
Norizan menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong petang Rabu. -Gambar UKAS
KUCHING: Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) B2 sejak diperkenalkan pada 2024 turut memberi manfaat kepada 1,135 penduduk di kawasan Gedong, Batang Sadong, Sadong Jaya dan Simunjan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili berkata penduduk dari empat kawasan itu telah dipilih dan berjaya mendapatkan lesen setelah mengikuti ujian serta kursus yang telah ditetapkan.
“Pelaksanaan program ini yang bermula dari awal tahun 2024 telah berjaya melesenkan 13,370 penduduk di seluruh Sarawak.
“Malah, Sarawak merekod jumlah penunggang motosikal yang tertinggi di Malaysia dilesenkan menerusi inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia , menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong petang Rabu.
Majlis itu telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibolah, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo dan Ketua Pengarah Datuk Aedy Fadly Ramli.
Norizan berkata rakyat di akar umbi khususnya B40 amat memerlukan bantuan kerajaan dan inisiatif itu antara hasrat untuk meringankan beban rakyat yang mahu mendapatkan lesen memandu sah.
“MyLesen ini, kalau kita ambil di luar kosnya sekitar RM750 tetapi di bawah inisiatif ini hanya RM250. Semua yang lain ditanggung oleh kerajaan dengan sokongan wakil rakyat masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, jumlah penyertaan untuk MyLesen akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa berdasarkan syarat dan kriteria telah ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berharap penerima lesen memandu sah di bawah inisiatif itu dapat menjadi contoh pengguna jalan raya yang berdisiplin dan berhemah dengan mematuhi segala peraturan serta undang-undang jalan raya.
“Ini berketepatan dengan aspirasi kerajaan mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Norizan berkata JPJ Sarawak akan terus mempertingkatkan advokasi dan penguatkuasaan strategik dengan melaksanakan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) dilancarkan serentak di seluruh negara bermula 24 Mac 2025 hingga 8 April 2025.
Objektif utama penguatkuasaan melalui Op HRA pada tahun ini ialah berfokus kepada aspek keselamatan, kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat menjelang musim perayaan, tambahnya lagi.
|