Tapak lapangan terbang, pelabuhan laut dalam merupakan kawasan paya dan hutan nipah, tiada pokok besar

Hamden beramah mesra dengan yang lain pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Jabatan Hutan Sarawak hari ini. -Gambar Roystein Emmor
“Tak adalah (pembukaan kawasan baharu di Tanjung Embang tidak melibatkan hutan simpan) tetapi lebih kepada kawasan paya dan juga kawasan nipah kerana ia kawasan pantai.”
Datu Hamden Mohammad Pengarah JHS
Oleh Marlinda Mardzuki
KUCHING: Pembangunan kawasan baharu di Tanjung Embang bagi pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam tidak akan menjejaskan kawasan hutan simpan negeri ini.
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datu Hamden Mohammad berkata, tapak yang akan dibangunkan itu merupakan kawasan pantai terdiri daripada paya dan hutan nipah serta tidak mempunyai pokok-pokok besar seperti di kawasan hutan darat.
“Tak adalah (pembukaan kawasan baharu di Tanjung Embang tidak melibatkan hutan simpan) tetapi lebih kepada kawasan paya dan juga kawasan nipah kerana ia kawasan pantai.
“Jadi ia tidak melibatkan kawasan pokok-pokok besar, kalau kita lihat dari segi jenis hutan di situ adalah lebih kepada hutan pokok bakau, pokok kecil dan pokok nipah,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Jabatan Hutan Sarawak di Wisma Sabati, Jalan Diplomatik di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pembukaan kawasan di Tanjung Embang akan menjejaskan kawasan hutan simpan sedia ada.
Mengulas lanjut, Hamden menegaskan bahawa walaupun kawasan bakau penting dalam mengekalkan kestabilan ekosistem pantai dan mencegah hakisan, peratusannya di kawasan pembangunan tersebut adalah kecil.
“Hutan bakau atau mangrove memang penting, namun dari segi keluasan, ia tidak besar. Di Kuching, hutan bakau hanya wujud di kawasan tertentu seperti Lundu, Sematan, Salak dan sebahagian kecil di Limbang,” katanya.
Tambah beliau, kawasan hutan bakau terbesar di Sarawak terletak di sekitar Batang Rajang, yang dikenali sebagai Rajang Mangrove.
“Kalau ikut data kita sebelum ini, hanya sekitar 127,000 hektar hutan bakau direkodkan di seluruh negeri berbanding 12.5 juta hektar keluasan tanah keseluruhan Sarawak. Jadi, ia (hutan bakau) kecil sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hamden turut memaklumkan bahawa inisiatif penanaman semula pokok bakau telah dijalankan sejak insiden tsunami pada 2004 sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan pantai dan pemulihan ekosistem.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah serta tetamu kehormat lain.
|