KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful yang meninggal dunia akibat lemas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor mendakwa terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian arwah.
Bapa arwah, Zaiful Ibrahim, 53, tampil membuat laporan polis dengan ditemani peguam, Hafiz Norkhan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan makluman pihak sekolah, anaknya dipercayai lemas ketika menjalani latihan pemulihan di kolam renang terjun SSTMI sedalam lima meter.
“Menurut rakan-rakan sepasukan, arwah tenggelam ke dasar kolam dan berada dalam air selama lebih kurang 15 hingga 20 minit sebelum berjaya dinaikkan oleh seorang atlet renang yang berada di lokasi kejadian.
“Ketika dikeluarkan dari kolam, arwah tidak sedarkan diri serta mengalami pendarahan di mulut, hidung dan telinga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaiful berkata, sehingga kini, keluarganya masih belum menerima maklum balas mengenai hasil siasatan daripada Kementerian Pendidikan mahupun Polis Diraja Malaysia sejak kematian arwah pada 25 November tahun lalu.
Sehubungan itu, Zaiful menyeru agar pihak berkaitan dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh serta adil dan telus.
Katanya, kejadian kemalangan melibatkan kehilangan nyawa pelajar di premis sekolah berasrama penuh adalah amat serius dan tidak wajar dipandang ringan.
“Sebarang kecuaian dalam aspek pemantauan, keselamatan dan tatacara latihan mesti ditangani secara menyeluruh agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” jelasnya.
Allahyarham Muhammad Zulfan, 16, merupakan pelajar tingkatan empat dan atlet bola sepak bawah 16 tahun di SSTMI, Johor.
Difahamkan, bakat arwah sebagai penjaga gol membuatkannya berada dalam radar pemantauan pasukan Johor Darul Ta’zim. – KOSMO! ONLINE
|