CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 528|Reply: 0

Kenderaan PBB dibakar, komander cedera ketika protes penyokong Hizbullah

[Copy link]
Post time 15-2-2025 11:59 AM | Show all posts |Read mode

Kepulan asap kelihatan dari lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan selatan Beirut, Lubnan. - Foto AFP

BEIRUT: Sebuah kenderaan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan dibakar ketika protes penyokong kumpulan pejuang Hizbullah menyekat jalan menuju ke lapangan terbang Beirut.

Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) turut melaporkan seorang komander cedera dalam tunjuk perasaan itu semalam.

Penyokong Hizbullah menyekat jalan menuju ke satu-satunya lapangan terbang negara itu selama dua malam berturut-turut susulan keputusan kerajaan menghalang dua pesawat Iran mendarat di ibu negara Lubnan.

Tentera Lubnan berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab membakar kenderaan milik PBB, yang menurut pasukan itu, menyebabkan kecederaan pada timbalan komander ketika cuba keluar daripada kenderaan berkenaan.

"Beberapa kawasan, terutama di sekitar lapangan terbang... telah menjadi tempat demonstrasi yang menyaksikan perbuatan vandalisme dan pertempuran, termasuk serangan terhadap anggota tentera dan serangan terhadap kenderaan-kenderaan PBB," kata tentera dalam ciapan di X.

Tentera akan mengambil tindakan tegas untuk mencegah sebarang pelanggaran ketenteraman awam dan menangkap mereka yang mengganggu," tambahnya, dengan UNIFIL menuntut siasatan penuh dan segera oleh pihak berkuasa Lubnan.

Pasukan pengaman UNIFIL berkata serangan terhadap pengaman adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan boleh dianggap sebagai jenayah perang.

"Kami menuntut siasatan penuh dan segera oleh pihak berkuasa Lubnan dan supaya semua pelaku dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Koordinator Khas PBB untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, menggambarkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima.

"Tindakan keganasan seperti ini mengancam keselamatan kakitangan PBB yang bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memastikan kestabilan di Lubnan, kadang kala dengan risiko peribadi yang besar," katanya dalam satu kenyataan.

Kenderaan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) melalui runtuhan bangunan di perkampungan Yarin, selatan Lubnan. - Foto AFP

Hizbullah masih mempunyai pengaruh yang besar di Lubnan walaupun setelah setahun berperang dengan Israel dan kejatuhan sekutunya di Syria, Bashar al-Assad, melemahkan kekuatan parti itu dengan teruk.

Israel berulang kali mendakwa Hizbullah menggunakan lapangan terbang Beirut untuk memindahkan senjata dari Iran, sesuatu yang sering dinafikan oleh Hizbullah dan pegawai Lubnan.

Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Lubnan pada Khamis berkata ia telah menjadualkan semula beberapa penerbangan termasuk dari Iran sehingga 18 Februari kerana ia sedang melaksanakan 'langkah keselamatan tambahan.'

Tarikh itu bertepatan dengan tarikh akhir pelaksanaan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah

Protes ganas bukanlah sesuatu yang luar biasa di Lubnan, tetapi terdapat perubahan besar dalam keseimbangan kuasa dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sehingga tahun lalu, Hizbullah memainkan peranan dominan dalam politik Lubnan dan tidak ramai dalam kalangan pihak keselamatan atau politik yang berani berhadapan dengan parti itu secara terbuka.

Kini, dengan kematian pemimpin veteran mereka, Hassan Nasrallah, dan kehilangan Syria sebagai saluran utama senjata dari Iran, pengaruhnya semakin berkurang.

Di bawah gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 27 November, tentera Lubnan dijadualkan untuk dikerahkan di selatan bersama pengaman PBB manakala tentera Israel menarik diri dalam tempoh 60 hari, yang dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Tentera Israel bersedia untuk menarik diri dari wilayah Lubnan dan menyerahkan kawasan diduduki kepada tentera Lubnan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata yang diselesaikan menerusi perantaraan AS-Perancis, kata seorang pegawai keselamatan kanan Israel.

Hizbullah juga dijangka akan mengosongkan kedudukannya di selatan, berhampiran dengan sempadan Israel, dalam tempoh yang sama. - AFP



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-5-2025 11:14 AM GMT+8 , Processed in 0.039680 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list