MELAKA – Polis berjaya menghidu kegiatan sindiket baharu ‘menyedut’ wang individu menggunakan kad debit klon yang dijual pada harga cuma 10 peratus daripada amaun sebenar di dalam akaun bank terlibat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kegiatan itu terbongkar dalam satu serbuan khas dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka di sebuah kondominium di Tengkera, 23 April lalu.
Ujarnya, bagaimanapun setakat ini kegiatan itu dikesan melibatkan mangsa pemilik-pemilik akaun di Laos dan pembeli adalah dari Jepun.
“Dalam serbuan itu seorang lelaki warga Singapura berusia 42 tahun dikesan memproses kad debit palsu dengan meniru data kad debit Joint Development Bank (Laos).
“Maklumat itu kemudian dicetak pada kad menggunakan mesin laser dan ditampal dengan cip serta jalur magnetik sebelum diuji untuk memastikan ia boleh digunakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Tambahnya, kad tersebut juga akan ditukarkan kepada platinum dan premium dengan nama-nama pemilik warga Jepun.
Katanya, pelbagai barangan turut dirampas termasuk set komputer, mesin pemotong laser, mesin pengimbas kad debit, telefon bimbit, kad debit Joint Development Bank (Laos) dan kad debit Bank of Monaco, selain wang tunai SGD3,378 dan RM5,500.
“Berdasarkan penemuan ini pihak polis percaya kesemua kad debit klon ini adalah untuk pasaran dj Jepun, berbelanja di sana dan harga bergantung kepada jumlah amaun dalam bank, contoh kalau RM20,000 dalam bank, jual RM2,000.
“Kad dihantar melalui kurier dengan setiap daripadanya memiliki nilai simpanan antara 9,889,747 LAK (RM2,000) 247,275,992 LAK hingga RM50,000,” ujarnya.
Dzulkhairi berkata, kegiatan tersebut dipercayai telah dilakukan sejak awal tahun ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 424A Kanun Keseksaan kerana memiliki instrumen pembayaran tanpa kebenaran sah serta Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.- KOSMO! ONLINE
|