Kerajaan tidak berkompromi dengan aspek keselamatan terutama industri minyak, gas atau apa sahaja industri di Sarawak

Tun Wan Junaidi (tengah) dan Toh Puan Fauziah bergambar bersama Len (dua kiri) ketika mengadakan ziarah raya di kediaman Len di Demak Baru tengah hari semalam. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa mengkaji penambahbaikan aspek keselamatan di semua industri di negeri ini terutama yang terletak di penempatan awam.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan terutama yang berkaitan dengan industri minyak dan gas atau apa sahaja industri di Sarawak.
"Kita mahu semua syarikat mematuhi piawaian keselamatan atau protokol yang telah ditetapkan bagi mengelakkan insiden di tapak industri berlaku.
"Justeru kerajaan sentiasa memastikan kilang-kilang sama ada besar atau kecil mematuhi piawaian keselamatan di tempat kerja mereka," katanya.
Len Talif berkata demikian semasa ditemui media di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Demak Baru, hari ini.
Antara tetamu kehormat yang datang berziarah ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Sehubungan itu, Len Talif mahu agensi yang diamanahkan menjaga keselamatan industri berat dan sederhana dapat memantau semua aktiviti perkilangan serta industri petroleum dan gas agar mengutamakan aspek keselamatan masing-masing.
"Kejadian letupan dan kebakaran di saluran paip utama milik sebuah syarikat gas di Putra Height, Puchong, Selangor semalam sesuatu yang sangat menyedihkan dan harus menjadi pengajaran kepada kita semua.
"Maklumlah kita di Sarawak mempunyai banyak industri terutama di Samalaju supaya mereka ini harus mematuhi piawai keselamatan yang ditetapkan," tegasnya terutama yang berkaitan dengan pembuangan sisa berjadual.
Mengenai isu burung walet, beliau menegaskan bahawa kerajaan mempunyai mekanisme yang telah lama wujud dan perlu dipatuhi.
"Tidak ada yang baharu dan kita memang tidak mengizinkan lesen menternak burung walet di kawasan bandar atau rumah kedai.
"Ia sudah termaktub dalam undang-undang kita dan mana-mana pihak perlu memohon lesen kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) sebelum dipanjangkan ke Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA) untuk kelulusan yang dipengerusikan sendiri oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selain Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Abu Bakar Marzuki dan saya sebagai menteri bertanggungjawab," katanya.
Mengenai pasaran, katanya ia lumrah ada pasang surut harga mengikut pasaran semasa namun menekankan aspek keselamatan penternakan burung walet yang boleh menjejaskan kesihatan awam iaitu selesema burung.
|