
SIDANG MEDIA: Ellron (tiga kiri), Henry (tiga kanan) dan pegawai lain pada sidang media itu.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula untuk memperbaharui kontrak yang ditamatkan dengan Koperasi Serbaguna Sanya Bhd (KOSAN).
Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, tindakan itu hanya akan diambil sekiranya pihak KOSAN dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, selepas Mesyuarat Kabinet Negeri pada 26 Mac lepas, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi peluang kedua kepada KOSAN sekiranya syarikat itu dapat dirombak serta mengikut syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, selama ini terdapat banyak aduan mengenai kualiti kasut sekolah dan pakaian seragam yang diedarkan kepada lebih 287,777 pelajar sekolah rendah di seluruh Sabah.
"Jika spesifikasi bekalan ini dapat diperbaiki dan syarat-syarat lain dipenuhi, termasuk bekerjasama dengan syarikat swasta yang stabil dan berkemampuan, kerajaan negeri mungkin akan mempertimbangkan untuk memberi mereka pembaharuan kontrak pada akhir tahun ini," katanya pada sidang media di sini semalam.
Ellron berkata, pada 20 Mac tahun lalu, pembaharuan kontrak KOSAN ditandatangani dan sepatutnya berakhir pada akhir tahun ini dengan syarat perlu bekerjasama dengan syarikat swasta.
Namun jelasnya, sehingga 24 Julai tahun lalu, tiada kemas kini mengenai syarat berkenaan sama ada pihak KOSAN merancang untuk mengikut syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, berikutan tiada jawapan daripada pihak KOSAN berhubung perkara itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menamatkan kontrak pada 19 September 2024.
Ellron berkata, selepas penamatan kontrak, koperasi itu terpaksa melepaskan seramai 230 pekerja dan menutup operasi ibu pejabat dan kilang-kilangnya di Tuaran dan Papar.
"Kami bersimpati dengan pekerja-pekerja ini, tetapi kami hanya boleh menunggu sehingga pihak KOSAN dapat memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pertimbangan pembaharuan kontrak kerana ia perlu diperbaharui," katanya.
Beliau berkata, jika KOSAN ingin memohon dan mendaftar dalam tender terbuka tahun ini, mereka juga boleh berbuat demikian.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Henry Idol.
|