|
Hai 29th Sept 07 (Kaver Datuk Siti & DK)
NONI TERINGAT ZAMAN SUSAH
Putusnya ikatan perkahwinan ibu Sarima Matanio 43 tahun dengan bapanya Zainuddin Lee 46 tahun jelas meninggalkan parut luka di hati Noni. Tapi, gadis manis berhati cekal ini bagaimanapun nyata pasrah merentasi hakikat ini.
"Ibu bapa Noni berpisah ketika usia Noni 11 tahun. Jadi, dah agak lama dan seboleh mungkin Noni tak nak kenangkan sangat. kalau diingatkan, bukan hanya kesedihan... tapi Noni tahu tiada apa yang mampu untuk menyatukan mereka kembali. Sebagai anak, Noni melihat itu semua dengan matang dan Noni yakin ada hikmahnya."
"Noni tak boleh nak cerita puncanya sebab ia terlalu peribadi dan biarlah ia jadi rahsia hidup Noni dan keluarga. Tapi, Noni tetap bersyukur sebab hakikat itu membentuk diri dan jiwa Noni untuk menjadi manusia yang lebih tabah. Dan, bila kenangkan kepayahan lalu... Noni jadi lebih berkerja keras." katanya penuh makna.
Kata Noni, kisah sedih hidupnya bermula sejak dia berada di tadika apabila rumah yang menjadi tempat dia berlindung sekeluarga hangus dijilat api. Kehidupan sebelum itu yang tidaklah senang tetapi tenang mula berkocak lantaran kesempitan hidup.
"Apa yang Noni masih ingat, Noni tiada rumah dan terpaksa tinggal di pondok. Bila tiba bulan puasa dan raya, tiada apa yang membezakannya sebab Noni dah biasa tak ada baju raya. Kalau ada, itu pemberian orang. Walaupun baju tu tak lagi cantik dimata orang, bagi Noni, dah gembira sangat sebab ada baju raya. Bab juadah, baik masa puasa atau raya, memang harapkan simpati orang. Bila ibu bapa bercerai, hidup jadi lebih susah sebab emak tak berkerja."
"Noni dan enam lagi adik beradik yang semuanya perempuan memang dengan emak. Fahamlah bila emak tak boleh bekerja, bayangkan kesusahan kami semua. Pergi sekolah tak ada duit, dalam waktu itu apa yang Noni masih ingat, Noni adalah tolong nenek jual kuih untuk dapatkan duit" ungkapnya sayu.
Noni memberitahu, pengalaman pahit silamnya itu menjadi pembakar semangat yang menjadikan dia gadis seperti hari ini. Dia bersyukur kerana diberikan kekuatan untuk melihat segala itu sebagai azimat untuk membina hidup yang lebih baik.
"Sebab itulah Noni mereasakan Aidilfitri tahun ini paling bermakna sebab Noni dah ada duit dalam tangan. Apa yang teringin, Noni dapat beli. Malah ia jadi lebih bermakna apabila Noni dapat membelikan banyak kelengkapan raya, menukar langsir di rumah emak dan ada bajet untuk duit raya."
"Memang seronok dan Noni ada plan nak buat rumah terbuka nanti. Cuma, sepanjang Ramadhan memang agak sedih sebab Noni bersendirian. Nak harapkan keluarga datang memang tak mungkin sebab memikirkan kos yang tinggi. Apa pun, Noni gembira menanti Syawal."
"Cuma sekarang, Noni lihat sendiri sikap manusia... masa Noni sekeluarga susah, tak ada yang sukakan kami. Tapi bila Noni dah senang, barulah ada yang mendekati dan mahu berbaik. Yang tak kenal pun kata kenal Noni. Ada juga yang tak segan silu nak pinjam duit. Tolonglah faham, Noni baru nak memulakan hidup yang lebih selesa bersama keluarga dan tak mungkin Noni dapat nak tolong orang lain lagi."
"Apa pun Noni harap Ramadhan dan Syawal tahun ini akan membawa lebih kebahagiaan untuk Noni dan keluarga serta terus membuka pintu rezeki Noni untuk terus membantu emak teruatamanya. Noni juga gembira kerana perkahwinan kedua emak sekarang memberi kebahagiaan kepadanya." ungkapnya tenang dan tabah.
Noni akan menyambut lebaran bersama ibu, bapa tiri juga adik beradik nya iaitu Reynilda, 25 tahun, Reyfilda 23, Rosmawati 21, Roszana 20, Siti Shazwani, 13, Siti Khadijah, 10, serta dua adik tirinya, Iqmal Syahmi 4 1/2 tahun dan Ainal Nazrin 1 tahun, sebelum bersama bapa kandungnya.
kredit to hezz kerna menaip kembali.... |
|