Kuching : Mahkamah Majistret Kuching, di sini, hari ini, menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes anggota polis yang dituduh melepaskan tembakan hingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini, 26 April lalu.
Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Alwi menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan belum menerima laporan kimia, laporan balistik dan laporan bedah siasat berhubung kes itu.
Tertuduh, Genesis Nitchell David Reddy, 29, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan jaminan ditawarkan terhadap tertuduh berikutan kes bunuh itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh yang juga anggota polis trafik Bukit Aman diwakili peguam Russell Lim dan Brendan Ting dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Pada jam 5.30 pagi, 26 April lalu, anggota di Balai Polis Batu Kawa dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki yang membawa mangsa yang tidak sedarkan diri dalam Perodua Myvi.
Dua lelaki terbabit memaklumkan rakan mereka itu terkena tembakan ketika melalui Jalan Stephen Yong di Batu Kawa.
Pemeriksaan mendapati mangsa berusia 34 tahun terkena dua das tembakan masing-masing di kepala dan lengan kanan.
Polis yang melancarkan gerakan berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh 12 jam dengan penahanan suspek utama serta dua rakan yang bersama dalam kenderaan ketika kejadian itu.
Polis turut merampas sebuah kereta dan sepucuk pistol serta 10 butir peluru dipercayai milik suspek. - HARIAN METRO
|