Setelah membeli barang dapur, ia perlu disimpan dengan betul terutamanya barang basah seperti bawang. Oleh itu, kami kongsikan cara simpan bawang ini untuk anda cuba di rumah.
Banyak petua yang boleh digunakan untuk menyimpan bawang, tapi cara yang kami kongsikan di bawah ini lebih mudah dan sekurang-kurangnya anda dapat pastikan ia tahan lebih lama.
5 CARA SIMPAN BAWANG SUPAYA TAK BERBAU
1. Jangan simpan bawang dalam beg plastik.
Bawang merupakan antara makanan yang mudah rosak dan berbau busuk jika diletakkan di tempat yang lembap atau basah. Oleh itu, ia tak digalakkan untuk disimpan dalam beg plastik.
2. Simpan bawang yang telah dipotong di dalam bekas tertutup.
Jika ingin menyimpan bawang yang telah dipotong dalam peti sejuk, pastikan bekas ditutup dengan rapi dan kemas supaya ia tak berwap dan mengelakkannya terdedah kepada bakteria.
3. Elakkan menyimpan bawang bersama kentang.
Tak ramai yang tahu, sebenarnya bawang tak elok disimpan bersama kentang. Bukan saja bawang jadi mudah rosak dan berbau, malah kentang pun boleh terikut sama.
4. Guna beg kertas dan letakkan di tempat kering.
Oleh kerana bawang tak boleh diletakkan di tempat lembap, jadi anda perlu menyimpan bawang dalam beg kertas dan letakkannya di tempat yang kering dengan suhu bersesuaian.
5. Simpan bawang kisar dalam bekas kedap udara.
Bagi memastikan bawang kisar tahan lama, anda perlu mengisar bawang bersama minyak bagi menggantikan penggunaan air.
Selepas itu, masukkan ke dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan dalam tempoh masa yang lama.
|