PERASAAN pelakon Jeremy Bong pernah terguris dengan kata-kata dilemparkan seorang aktres senior terhadapnya ketika di awal kemunculannya dalam bidang seni.
Cerita Jeremy, aktres berkenaan tergamak memarahi dan mengherdiknya di hadapan orang ramai ketika bergandingan dalam sebuah drama.
“Dia cakap pada saya depan semua orang ‘kalau tak pandai berlakon jangan ambil job, jangan menyusahkan orang’.
“Pada waktu itu saya sangat baru, masih tak faham istilah dalam lakonan selain masih kekok dan diberi watak penting juga.
“Pelakon itu sangat pandai berlakon, apabila ‘action’ dia betul-betul dalam karakter tapi bila ‘cut’ terus dia buat muka,” kongsinya.
Jeremy berkongsi perkara itu semasa muncul sebagai tetamu podcast Sembang Seram yang dikendalikan oleh aktor Safwan Nazri.
Bagaimanapun, dia tidak berkongsi lanjut siapa aktres tersebut dan lakonan dramanya itu.
Dia yang berdarah campuran Cina dan India memberitahu tindakan tersebut membuatkan dirinya menangis sekali gus mendatangkan trauma kekal sehingga ke hari ini.
“Masa cut, saya lari pergi tandas saya menangis sebab tak dapat tahan. Kenapa dia kena hina saya depan semua orang?
“Walaupun kejadian itu sudah lama, tapi saya masih tak boleh lupakan. Saya juga tak mengikuti dia dekat Instagram, saya tak boleh tengok muka dia sebab trauma,” luahnya.
Pun begitu, aktres berkenaan meminta maaf kepadanya selepas tamat penggambaran dan mengakui kesilapannya yang gagal mengawal emosi.
“Lepas sahaja habis penggambaran, dia ada minta maaf kepada saya. Dia ada mesej saya dan saya pun maafkan dia,”luahnya. - mStar
|