pemandu trak tunda tersebut kemudian menceritakan apa yang berlaku.
Namun, dia sekali lagi terkejut apabila mendengar jawapan pemandu trak tunda berkenaan.
"Pelik juga... kami hanya buat servis tunda je. Tak ada mekanik... Mekanik Cina dari bengkel lain kot kebetulan lalu situ?" kata pemandu trak tunda berkenaan.
"Tapi kalau saya tak silap dengar, mekanik tu beritahu dia dihubungi ejen insurans. Saya pun tak syak apa-apa... memang dia tukar tayar ganti dan saya dah selamat sampai kampung," balas Nadira pula.
Sebaik meletakkan telefon, Nadira terus menggigil apabila mengimbas sosok 'mekanik' yang membantunya sebentar tadi.
"Bajunya macam lusuh, terkoyak sana sini... ada kesan tompokan darah dekat belakang. Bercakap pun tunduk je. Siapa sebenarnya yang tolong tadi tu?" getus Nadira perlahan.
Tanpa berlengah, dia segera membersihkan diri sebelum bertemu dengan neneknya yang terbaring di dalam bilik ditemani ibu dan beberapa saudaranya yang lain.
Sehingga kini, Nadira tidak mempunyai jawapan mengenai 'mekanik' misteri yang membantunya. - mStar
|