CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22|Reply: 0

[Kedah] 'Saya lega, penantian 11 tahun berakhir, moga kematian anak dalam tragedi MH17 dapat pembelaan' - Ibu mangsa

[Copy link]
Post time 16-5-2025 01:13 AM | Show all posts |Read mode
'Saya lega, penantian 11 tahun berakhir, moga kematian anak dalam tragedi MH17 dapat pembelaan' - Ibu mangsa

Oleh Noorazura Abdul Rahman - Mei 15, 2025 @ 6:11pm




Pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014. - Gambar fail



ALOR SETAR: "Saya rasa lega bila mengetahui Russia disahkan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pesawat MH17 ditembak jatuh selepas hampir 11 tahun menanti, semoga kematian mereka mendapat pembelaan sewajarnya," kata Habibah Ismail, 76.

Ibu kepada Ketua Pramugari MH17, Allahyarham Azrina Yakob itu berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan berhubung perkara itu dan mengetahui pihak bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan ketika menonton berita disiarkan televisyen malam semalam.

Katanya, dia sangat berharap perkara itu benar dan tidak dijadikan bahan politik oleh negara berkuasa besar.

"Akhirnya sudah ada titik noktah terhadap kejadian itu, saya menanti setiap tahun apa hasil siasatan pihak berkuasa antarabangsa.

"Sebagai ibu, siapa yang tidak sedih kehilangan anak dengan cara begitu, walaupun reda saya tetap mengharapkan keadilan untuk anak saya dan semua yang terkorban," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 17 Julai 2014, pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal.

Pesawat itu ditembak sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam pada jam 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat, 18 Julai 2014.

Pada Jun 2019, tiga rakyat Russia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko akhirnya didakwa secara in absentia di Mahkamah Daerah The Hague atas pertuduhan membunuh.

Pada 17 November 2022, mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Girkin, Dubinsky dan Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat MH17 dan menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh, manakala Pulatov dilepaskan atas pertuduhan sama.

Kelmarin media melaporkan, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) semalam memutuskan Russia bertanggungjawab atas insiden tembakan jatuh sebuah pesawat penerbangan Malaysia di ruang udara Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, menurut kenyataan Kerajaan Belanda.

ICAO, sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempunyai 193 negara anggota.

Dalam kenyataan itu, Kerajaan Belanda berkata, ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.

Ibu tunggal kepada empat anak ini berkata, dia turut berharap dua cucunya iaitu anak kepada arwah akan mendapat pampasan sewajarnya memandangkan mereka kini masih bersekolah.

Katanya, anak arwah kini berada di bawah jagaan bapa mereka di Taiping, Perak.

"Seperti biasa setiap tahun pada Aidilfitri, saya dan anak-anak lain akan menziarahi pusara Azrina di Taiping, Perak. Insya-Allah lazimnya setiap tahun juga pada 17 November (tarikh kejadian) saya juga ziarah pusara anak.

"Alhamdulillah saya masih diberi kesihatan yang baik walaupun kudrat sudah tidak seperti dulu, walaupun pusaranya jauh, tetapi sebelum ini saya sanggup memandu asalkan dapat melihat dan berdoa di pusara anak," katanya yang tinggal di Kampung Kelompang, Alor Mengkudu di sini.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1396356/saya-lega-penantian-11-tahun-berakhir-moga-kematian-anak-dalam





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2025 11:25 PM GMT+8 , Processed in 0.043104 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list