
KUCHING: Seorang lelaki yang mengaku bersalah menceroboh sebuah premis di Jalan Batu Kawa di sini pada Januari lepas, dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Isnan Sabli, 40, mengaku bersalah di hadapan Majistret Ling Hui Chuan apabila didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki sebuah bangunan di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC), Jalan Batu Kawa di sini pada 4 Januari 2025, sekitar jam 9.50 pagi.
Fakta kes mendedahkan pekerja di premis tersebut (pengadu) membuat pemeriksaan di kawasan bangunan pada hari kejadian mendapati terdapat seorang lelaki tidak dikenali (tertuduh) telah menceroboh masuk tanpa kebenaran.
Hanya orang yang mempunyai kad akses sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam kawasan bangunan tersebut dan berikutan itu, pengadu menahan tertuduh.
Pengadu kemudiannya menghubungi pihak polis dan menyerahkan tertuduh kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
|