Edited by tatod at 9-4-2025 01:08 PM
Bangkok: Sebuah restoran di Chiang Mai, Thailand, dikecam netizen selepas didakwa mendiskriminasi individu bertubuh besar apabila menawarkan diskaun kepada pelanggan berdasarkan tahap 'kekurusan' mereka.
Portal Thaiger melaporkan, restoran Chiang Mai Breakfast World memberikan potongan sehingga 20 peratus daripada jumlah bil jika pelanggan berjaya melepasi celahan palang logam sempit yang disediakan khas di premis berkenaan.
Cabaran itu mempunyai lima tahap, dengan setiap celah semakin sempit pada setiap peringkat. Pelanggan yang berjaya melepasi tahap mudah boleh menikmati diskaun antara lima hingga 15 peratus.
Bagi yang gagal melepasi sebarang celah, mereka hanya disambut papan tanda yang tertulis: "harga penuh, maaf".
Promosi luar biasa itu menjadi tular selepas sepasang blogger pelancongan dari Britain memuat naik video mengenainya di Instagram (IG) pada 6 April lalu, dan meraih lebih 58,000 tanda suka serta lebih 2,000 komen.
"Yang mana satu awak boleh lepas?" soal Amina, salah seorang blogger dalam kapsyen video itu.
Seorang pelanggan yang hanya memperoleh diskaun lima peratus kedengaran berkata, "lebih baik daripada tiada langsung".
Ada juga netizen berseloroh dengan berkata: "Saya rasa saya kena caj tambahan!"
Namun, tidak semua bersikap positif. Beberapa pengguna media sosial menyelar promosi itu yang didakwa menggalakkan budaya pemakanan tidak sihat serta memperlekehkan tubuh individu.
Seorang netizen membidas: "Sangat membimbangkan... budaya 'body shaming' dan obsesi berat badan di Asia."
Seorang lagi menulis: "Saya takkan rendahkan maruah diri hanya kerana nak dapat diskaun. Tak akan makan di sana."
Meskipun berdepan kritikan, restoran yang terkenal dengan sajian sarapan antarabangsa itu masih mengekalkan penarafan 4.3 bintang di Google dengan lebih 1,700 ulasan. - Harian Metro
|