"Terdapat juga minat daripada pelabur dalam sektor kesihatan, terutamanya dalam farmaseutikal dan peralatan perubatan," katanya.
Khairi Shahrin berkata, pelabur China ketika ini sedang meneroka peluang di ASEAN, termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura, namun Malaysia dilihat sebagai destinasi utama bagi kebanyakan mereka.
"Apa yang menarik, beberapa pelabur yang melawat Vietnam dan Malaysia mendapati Malaysia lebih baik daripada Vietnam. Begitu juga dengan Indonesia dan Singapura, di mana Indonesia masih jauh ketinggalan manakala kos di Singapura terlalu tinggi.
"Johor pula menjadi pilihan strategik kerana kos lebih rendah, tanah yang luas, bekalan air dan tenaga mencukupi serta kemudahan akses ke Singapura dalam tempoh kurang satu jam," katanya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank dalam nota penyelidikannya baru-baru ini menjangkakan perdagangan luar Malaysia akan kekal berkembang pada kadar lima peratus pada 2025, meskipun prestasi Februari lebih perlahan daripada jangkaan.
Bank pelaburan itu berkata, unjuran berkenaan disokong oleh permintaan kukuh dalam sektor teknologi global serta faktor ekonomi lain.
"Walaupun prestasi Februari tidak mencapai sasaran, aktiviti pemuatan awal dijangka meningkat pada Mac menjelang pelaksanaan tarif timbal balik oleh Presiden Trump pada April.
"Situasi ini mungkin tidak berlanjutan sepanjang tahun, tetapi sektor teknologi global dijangka menyokong pertumbuhan eksport, didorong oleh permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), impak pengalihan perdagangan serta pemulihan ekonomi dalam kalangan rakan dagang utama," katanya.
Kenanga turut menjangkakan peningkatan permintaan dari China dan Eropah susulan suntikan rangsangan ekonomi serta pelonggaran dasar monetari.
Bagaimanapun, bank itu memberi amaran bahawa ketidakpastian ekonomi AS, khususnya kesan tarif lebih tinggi, kekal sebagai kebimbangan utama.
"Sebarang pengurangan ketara dalam import AS boleh menjejaskan perdagangan global memandangkan negara itu adalah pasaran pengguna utama dan destinasi utama eksport Malaysia.
"Selain itu, risiko lain termasuk pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada jangkaan serta potensi gangguan perdagangan global akibat tarif Trump, yang boleh memberi kesan negatif kepada keyakinan pengguna dan perniagaan," katanya.