KUALA LUMPUR: Bekas personaliti TV, Kiah Propa, 46, terasa hati dengan sikap segelintir netizen yang tidak habis-habis mengingatkannya mengenai tempoh edah.
Kiah Propa yang kehilangan suami tercinta, Allahyarham Mohammad Nazri Ismail, 57, akibat kanser lidah dan kelenjar air liur pada Aidilfitri lalu berkata, setiap hari pasti ada sahaja mesej langsung (DM) atau teguran mengenai tempoh edah diterima ketika menjayakan sesi 'live'.
"Sejak suami meninggal dunia hinggalah sekarang hari ini, ada sahaja teguran yang ingatkan saya mengenai tempoh edah.
"Saya hargai teguran kerana saya pun tidak sempurna dan ada kalanya, saya juga melakukan kekhilafan. Tapi, adakah mereka nak tengok saya meratapi kematian suami 24 jam?
"Saya ada banyak komitmen, keluarga, rumah, kereta, perniagaan dan pekerja yang semuanya berada di bawah tanggungjawab saya.
"Kalau terus meratap dan terbawa-bawa emosi, bagaimana dengan kebajikan anak-anak, keluarga dan pekerja?" kata Kiah Propa.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia menerima teguran netizen, namun lama kelamaan terasa hati kerana ada sahaja yang mempertikaikan apa dilakukan.
"Takkanlah saya tak boleh keluar mencari rezeki? Sampaikan saya gunakan 'filter' ketika 'live' pun ada yang tegur dan ingatkan saya mengenai tempoh edah kerana menyangka saya bersolek.
"Saya pakai baju atau tudung berwarna pun salah, sedangkan saya pakai berona kusam. Agaknya mereka nak tengok saya berselubung hitam 24 jam.
"Kalau boleh saya tak nak ada masalah dengan netizen kerana saya berniaga. Saya bukanlah tak boleh ditegur, tapi kalau hari-hari asyik cakap benda sama, saya terpaksa bersuara.
"Lainlah jika mereka nak tanggung dan beri makan kami anak-beranak, barulah saya tak payah buat 'live' hari-hari," katanya.
Kiah Propa dan Allahyarham Mohammad Nazri mendirikan rumah tangga pada 2011, namun, bercerai pada 2016. Bagaimanapun, mereka rujuk semula pada 16 November tahun lalu.
Ketika itu, Kiah Propa atau nama sebenarnya, Siti Rohkhaida Abdul Kalil dilapor melamar suaminya dengan niat ingin menjaganya yang menghidap kanser.
|