
MIRI: Polis semalam menahan dua anggota tentera yang disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kematian seorang prebet tentera dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20RAMD), Kem Sri Miri pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu ketika dihubungi Utusan Borneo petang tadi mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua suspek terbabit yang berusia 22 dan 24 tahun.
"Susulan pengaduan yang diterima oleh pihak polis berhubung kes ini, kita telah menahan dua anggota tentera sekitar jam 4.30 petang semalam di Kem Sri Miri kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
"Kedua-dua suspek yang merupakan prebet tentera kini sedang direman selama tujuh hari hingga 2 April depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.
Menurut Alexson, setakat ini polis telah merekodkan keterangan empat individu berhubung kes itu.
"Kes ini sekarang sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit.
|