CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 94|Reply: 0

[Sarawak] BDA rancang program untuk Ahli Majlis Kanak-Kanak Bintulu

[Copy link]
Post time 17-4-2025 08:47 AM | Show all posts |Read mode


Seramai 21 pelajar yang dipilih sebagai ahli majlis kanak-kanak pada Isnin lalu merakam gambar bersama Dr Sim, Yakup, Pang (berdiri tengah belakang) dan tetamu lainnya. - Gambar Facebook Dr Sim Kui Hian

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) merancang beberapa program yang menyokong pembangunan kepimpinan dan pembentukan sahsiah Ahli Majlis Kanak-Kanak Bintulu bagi penggal 2025-2026.

Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari berkata, antara program itu adalah Program Rakan Bandar dalam sesi libat urus bersama jurutera, perancang bandar dan arkitek landskap dengan mengambil kira pandangan kanak-kanak dalam pembangunan kawasan awam seperti taman dan kemudahan komuniti.

Katanya Bengkel Kepimpinan dan Advokasi Kanak-Kanak pula membabitkan latihan komunikasi, kepimpinan, kesedaran hak kanak-kanak dan keupayaan menyuarakan pandangan secara konstruktif.

Ini diikuti dengan Projek Komuniti Mikro katanya, melibatkan aktiviti berbentuk tindakan komuniti seperti Taman Permainan Impian, mural komuniti, kempen kebersihan atau projek hijau yang dirancang dan dilaksanakan oleh ahli majlis sendiri.

Tambahnya, seterusnya Program Sekolah Rakan Kanak-Kanak iaitu kolaboratif bersama sekolah untuk menggalakkan nilai mesra kanak-kanak termasuk melalui aktiviti pelajar, sudut suara kanak-kanak dan penyebaran mesej kesedaran.

"Komitmen kita bukan hanya pada dasar, tetapi juga pada prinsip. Dalam Surah An-Nisa, 4:9, Allah SWT mengingatkan kita bahawa tanggungjawab kita bukan hanya kepada masa kini, tetapi kepada masa depan anak-anak kita agar mereka dibela, dilindungi dan diberi peluang untuk membina kehidupan lebih baik," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelantikan Ahli Majlis Kanak-Kanak Bintulu 2025-2026 oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Auditorium BDA Wisma Bintulu pada Isnin.

Muhamad Yakup berkata, pihaknya yakin dengan pelantikan ini, ahli majlis kanak-kanak ini akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan semangat.

"BDA akan terus memberikan sokongan dan bimbingan agar suara kanak-kanak terus didengari, dihargai dan diberi tempat dalam pembangunan Bintulu yang lestari dan inklusif," tambahnya.

Beliau berkata, ahli majlis ini merupakan inisiatif penting bertujuan memperkasa suara, penglibatan kanak-kanak dalam isu komuniti dan pembangunan bandar sekali gus bukan sekadar lambang semangat bahkan tanggungjawab besar sebagai wakil kepada kanak-kanak di Bintulu.

"Antara tanggungjawab utama ialah menjadi suara dan wakil kepada rakan sebaya dalam isu kehidupan harian, pendidikan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak, menyebar kesedaran mengenai hak kanak-kanak dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC)," katanya.

Selain itu katanya, menyumbang idea, cadangan dan pandangan dalam pelaksanaan program serta aktiviti di bawah Pelan Tindakan Bandar Mesra Kanak-Kanak BDA, memberi input daripada perspektif kanak-kanak dalam perancangan dan pengurusan bandar serta membantu BDA memperkenal dan mempromosikan pelbagai inisiatif berkaitan kanak-kanak kepada masyarakat umum.

Menurutnya, visi ini bermula melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara BDA dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada 11 Julai 2024.

Ujarnya, sejak itu pelbagai langkah telah diambil dalam pengagihan borang permohonan, promosi melalui laman Facebook rasmi BDA serta poster komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong dan Kolam Renang Awam sehingga kepada pelantikan rasmi Majlis Kanak-Kanak Bintulu.

Katanya, seramai 21 ahli majlis telah dipilih daripada pelbagai latar belakang kaum dan sekolah di Bintulu berumur antara 10 hingga 15 tahun mewakili SK Kampung Baru, SK Tanjung Batu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Siong Boon, SMK Kidurong, SK St Anthony dan lain-lain.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang, Bong Lin Sze mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pegawai Dasar Sosial mewakili UNICEF Malaysia Yong Li Na, pengurusan dan kakitangan BDA.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-6-2025 11:26 AM GMT+8 , Processed in 0.046429 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list