Alor Setar: Kerajaan Kedah akan membantu 950 pekerja
syarikat Continental yang terjejas ekoran penghentian operasi pembuatan tayar di kilang syarikat itu, di sini menerusi langkah memadankan mereka dengan peluang pekerjaan di tempat lain.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Dr Haim Hilman Abdullah berkata inisiatif itu akan dilakukan menerusi Pusat Pembangunan Bakat Kedah (KTDC) di bawah Invest Kedah Bhd.
"Kita memohon syarikat terbabit memberi senarai nama pekerja dan kemahiran mereka untuk kita pula berhubung dengan Persatuan Pengusaha Syarikat Perindustrian Kulim (KITA) dan syarikat yang ada di negeri ini, mungkin kita katakan mereka ada 20 orang juruteknik yang tersedia dalam bidang tertentu.
"Dalam masa sama, ada sebuah syarikat tayar yang akan melabur di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap dan syarikat ini yang hampir sama dengan Continental. Jadi, kita juga telah memaklumkan kemungkinan mereka (pekerja Continental) boleh diserap ke dalam syarikat ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Haim Hilman berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pihak Continental hari ini bagi membincangkan keputusan penutupan kilang di Alor Setar.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu, pihak syarikat memaklumkan keputusan penutupan operasi kilang itu adalah hasil semakan strategik operasi peringkat global dan rantau Asia Pasifik bertujuan mengoptimumkan portfolio produk dan penyesuaian kepada perubahan pasaran.
"Sebanyak 950 pekerja dijangka terkesan susulan penutupan operasi kilang ini, merangkumi kira-kira 750 pekerja operasi dan selebihnya terdiri pekerja profesional serta pengurusan.
"Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa pihak syarikat telah merangka pelan pampasan yang adil dan bersesuaian, selain turut menyediakan latihan kemahiran tambahan sepanjang tempoh lapan bulan yang berbaki bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran para pekerja terlibat," katanya.
Isnin lepas, Continental dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan menghentikan operasi pembuatan tayar di kilang Alor Setar, menjelang hujung tahun ini.