CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21|Reply: 0

[Kedah] Kementerian Komunikasi gerakkan jelajah Kempen Internet Selamat ke Zon Utara

[Copy link]
Post time 20-5-2025 01:00 AM | Show all posts |Read mode
Kementerian Komunikasi gerakkan jelajah Kempen Internet Selamat ke Zon UtaraOleh BERNAMA - Mei 19, 2025 @ 4:47pm





Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (berdiri tengah) berbersama sebahagian pelajar dan guru pada program Kempen Internet Selamat Zon Utara di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka, Langkawi hari ini. - Foto BERNAMA



LANGKAWI: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggerakkan jelajah Kempen Internet Selamat ke sekolah-sekolah di Zon Utara sebagai usaha memperkukuh keselamatan dalam talian dan membina komuniti digital yang berdaya tahan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka di sini menjadi lokasi permulaan jelajah itu bagi Zon Utara yang kemudiannya akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di zon berkenaan.

"Kita bermula di SK Ulu Melaka, tapi nanti akan ke 21 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah di seluruh daerah Langkawi.

"Niatnya untuk menyampaikan mesej terutama kepada pelajar-pelajar sekolah rendah untuk tidak bermain media sosial dan menerapkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang manfaat dan bahaya media sosial dan internet," katanya selepas menghadiri program Jelajah Kempen Internet Selamat Zon Utara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata program jelajah itu akan diperluaskan ke zon-zon lain selepas ini seterusnya dapat menyantuni kesemua lebih 10,200 sekolah di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

"Ia bukan perkara yang mudah tapi saya telah minta supaya pihak MCMC manfaatkan hubungan bersama dengan NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional). Kita ada 1,099 NADI di seluruh negara dan ada 1,878 Komuniti Madani bawah Jabatan Penerangan di seluruh negara.

"Kita juga berhasrat untuk bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)… dengan Majlis Perwakilan Pelajar di institusi pengajian tinggi awam untuk digerakkan membantu menyantuni sekolah-sekolah sebagai permulaan," katanya.

Lebih 1,800 peserta, termasuk pelajar daripada 22 sekolah, guru, ibu bapa, pemimpin komuniti serta wakil pelbagai agensi berkepentingan menyertai program pada hari ini.

Kempen itu merupakan kesinambungan usaha memperkasakan literasi digital dalam kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja dalam menangani cabaran buli siber, penipuan dalam talian, perjudian siber serta eksploitasi seksual kanak-kanak.

Sepanjang tahun ini lebih 100,000 peserta di seluruh wilayah utara merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dijangka terlibat dalam kempen berkenaan.

Sebelum ini SK Bidor 2 di Tapah, Perak menjadi lokasi pertama bagi pelaksanaan kempen tersebut yang dilancarkan pada 10 April lepas.
– BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1397838/kementerian-komunikasi-gerakkan-jelajah-kempen-internet-selamat-ke






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2025 06:15 AM GMT+8 , Processed in 0.040793 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list