PELAKON Elisya Sandha berkongsi khabar gembira bakal menyambut kelahiran bayi lelaki tidak lama lagi.
Meluahkan rasa syukur, Elisya atau Nur Elisya Sandha Hassan, 26, berkata, rezeki anak juga merupakan tanggungjawab besar buat dia dan suami, Uzair Haqimy.
“Syukur Allah beri peluang untuk menjadi ibu kepada dua cahaya mata.
“Ini adalah tanggungjawab buat kami. Semoga saya dapat menjadi ibu terbaik buat anak-anak,” katanya kepada mStar.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu majlis gender reveal yang berlansung di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu.
Bercakap tentang persedian menyambut kelahiran anak kedua, kata Elisya dia masih belum sempat membeli kelengkapan bayi meskipun usia kandungan sudah memasuki lapan bulan.
“Anak pertama mungkin agak kelam-kabut, tapi anak kedua ini sebulan akhir baru buat persiapan.
“Saya masih belum beli sebarang kelengkapan. Lagipun masih boleh guna semula barang-barang Bunga (anak pertama),” ujarnya.
Dalam masa sama dia juga memberitahu kehamilan kedua ini jauh berbeza berbanding dengan anak pertama.
Mengalami alahan teruk pada awal kehamilan, Elisya juga mudah penat apabila kandungan memasuki trimester ketiga.
“Trimester kedua agak okay sedikit. Bila dah masuk trimester ketiga saya memang tak larat.
“Kaki bengkak dan cepat mengah,” jelasnya.
Disember tahun lalu Elisya memaklumkan dia hamil anak kedua dalam satu video kejutan yabg dibuat untuk ahli keluarga.
Untuk rekod, Elisya dan Uzair mendirikan rumah tangga pada Ogos 2021.
Mereka juga dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Bunga Elhaq yang kini berusia 3 tahun.
|