Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan negeri menggesa penduduk negeri ini yang belum membuat permohonan pertukaran status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal supaya segera berbuat demikian.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata ketika ini permohonan diterima daripada pemilik kediaman agak perlahan.
"Walaupun setakat ini tiada tempoh akhir ditetapkan bagi mengemukakan permohonan, tetapi kita khuatir suatu hari nanti tawaran atau program ini dihentikan.
"Tawaran ini bukan untuk selama-lamanya sedangkan kini sudah memasuki penggal kedua dan mungkin jika memasuki penggal ketiga kelak ia ditamatkan.
"Jadi, saya minta masyarakat atau pemilik kediaman tidak menunggu, sebaliknya membuat permohonan segera di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di daerah masing-masing," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO. di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan membuka permohonan menukar status tanah daripada pajakan kepada hak milik kekal bagi taman perumahan yang layak di seluruh negeri ini.
Pelaksanaan inisiatif ini sebahagian daripada manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan untuk memperluaskan lagi inisiatif penukaran hak milik tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal kepada lebih banyak kawasan di seluruh negeri itu.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, hanya pemilik asal saja layak mengemukakan permohonan berkenaan. Beliau berkata, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan program ini.
"Program ini memang baik tetapi jika tidak disambut oleh pemilik kediaman, ia tidak memberi impak yang baik kepada keseluruhannya," katanya.
|