Kota Bharu: Kerajaan negeri sedang memuktamadkan penilaian bagi pindaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang itu lebih berkesan dan relevan dengan keperluan semasa.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pindaan itu memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan serta cadangan peningkatan kadar denda yang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, perkara terbabit akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco pada Rabu ini dan draf pindaan akan diteliti serta dimuktamadkan sebelum dibentangkan untuk kelulusan.
"Kita lihat ada beberapa kelompangan dalam pelaksanaan sebelum ini, jadi kita beri tumpuan kepada aspek penguatkuasaan supaya lebih cekap, tepat dan kemas.
"Undang-undang sifatnya adalah mesti mengikuti perkembangan semasa dan sentiasa berubah atas keperluan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Dewan Putik Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa penilaianditubuhkan bagi menyemak semula enakmen berkenaan, yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pakar undang-undang, serta wakil universiti.
Menurutnya lagi, pindaan yang dibuat bukan bersifat untuk menghukum semata-mata sebaliknya untuk memastikan undang-undang dipatuhi selaras dengan perkembangan semasa.
"Daripada 45 ADUN di Kelantan, tujuh adalah peguam termasuk saya sendiri yang turut terbabit dalam proses semakan ini," katanya.- Harian Metro
|