
MIRI: Padah mencuri lima pasang kasut, seorang bekas banduan dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Ashok Linggam setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah tertuduh yang telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, rayuannya, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan, kepentingan awam serta mengambil kira bahawa tertuduh turut mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurut keterangan kes, tertuduh, Donald Ramos Taji, 24, dari Bukit Kanada di sini, didapati telah melakukan kecurian dengan mencuri lima pasang kasut kepunyaan Pedesen Bala, 53.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 4.09 pagi, 6 April lalu di sebuah lot di Polar Garden Fasa 2C, Jalan Maigold Senadin dekat sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 6 April lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan pegawai pendakwa ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.
|