WASHINGTON - Coca-Cola dijangka menyumbang kira-kira 602,000 tan sisa plastik ke lautan dan saluran air dunia setiap tahun menjelang 2030, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan oleh organisasi bukan keuntungan Oceana pada Rabu.
Jumlah itu bersamaan dengan plastik yang boleh mengisi perut 18 juta ikan paus.
Laporan ini muncul ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai risiko kesihatan manusia akibat pencemaran mikroplastik, yang dikaitkan oleh saintis dengan kanser, ketidaksuburan, penyakit jantung, dan pelbagai masalah kesihatan lain.
"Coca-Cola adalah pengeluar dan penjual minuman terbesar di dunia," kata Matt Littlejohn, ketua kempen Oceana yang menyasarkan pencemaran korporat.
"Kerana skala mereka yang besar, kesan terhadap pencemaran laut juga amat ketara," tambahnya.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Science Advances pada 2024, Coca-Cola dinobatkan sebagai pencemar plastik jenama terbesar di dunia, diikuti oleh PepsiCo, Nestle, Danone, dan Altria.
Kajian Oceana itu berdasarkan data pembungkusan yang dilaporkan oleh Coca-Cola dari 2018 hingga 2023, digabungkan dengan unjuran pertumbuhan jualan untuk menghasilkan senario "perniagaan seperti biasa".
Hasil analisis menunjukkan penggunaan plastik syarikat itu dijangka melebihi 4.13 juta tan setahun menjelang 2030. - Sinar Harian
|