Pengedar dadah dari Belanda, Marco Ebben yang juga antara penjenayah paling dikehendaki di Eropah maut ditembak di Mexico.
MEXICO CITY: Pengedar dadah dari Belanda, Marco Ebben yang juga antara penjenayah paling dikehendaki di Eropah dan pernah dilapor memalsukan kematiannya bagi mengelak ditahan sebelum ini, telah dibunuh di Mexico, kata seorang pegawai, semalam.
Ebben, 32, ditembak mati di Atizapan de Zaragoza, iaitu sebuah kawasan perbandaran terletak kira-kira 25 kilometer dari Mexico City, kelmarin.
Seorang pegawai di pejabat pendakwa raya negeri memberitahu AFP bahawa pakar telah mengesahkan identiti Ebben.
Agensi penguatkuasaan undang-undang Eropah, Europol, menyenaraikan Ebben sebagai antara individu dalam buruan yang paling dikehendaki di Eropah kerana terbabit penyeludupan dadah dari Brazil ke Belanda.
Menurut laman web Europol, suspek itu dihukum penjara lebih tujuh tahun, secara 'in absentia' pada Oktober 2020.
Menurut Europol, antara 2014 hingga 2015, Ebben dan rakan-rakannya dipercayai menyeludup 400 kilogram kokain dalam kontena yang dipenuhi dengan nanas.
Untuk mengelak daripada ditangkap, Ebben dikatakan memalsukan kematiannya pada Oktober lalu di Culiacan, kubu kuat kartel Mexico, ketika tercetus perbalahan antara dua puak dalam Kartel Sinaloa.
Menurut media tempatan, Ebben didakwa mempunyai kaitan dengan salah satu puak itu.
Namun ketika itu, tiada bukti kematiannya ditemui, kecuali kenyataan daripada seorang wanita yang mengaku sebagai teman wanita Ebben, yang mendakwa mengenali mayat lelaki berkenaan.
Keganasan di Sinaloa meningkat selepas penangkapan mengejut Ismael 'El Mayoâ' Zambada di Amerika Syarikat (AS) pada akhir Julai lalu, yang dipercayai mencetuskan perebutan kuasa dalaman dalam kartel itu.
Semalam, pihak berkuasa Mexico juga mengumumkan penahanan seorang pengedar dadah dalam Kartel Sinaloa yang aktif di negeri Chihuahua, yang turut dikehendaki oleh AS.
Media tempatan mengenal pasti suspek sebagai Humberto Rivera yang juga dikenali dengan gelaran 'El Chato', 'El Don' atau 'El Viejon'.
|